Wednesday, 22 February 2017

[ JAUHI RIYA' ] Nukilan Pimpinan Siri 2

Jauhi Riya'

Sahabat, Riya merupakan salah satu penyakit hati yang sangat nipis atau halus sifatnya. Namun demikian, sifat riya' ini harus dihindari dan berusaha untuk sentiasa ikhlas hanya untuk mengharapkan redha Allah Swt. 

Allah Swt berfirman tentang keadaan pelaku Riya’:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka . Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya' (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali”
 (An Nisaa’:142)

Jika  seseorang mempunyai sifat riya' maka ia akan cenderung ingin menampakkan kebaikan-kebaikan di depan orang lain dengan maksud ingin mendapat pujian dan sanjungan dari orang lain atau motif duniawi lainnya.

Dengan demikian orang yang  memiliki rasa riya' saat beribadah, bukan redha dan berkat Allah yang  diharapkan, melainkan pujian dari orang lainlah sahajalah yang ingin didapatkan. Penyakit riya’ dapat menjangkiti sesiapa saja, bahkan orang alim sekali pun. Termasuk juga para sahabat Nabi. Para sahabat adalah generasi terbaik umat ini. Keteguhan iman mereka sudah teruji, pengorbanan mereka terhadap Islam sudah tidak perlu diragukan lagi. Namun demikian, Nabi SAW masih merisaukan sekiranya sifat riya’ menimpa mereka. 

Baginda bersabda :
Sesuatu yang aku risaukan menimpa kamu adalah perbuatan syirik asghar. Ketika beliau ditanya tentang maksudnya, beliau menjawab: ‘(contohnya) adalah riya’ ” 
[HR.Ahmad]
Bahaya sifat riya' memang sangat fatal kerana semua ibadah kita akan ditolak oleh Allah Swt dan tidak akan bernilai apa-apa selain yang diharapkan dari manusia. 

Diantara bahaya sifat riya' :

  1. Hilangnya pahala. Sifat riya' membuat pahala sedekah terhakis dan membuat amalan-amalan baik yang telah kita lakukan tidak bernilai di hadapan Allah atau hanya mendapat pujian manusia saja.
  2. Celaka di akhirat. Sifat riya' membuatkan seseorang merasa telah berbuat kebaikan dan mendapatkan banyak pahala, namun sebaliknya akan mendapat azab yang dahsyat di akhirat kelak.
  3. Termasuk sifat syirik yang tersembunyi. Sifat riya' termasuk perbuatan syirik khafi (tersembunyi) yang boleh merosakkan ibadah tanpa tanpa kita sadari.
  4. Ditinggalkan Allah. Sifat riya' merupakan sifat yang sangat dibenci Allah Swt sehingga barang siapa yang memelihara sifat tersebut akan ditinggalkan oleh Allah dan jauh dari pertolongan-Nya.

Mengingatkan sifat riya' dapat merugikan kita didunia hingga akhirat. Oleh itu, selain kita melakukan sesuatu menghilangkan sifat angkuh, kita perlu mengetahui cara menghindari sifat riya’ yang secara tersembunyi dan diam-diam ada didalam hati kita.

Beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menghindari dari sifat riya ini:


1. Meluruskan tauhid dan niat.
Menanamkan pada diri bahawa Allah Maha Besar dan paling berhak untuk memiliki semua sifat baik. Dengan selalu mengingatkan kebesaran Allah, kita akan merasa kecil dan tidak layak untuk merasa baik dan ingin dipuji makhluk lain.

Kita juga harus sedar bahawa kita hanyalah seorang hamba yang penuh kekurangan  dan lemah serta memerlukan redha Allah untuk melakukan apa-apa ibadah dan amal baik dan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran juga merupakan salah satu cara kita untuk mendapatkan redha Allah.


Akhirat merupakan tempat kita hidup yang kekal dan kehidupan di dunia hanyalah sementara. Oleh itu, kita semua pasti menginginkan mendapat kelapangan dan ketenangan di akhirat nanti. Oleh kerana itu, kita harus selalu beramal baik dan menjaga agar amal itu bernilai pahala di hadapan Allah.
Sebaiknya, kita mulai untuk tidak lagi memikirkan apa yang orang lain katakan. Baik celaan mahupun pujian manusia, tidaklah memberi kita manfaat dalam hal amal ibadah yang kita lakukan. Kita cukup menggunakan kata-kata buruk dari manusia sebagai pengajaran untuk kita menjadi manusia yang lebih baik sebagai cara mengubah diri menjadi lebih baik.


Berhubung masalah ini sangat berbahaya seperti yang telah dijelaskan di atas, maka Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kita sebuah doa untuk melindungi diri kita dari syirik besar maupun syirik kecil.



2. Menempatkan diri sebagai hamba Allah yang lemah.

3. Lebih mengingatkan kehidupan di akhirat berbanding dunia.

4. Menyembunyikan amal dan ibadah dari mata orang lain.
Cubalah untuk menyembunyikan amal dan ibadah kita dari orang lain. Dengan kita berusaha menyembunyikan amal dan ibadah kita, diharapkan kita tidak mengharapkan pujian orang lain untuk apa yang telah kita lakukan.

5. Selalu berdoa agar terhindar dari godaan riya'. Manusia merupakan tempat berbuat khilaf dan salah. Sifat riya’ yang seringkali tidak kita rasakan keberadaannya, merupakan salah satu contoh kekhilafan kita sebagai manusia. Maka, selalulah mohon ampun kepada Allah dengan sentiasa beristighfar.

6. Jangan pedulikan pujian atau celaan orang lain.
Walaupun riya' ini penyakit atau amalan hati yang sukar untuk dinilai, namun ia boleh dihindati dari lisan mahupun tindakan kita. Orang yang beramal ikhlas kerana Allah pasti sentiasa berusaha untuk tidak dilihat oleh orang lain dalam beribadah. Walaupun sukar namun kita harus berusaha untuk menghilangkan penyakit riya' ini dari hati kita. Sehingga amal-amal dan ibadah kita kelak mendapat balasan dari Allah Swt.

Doa Terlepas dari Riya’
Rasululllah SAW mengingatkan kita melalui sabdanya :
 ‘Wahai sekalian manusia, jauhilah dosa syirik, kerana syirik itu lebih kabur daripada rayapan seekor semut.’ Lalu ada orang yang bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana kami dapat menjauhi dosa syirik, sementara ia lebih kabur daripada rayapan seekor semut?’ Rasulullah berkata, ‘Ucapkanlah Allahumma inni a’udzubika an usyrika bika wa ana a’lam wa astaghfiruka lima laa a’lam  (‘Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sadari. Dan aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui). 
[HR.Ahmad]
Semoga bermanfaat. Sebarkan maka pahala dakwah untukmu.


"Menyatukan Fikrah, Mendisiplinkan Amal"
"Mahasiswa Cemerlang, Ummah Gemilang" 


Muhammad Rafiq Aiman Bin Roslam
Ketua Lajnah Sukan, Rehlah Dan Kesenian,
MPMK Sesi 2016/2017.


Disediakan oleh :
Lajnah Penerangan Dan Penerbitan,
MPMK Sesi 2016/2017.

Tuesday, 7 February 2017

[ KENAPA PERLU TAKUT RUU355? ] Nukilan Pimpinan Siri 1


Kenapa Perlu Takut RUU355?

Saban hari, polemik tentang Pindaan Akta 355 atau dikenali juga sebagai Rang Undang-Undang 355 begitu pantas berpindah dari bbir ke bibir seantero masyarakat masa kini seperti air yang mengalir dari sebuah bukit tinggi.

Polemik ini tidak asing lagi didengari dan dibicara oleh masyarakat. Mauhupun golongan dewasa dan remaja. Ini menunjukkan masyarakat sejagat peka terhadap situasi dan kondisi terhadap perkara ini. 

RUU355 diusulkan adalah untuk memartabatkan status mahkamah syariah di negara kita. Undang-undang ini bukan untuk golongan non-muslim, bahkan tiada kaitan lansung dengan mereka yang bukan Islam. Kenapa mereka (bukan Islam) yang beria-ia untuk menghalang dan mengganggu undang-undang umat Isam? Itulah persoalannya.

Kita sebagai ummat Islam, kenapa kita yang bersekongkol dengan bukan Islam menyokong untuk menghalang pindaan ini dilaksanakan dinegara kita? Ada golongan masyarakat Islam sendiri tidak bersetuju undang-undang ini dilaksanakan. Dimanakah iman kita? 

Dalam Al-Qur’an Allah berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ ۚ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيم

"Hukum-hukum tersebut itu adalah ketentuan-ketentuan dari Allah. Barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah memasukkannya kedalam syurga yang mengalir didalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar." 

(An-Nisa' : 13)

Ayat ini menunjukkan bahawa undang-undang (hukum) adalah datangnya dari Allah. Maka kita lah yang bertanggungjawab untuk mengubah mindset masyarakat terhadap kegusaran perkara ini. Kitalah yang wajib memberi penjelasan kepada mereka yang dahagakan info dan keterangan terhadap perkara ini.

Disinilah menunjukkan bahawa undang-undang dan hukum-hukum Allah lebih indah berbanding undang-undang konvensional. Hukum-hukum Allah adalah bukan untuk menghukum semata-mata tetapi untuk mendidik. Hukum konvensional dilaksanakan dalam bilik tertutup,tiada yang nampak, tetapi hukum Allah dilaksanakan di depan khalayak ramai. Inilah yang menjadi peringatan dan amaran kepada mereka yang melakukan jenayah.

Statistik jenayah zaman sekarang menunjukkan tiada perubahan,bahkan semakin meningkat. Ini kerana undang-undang dan hukuman yang diciptakan manusia tidak dapat memberi kesan langsung kepada hati manusia. Disinilah kita sebagai umat Islam berperanan membantu untuk menyokong undang-undang Islam ini agar statistik jenayah menurun. Hukum Allah adalah sebaik-baik hukum.


"Menyatukan Fikrah, Mendisiplinkan Amal"
"Mahasiswa Cemerlang, Ummah Gemilang" 


Muhammad Husaini Bin Mat Yusof
Ketua Lajnah Ekonomi,
MPMK Sesi 2016/2017. 


Disediakan oleh :
Lajnah Penerangan Dan Penerbitan,
MPMK Sesi 2016/2017.


Thursday, 24 November 2016

[HIMPUNAN SOLIDARITI UMMAH]

Masyarakat minoriti Muslim di Myanmar kini sedang dizalimi dan ditindas oleh tentera dan kerajaan mereka sendiri. Saban hari, mereka diseksa, ditembak, disembelih dan dibakar perkampungan mereka tanpa belas ihsan, tidak mengira status wanita, warga emas mahupun kanak-kanak.
Tindakan yang keterlaluan itu dilihat bersifat sangat tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan fitrah kehidupan sebagai seorang manusia.
Rentetan itu juga, kezaliman ini dilihat menggugat keamanan dunia, menyentuh sesitiviti agama, serta membawa kepada tercetusnya pergaduhan sesama manusia.
Justeru itu, kami menyeru kepada seluruh ahli MPMK dan rakyat Malaysia khususnya umat Islam, untuk meluangkan sedikit masa bagi menunjukkan keprihatinan kita kepada Muslim di sana dengan menyertai Himpunan Solidariti Ummah yang akan diadakan pada Sabtu ini, bertarikh 26 November 2016 di Masjid Negara selepas solat Zohor.
Mudah-mudahan dengan usaha yang sedikit ini dapat membuka mata masyarakat umum dan kerajaan Malaysia khususnya agar dapat menghulurkan apa jua bantuan kepada saudara seagama kita di sana.
Semoga Muslim di sana, dilindungi oleh Allah dan mereka yang zalim dikenakan azab seksaan yang pedih lagi dahsyat.
"Menyatukan Fikrah, Mendisiplinkan Amal"
"Mahasiswa Cemerlang, Ummah Gemilang"
Umar Sufi Bin Nasarudin
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM,
Sesi 2016/2017.

Monday, 23 May 2016

KAMIL 2016 PLATFORM LAHIR BAKAT WARGA IPT PAS


KARNIVAL Amal Islami IPT PAS 2016 (KAMIL) telah diadakan dengan jayanya baru-baru ini. Karnival ini menghimpunkan semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang bernaung di bawah PAS secara langsung. Samada ianya dimiliki di peringkat dewan, pusat mahupun negeri, IPT ini adalah asas kepada sistem pendidikan tinggi yang PAS rintis sejak sekian lama bagi menawarkan alternatif. Karnival KAMIL menjadi platform kepada seluruh warga IPT PAS untuk berkreativiti, berprogram dan bersama menjayakan program. Mengulas lanjut KAMIL 2016, Wartawan Harakah, SUFI NAZ menemui Rektor Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Dr Shahabudin m en ah pada 12 Mei lalu. Ikuti wawancara ringkas bersama Dr Shahabudin Ngah.

HARAKAH : Selaku Ahli Majlis Pendidikan PAS (MPP), apa pendapat anda mengenai Karnival Amal Islami IPT PAS 2016 (KAMIL) yang berlangsung baru-baru ini?

DR SHAHABUDIN NGAH: KAMIL ini diwujudkan atas dasar permuafakatan antara institusi-institusi pendidikan pengajian tinggi PAS. Sekarang ini ada tiga buah secara rasminya iaitu Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI), Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) dan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU).

Kita ada Majlis Pendidikan PAS yang bertanggungjawab untuk menyatukan atau mewujudkan kerjasama di antara ketiga-tiga institusi ini. Sebagai Ahli Majlis Pendidikan PAS, saya amat gembira apabila kita berjaya mengadakan Karnival Amal Islami IPT PAS 2016 (KAMIL 2016). Ia sepatutnya lebih kerap diadakan.

Kita lihat adanya kerjasama dan hubungan baik antara para pelajar institusi pengajian tinggi PAS. Adalah diharapkan ianya sentiasa berterusan, bukan sahaja program berbentuk karnival seperti ini. Malah program-program yang lain, yang boleh meningkatkan mutu pendidikan dan juga pengurusan serta pendidikan pusat pengajian tinggi PAS.

KUIZM selaku tuan rumah acara KAMIL 2016, adakah sebarang perancangan untuk mengembangkan lagi majlis seperti ini dengan lebih banyak penglibatan IPT yang lain?

Sebenarnya IPT PAS, permuafakatannya sebagai suatu perkara yang utama untuk menjalin kerjasama. Oleh kerana kita berada dalam Malaysia, maka tidak begitu sempurna kalau kita berada dalam lingkungan kita sahaja. Oleh sebab itu, kita harap dalam masa akan dating, program seumpama ini akan dapat melibatkan lebih banyak lagi kolej-kolej yang lain.

Pada masa ini pun, selain daripada 3 buah kolej tersebut kita ada penglibatan daripada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Pusat Dakwah Serantau (PDS). Ia bertujuan supaya para pelajar kita di bawah naungan PAS ini boleh bergaul dan bertukar-tukar pandangan serta idea antara satu sama lain. Itu pastinya akan mewujudkan hubungan yang baik.

Kita harapkan ia bukan sahaja untuk institusi bawah PAS sahaja tetapi juga penglibatan dari pihak-pihak lain. Dengan izin Allah kita akan luaskan lagi jaringannya. Terpulang bagaimana mereka untuk menyertainya.

Apa pandangan peribadi anda terhadap penganjuran KAMIL 2016 ini?

Secara peribadi, saya berasa amat seronok sebab di situ kita lihat bakat-bakat yang ada dalam kalangan para pelajar. Mereka ini terdiri daripada bekas pelajar pondok, sekolah agama yang orang kata- tidak terdedah. Tanggapan orang pasti mengatakan bahawa mereka ini duduk di bawah tempurung namun mereka mempunyai bakat yang begitu baik sekali. Mereka juga mempunyai cara tersendiri yang boleh diketengahkan sama ada dari segi tilawah, hafazan, debat, nasyid, pidato dan sebagainya. Mereka mempunyai kualiti dalam erti kata sebenar kalau dilatih dan diketengahkan.

Saya amat suka dan seronok apabila mereka yang dianggap sebagai pelajar yang selama ini tidak mendapat kemudahan-kemudahan asas seperti sekolah agama rakyat dan sekolah agama biasa ini tetapi masih mempunyai bakat yang boleh diketengahkan. Dengan izin Allah mereka mampu untuk menjadi para pemimpin pada masa akan datang.

Ada sebarang langkah seterusnya selepas mendapat senarai pemenang pelbagai kategori dalam KAMIL 2016?

Kita harapkan mereka akan gilap bakat tersebut di tempat masing- masing. Kalau ada peluang untuk pidato umum, teruskannya atas nama perjuangan. Begitu juga yang bagus dalam tilawah dan hafazan al-Quran, boleh masuk ke peringkat daerah dan kawasan untuk musabaqah yang akan datang.

Bagi bakat nasyid, boleh teruskan latihan untuk rakaman, persembahan dan sebagainya. Perkara yang sama juga dalam debat dan pidato, sekarang banyak pertandingan pidato yang dianjurkan oleh pihak luar secara umum. Saya harap mereka semua diketengahkan agar lebih menyakinkan diri mereka sendiri dalam menggapai impian sebagai pemimpin atau ahli parlimen di masa akan datang.

Harapan untuk program KAMIL yang akan datang?

Dari segi penyertaan, kita harap ia akan jadi lebih baik lagi. Apa-apa kekurangan, ia patut diperbaiki dan diatasi pada masa hadapan. Kita buat secara giliran iaitu tahun 2016 diadakan KAMIL, jadi tahun hadapan akan diadakan Kejohanan Sukan dan begitulah seterusnya. Begitu juga dari segi giliran tuan rumah.

Untuk pengetahuan, tahun hadapan adalah giliran KUDQI pula untuk menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Sukan bertempat di negeri Terengganu. Acara dalam KAMIL ini banyak, mungkin sebaiknya tempoh masa program boleh dipanjangkan sedikit bagi mengurangkan kepadatan jadual. Isunya adalah kita mempunyai kalendar yang berbeza.

Sekarang kita tumpukan hanya kepada acara pertandingan itu sahaja, padahal masa berhimpunnya semua warga IPT PAS ini, kita boleh wujudkan kerjasama lain seperti antara Majlis Perwakilan Pelajar, mesyuarat ahli akademik, perbincangan sesama kakitangan dan sebagainya. Maknanya kerjasama ini bukan hanya untuk KAMIL dan Kejohanan Sukan sahaja, tetapi juga perkara-perkara lain yang boleh meningkatkan prestasi akademik dan segala aspek dengan izin Allah.

Friday, 15 May 2015

Tanggal 15 Mei - Peristiwa Nakbah

 
 
TANGGAL 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhan- nya.

Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah di- isytiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai ‘ nakhbah’.

Nakhbah bermaksud malapetaka atau bencana besar. Dalam peristiwa nakhbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800,000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar ne- gara, manakala 30,000 yang lain telah di- usir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 daripadanya serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Rejim Zionis telah bertindak di luar batas kemanusiaan. Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata mereka. Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai telah berlaku sepanjang peristiwa Nakbah. Antara peristiwa yang paling tragis ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak.

Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.

Sejarah kejatuhan bumi Palestin ke tangan Yahudi bermula apabila Britain melalui Setiausaha Negara Hal Ehwal Luarnya, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 2 November 1917 yang menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanah airnya di Palestin. Pengisytiharan itu telah digelar sebagai Ominous Declaration (Pengisytiharan Celaka).

Isu Palestin menjadi isu antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda PBB. Tidak lama selepas itu, sebuah jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin.

Cadangan dasar jawatankuasa ini adalah pembahagian wilayah Palestin yang tidak adil iaitu kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, dan Jerusalem (Baitulmaqdis) diletakkan di bawah tanggungjawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB sendiri bersubahat dalam proses pendudukan haram Yahudi di Palestin dan menjadi boneka kepada Yahudi.

Penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin hingga kini masih belum berakhir. Rakyat Palestin telah mencuba pelbagai cara untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut. Antaranya ialah melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Bagaimanapun, semua cara itu menemui kegagalan dan rakyat Palestin memilih jalan lain untuk merungkai permasalahan mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad.

Dalam usaha untuk membebaskan negara sendiri daripada cengkaman penjajah, penduduk Palestin telah dilabel sebagai pengganas oleh Israel dan sekutunya. Mereka cuba untuk mengaburi mata masyarakat dunia melalui media massa yang sering memperlihatkan dan menonjolkan penduduk Palestin sebagai pengganas.

PengganasYahudi mendakwa bahawa mereka menjadi mangsa kekejaman penduduk Palestin sedangkan pengganas sebenar adalah mereka sendiri. Yahudi turut mendakwa bahawa mereka adalah penduduk asal di bumi Palestin semenjak zaman nabi Musa a.s lagi.

Namun hakikatnya, kedatangan mereka ke Palestin adalah sebagai imigran pada ketika itu. Dan kini mereka bertapak di bumi Palestin melalui kolonialisasi.

Dakwaan bangsa Yahudi bahawa faktor sejarah menjadikan mereka lebih berhak ke atas Palestin tidak berasas. Mereka hanya sempat memerintah sebahagian kecil kawasan di bumi Palestin untuk tempoh empat tahun sahaja sedangkan pemerintahan Islam berlanjutan selama 12 kurun (636M – 1917M).

Bangsa Yahudi juga suatu ketika dahulu ramai yang telah meninggalkan Palestin dan hubungan mereka dengannya terputus untuk hampir 18 kurun lamanya (135M – kurun ke-20).

Manakala penduduk asal Palestin pula tidak pernah meninggalkan bumi Palestin untuk selama 4500 tahun hinggalah kepada pengusiran secara paksa oleh kumpulan pengganas Yahudi pada tahun 1948. Namun mereka tidak pernah menyerah kalah malah terus berusaha untuk menegakkan kembali hak mereka ke atas bumi Palestin.

Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan hadis. Ia adalah bumi suci di mana ramai para rasul Alaihissalam dilahirkan dan wafat di sana. Ia adalah medan perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh Allah SWT dengan kewujudan Masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah SWT dan tanah suci ketiga setelah Mekah dan Madinah.

Rasulullah SAW bersabda, “Diutamakan (digandakan) solat di MasjidilHaram atas yang lain dengan seratus ribu solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitulmaqdis dengan lima ratus solat.” (Riwayat at-Tabrani – martabat Hassan)

Selain itu, Baitulmaqdis merupakan kiblat umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan Baitulmaqdis sepanjang kehidupan Rasulullah SAW di Mekah sebelum hijrah dan juga selama 16 bulan pertama Rasulullah SAW di Madinah. Selepas itu Allah SWT mengarahkan agar kiblat bertukar arah ke Kaabah di Mekah. Baitulmaqdis juga merupakan tempat berlakunya Isra' dan Mikraj. Firman Allah SWT:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran kami.” (al-Isra’:1)

Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah SAW yang menggambarkan keistimewaan Baitulmaqdis di dalam Islam yang menunjukkan bahawa Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya. Ia juga menyebabkan para sahabat Rasulullah SAW sangat menyayangi bumi Palestin ini. Malah ketika Umar al-Khattab r.a menjejakkan kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah wakaf kepada generasi umat Islam akan datang.

Realitinya, umat Islam pernah menguasai Baitulmaqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas ia dicemari tangan-tangan kufur berkurun lamanya. Kini, Baitulmaqdis kembali ke tangan kufur, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke tangan umat Islam?

Sesungguhnya Palestin bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, Baitulmaqdis bukanlah tempat suci mereka sahaja dan Masjidilaqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum Muslimin dari Timur sampai ke Barat.

Ia juga milik umat Islam generasi kini dan akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk membebaskannya daripada tangan-tangan kufur adalah perjuangan kita bersama.

Wednesday, 29 April 2015

SUARA ANAK KANDUNG PAS : Tahniah Buat Pemuda PAS Pulau Pinang


 SUARA ANAK KANDUNG PAS : Tahniah Buat Pemuda PAS Pulau Pinang, Menggesa PAS Pusat Jangan Diamkan isu "Hawaii Five O" & "Audio Mohamad Sabu"

قال الله تعالى :
  أَلَا تُقَٰتِلُونَ قَوْمًا نَّكَثُوٓا۟ أَيْمَٰنَهُمْ وَهَمُّوا۟ بِإِخْرَاجِ ٱلرَّسُولِ وَهُم بَدَءُوكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ أَتَخْشَوْنَهُمْ ۚ فَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَوْهُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

"Mengapakah kamu tidak memerangi orang-orang yang merosak sumpah (janjinya), padahal mereka telah keras kemahuannya untuk mengusir Rasul dan merekalah yang pertama mulai memerangi kamu? Mengapakah kamu takut kepada mereka padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman."
[Surah At-Taubah ayat 13]

1 - Gempar satu Malaysia apabila keluarnya sidang media daripada Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang berkenaan dengan isu pembekuan jentera Pemuda PAS Pulau Pinang terhadap PRK Permatang Pauh.

2 - Kami mahasiswa/wi Institut Pengajian Tinggi Islam PAS (IPTIP) merakamkan jutaan tahniah buat Pemuda PAS Pulau Pinang yang telah mengambil langkah yang cukup bijak dan berprinsip apabila berdepan dengan situasi genting ketika ini. Satu keputusan yang penuh dengan kehormatan telah dibuat oleh Ustaz Yusni Mat Piah selaku Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, dengan menyatakaan Pemuda PAS Pulau Pinang akur terhadap arahan PAS Pusat untuk membantu gerak kerja PRK Permatang Pauh.

3 - Ustaz Yusni Mat Piah telah membuktikan kepada kita semua bahawasanya arahan jemaah perlu ditaati sekalipun samaada dalam keadaan kita suka ataupun tidak. Bahkan beliau juga sanggup merendahkan diri menghormati konsensus Pakatan Rakyat di saat PKR dan DAP jelas melanggar konsensus yang dimeterai bersama.

4 - Walaubagaimanapun, sebagaimana saranan Timbalan Mursyidul Am PAS iaitu YB Tuan Guru Dato' Ahmad Yakob, AMK perlu memohon maaf kepada PAS kerana telah memfitnah Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam kenyataan mereka sebelum ini sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Pemuda PAS Pulau Pinang.

5 - Pujian juga selayaknya dikalungkan buat Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia yang berjaya menyelesaikan masalah ini dengan amat berhikmah dan baik sekali. Kehadiran Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ir Haji Khairil Nizam menjadi penasihat di dalam mesyuarat khas Pemuda PAS Pulau Pinang awal pagi kelmarin nyata amat dihargai. Nyatalah kepimpinan Timbalan dan Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia ini diterima oleh ahli diperingkat akar umbi dan menunjukan dengan jelas kegagalan saudara Suhaizan Kayat, Ketua Pemuda PAS Malaysia menyelesaikan isu yang berlaku.

6 - Akar umbi melihat "Politik Budiman" gagasan saudara Suhaizan Kayat gagal menjadi pendamai di dalam menguruskan konflik bahkan lebih dari itu ianya bersifat diktator dan menghukum apabila beliau pantas bersetuju dengan tindakan tatatertib yang akan diambil kepada Ustaz Yusni Mat Piah sekiranya gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan. Saudara Suhaizan Kayat juga dilihat gagal menyelesaikan masalah agar AMK patuh pada arahan Pemuda PAS Malaysia terhadap keceluparan mereka menghentam Tuan Guru Presiden PAS. Jelas Politik Budiman canangan suadara Suhaizan Kayat dilihat bacul pabila berdepan dengan AMK dan DAP.

7 - Kami juga meminta supaya pihak pimpinan segera menyiasat isu "Hawaii Five O" yang dikepalai oleh Dr Hatta Ramli dan "audio Tuan Haji Mohamad Sabu" yang masih berlegar ketika ini. Siasatan segara wajib dijalankan serta penyelesaian yang tegas harus dilaksanakan terhadap pengkhianatan yang berlaku ini. Cukup tidak adil andai orang yang mempertahankan maruah jemaah segera diancam dengan tindakan sedang pengkhianat kepada jemaah dibiar bebas tanpa sebarang tindakan.

8 - Perumpamaan yang harus direnungi bersama bila rumah terbakar jangan sibuk simbah air kepada asap. Apatah lagi terus menghukum orang yang terperangkap dalam asap. Padahal punca kebakaran dibiarkan sahaja."

9 - Sekali lagi kami mengucapkan tahniah buat Ustaz Yusni Mat Piah, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ir Haji Khairil Nizam serta Pemuda PAS Pulau Pinang atas kebijaksaan dalam menyelesaikan konflik yang telah berlaku. Kami juga menyanjung tinggi ketegasan Pemuda PAS Malaysia terhadap AMK dan perkara ini sangat wajar dimiliki oleh setiap kepimpinan jemaah agar jemaah kita tidak mudah diperkotak-katikan oleh musuh dan rakan.

10 - Tahniah buat Pemuda PAS Pulau Pinang yang diketuai oleh Ustaz Yusni Mat Piah. Moga Allah membantu kalian di dalam perjuangan, Insyallah.

"MAHASISWA IPTIP TERUS ISTIQAMAH BERSAMA KEPIMPINAN ULAMAK"


MUHAMMAD HARITH MOHD NOH
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad.
(KUIZM)

AMIRUL IZWAN RUKMAN
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Kolej Universiti Darul Quran Islamiyah.
(KUDQI)

DANIAL ASRI Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Kolej Islam Darul Ulum.
(KIDU)

Wednesday, 1 April 2015

Usah Bersedih Jika Anda Belum Berpunya

Ketika ramai rakan di sekeliling anda mempunyai teman di sisi, anda masih sendiri meniti hari yang mendatang. Tipulah jika tiada rasa cemburu kan?

Kerana fitrah manusia ialah ingin mencintai dan dicintai. Jika anda masih bersendirian, jangan bersedih. Kadang-kadang terlintas di fikiran kita,

“Bahagianya dicintai dan mencintai. Bilalah aku nak rasa macam tu”
“Kenapalah orang lain dah berteman? Aku seorang je yang single”
“Aku ni tak cantik/kacak ke sampai tak ada orang pun nak jatuh cinta dengan aku”
“Tuhan tak sayang aku agaknya. Sebab tu dia tak bagi aku pakwe / makwe macam kawan-kawan aku tu”

Bila kita bersendirian dan masih belum berpunya, bukan bermakna Allah tak sayang kita. Sebab Allah sayang kitalah dia beri kita masa untuk bersendirian. Allah itu menguji kita dengan pelbagai bentuk ujian. Mungkin kita diuji dengan bersendirian dan tiada teman di sisi.

Kawan-kawan kita yang berpunya itu tiada ujiankah?

Mereka juga sedang diuji. Dalam percintaan tidak selamanya bahagia sahaja. Adakalanya mereka bergaduh, berpisah dan sebagainya. Adakah kita nampak ujian yang Allah turunkan itu berbeza buat hambaNYA?

Apabila kita bersendirian, kita dapat menghindarkan perkara-perkara yang menjerumuskan kita ke lembah dosa. Kita takkan terjebak dengan zina mata dan zina hati. Kita takkan terlibat dengan belenggu perasaan.

Tak perlu rasa bimbang jika kekasih hati berubah hati. Mungkin anda belum berteman kerana anda belum bersedia. Bercinta bermakna anda perlu bersedia untuk dicintai dan bersedia untuk dilukai. Mungkin jika anda berteman sekarang, anda tidak mampu fokus dalam pelajaran. Mungkin juga jika anda berteman sekarang, emosi anda akan selalu terganggu. Sebab itulah, Allah memberikan masa untuk anda bersendirian dan berdikari menempuh ranjau kehidupan ini.

Kita hanya mampu merancang kehidupan ini, tapi jangan lupa bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang.

Jika Allah memakbulkan doamu, itu tandanya sayangnya Allah kepadamu.
Jika Allah belum memakbulkan doamu, itu tandanya ujian Allah buatmu.
Jika Allah tidak memakbulkan doamu, itu tandanya perancangan Allah lebih baik untuk masa depanmu.

Oleh itu, tak perlulah risau mengenai jodoh. Bila tiba dan waktu yang sesuai, anda pasti akan bertemunya. Jodoh kita sudah tertulis sejak azali. Teruskan berdoa semoga anda cepat bertemu jodoh yang ditentukan Allah. Yang penting teruskan memperbaiki diri supaya kita dapat jodoh yang baik.


Ahmad Syifa Abd Rahim
Mahasiswa KUIZM

Email