Hamba Rabbani Bukan Hamba Ramadhani

ALHAMDULILLAH, dapat lagi kita merayakan Aidilfitri yang mulia. Kali ini semuanya baru pakaian baru, rumah baru tetapi yang lebih penting ialah jiwa baru selepas melalui proses tarbiah daripada madrasah Ramadan lalu.Semoga puasa, sedekah, solat sunat Tarawih, bacaan al-Quran kita berjaya menjadi perisai kepada hati yang keras ini daripada sebarang bentuk musibah dan bahaya.

Sebagai muhasabah dalam merayakan Lebaran ini, kejayaan puasa kita sebenarnya diukur selepas kita melewati bulan Ramadan. Ada orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau, tetapi selesai Ramadan, perkara itu tidak lagi dilakukan maka itu namanya ‘hamba Ramadan’ bukannya hamba Allah.

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. “Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan” maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim. Pergi masjid bukan ikut selera kita atau melihat orang ramai ke sana kita pun pergi. Kenapa kita hanya bersemangat pada bulan Ramadan? Oleh itu, marilah kita jadikan semangat serta kesungguhan di bulan Ramadan sebagai ‘percikan’ bagi meneruskan kerajinan pada 11 bulan mendatang.

Dalam suasana berhari raya di mana rumah terbuka sedang rancak di sana sini janganlah pula rumah Allah tertutup. Pada Syawal ini juga disediakan ‘pakej’ pahala pelengkap kepada puasa Ramadan. Pakej ini menggambarkan kelebihan umat Muhammad s.a.w, iaitu boleh mendapat kelebihan seolah-olah berpuasa setahun. Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya. “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun". (Hadis riwayat Imam Muslim).

Justeru itu, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardu. Menurut hukum fiqah, kita boleh memulakan puasa enam pada mana-mana hari sepanjang Syawal sama ada secara berterusan atau berselang seli. Namun, afdalnya ialah pada hari kedua Syawal dan dilakukan secara berterusan sehingga hari ketujuh. Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan, puasa enam memberi peluang kepada mereka untuk menggantikannya disamping mendapat pahala puasa sunat.

Semoga dengan tarbiah yang diberikan oleh Allah s.w.t sepanjang Ramadan dapat kita susuli pula dengan puasa sunat Syawal. Semoga dapat kita hayati dan kita amalkan dalam kehidupan kita seterusnya menjadi muslim yang benar-benar sejati.




Mohd Syafie Md Yunos
Presiden 
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13



Ulasan

Catat Ulasan