Obligasi Mahasiswa Menyisir Usaha (Muhasabah Semester Lepas)

Sesi pembelajaran bagi semester baru, pelajar KUIZM kini sudah pun tiba. Tahniah diucapkan kepada sahabat-sahabat yang berjaya menduduki semester baru. Moga dengan kejayaan ini dapat meningkatkan lagi semangat sahabat-sahabat untuk mendalami ilmu Allah swt.

Tidak dilupakan juga buat sahabat yang menghadapi beberapa masalah dalam keputusan peperiksaan baru-baru ini dan juga tidak berjaya menduduki semester baru. Kegagalan pada kali ini bukanlah kegagalan selama-lamanya. Sesungguhnya setiap langkah seseorang itu berbeza diantara satu sama lain. Ada dikalangan mereka yang Allah swt mempercepatkan kejayaannya, dan ada pula yang ditangguh buat sementara waktu, kerana belum tiba waktunya.

Apa yang penting, sebagai pemuda Islam kita seharusnya menjadi seorang yang lebih baik dari yang lepas. Sejarah sesi pembelajaran kita yang lepas, kita jadikan sebagai pengajaran dan iktibar bagi semester baru ini. Dengan kata lain, kita bermuhasabah kembali supaya kesilapan dan kelemahan yang lalu tidak diulangi kembali pada sesi ini.

Muhasabah memainkan peranan penting bagi ukuran kejayaan seseorang. Bagi individu yang mengenal dan mengambil iktibar daripadanya, akan terbuka jalan kejayaan baginya. Manakala yang tidak mengenal dan tetap lalai, akan tertutup jalan kejayaannya.

Sebagai pelajar, terdapat beberapa perkara yang mesti diberi penekanan. Pertamanya daripada sudut pembahagian masa belajar, perlu dilihat sejauh mana usaha kita dalam mencari ilmu dan sejauh mana disiplin kita terhadap jadual yang kita gariskan. Adakah kita betul-betul memanfaatkannya atau mensia-siakannya dengan angan-angan, hiburan, lepak dan lain-lain lagi.

Perkara kedua yang perlu diberi penekanan ialah daripada aspek kerohanian. Inilah perkara asas bagi kejayaan sebenar. Sesungguhnya keberkatan ilmu itu akan mengiringi pelajar, jika hubungannya dengan Allah swt dalam bentuk yang harmoni. Manakala  sebaliknya akan menyukarkan perjalanan menuju kejayaan dan menjauhkan keberkatan ilmu daripada pelajar.

Oleh itu, muhasabah perlu dipraktikkan dengan kaedahnya yang sebenar supaya masa depan kita kian bersinar bukan kian sirna. Jika tidak, kesilapan yang lalu akan diulangi kembali pada sesi pembelajaran kali ini dan akhirnya kegagalan akan menunggu kita pada hujung sesi nanti. Percayalah.....


Oleh,


Mohd Hakimi Hamzi Mohd Hayat
Timbalan Presiden 1
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13


Ulasan