Cuti Semester : Apa Pula Tanggungjawab Kita Selepas Ini?

Sahabat yang dirahmati Allah swt,

Tamatnya peperiksaan sebenarnya satu saat yang ditunggu-tunggu sekian lama oleh pelajar yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman. Ada sebahagian pelajar terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan ada yang hanya jaraknya sekangkang kera. “ah! Jauh ka, apa ka? Itu tidak penting bagi aku, yang penting aku sampai kampung,” inilah ungkapan yang terbit daripada hati seorang perantau dek kerana kerinduan yang menebal terhadap kampung halaman, sanggup merentas apa jua halangan.

Pengorbanan ini adalah satu usaha yang cukup bermakna. Namun perlu diingatkan, kepulangan itu nanti bukanlah hanya sekadar untuk melepaskan rindu terhadap insan yang tersayang semata-mata. Sebenarnya sahabat, kita sedang menggalas satu tanggungjawab besar yang diamanahkan oleh Allah swt. Firman Allah swt mafhumnya :-

“ dan hendaklah mereka memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka pulang kepada mereka, mudah-mudahan mereka berjaga-jaga”. Surah Taubah ayat 122

Inilah dia tanggungjawab yang sedang digalas oleh kita iaitu untuk menyeru masyarakat kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Inilah amanah yang Allah swt berikan kepada kita khususnya mahasiswa Islam.

Ingat sahabat, Allah swt telah memberi nikmat menuntut ilmu agama kepada kita sehinggalah kita berjaya dalam peperiksaan, mendapat ijazah, biasiswa, sumbangan derma dan sebagainya. Kini tibalah masanya untuk kita mensyukuri nikmat tersebut dengan menggunakan nikmat itu pada tempatnya.

Bila sebut berkenaan dakwah, ada diantara kita resah, gelisah, takut, malas dan sebagainya. Perasaan ini timbul mungkin disebabkan diri kita yang belum bersedia, tidak pandai untuk bertazkirah, takut dan sebagainya.

Jangan takut sahabat, konsep dakwah ini luas. Sebagai budak baru belajar, kita hanya perlu lakukan sekadar yang mampu. Apa yang penting ialah kita mesti berusaha bersungguh-sungguh dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk melaksanakan amanah dakwah ini dengan baik.

Sekiranya kita tidak mampu lagi untuk kehadapan dalam masyarakat, tidak mengapa. Sekurangnya kita mulakan dakwah ini diantara ahli keluarga kita. Cuba fikirkan dan mula mendidik ahli keluarga kita supaya menjadi sebuah keluarga muslim yang menjadi contah kepada masyarakat. Dalam masa yang sama, kita juga perlu cuba berjinak-jinak dalam dunia dakwah masyarakat seperti tazkirah, khutbah, forum dan sebagainya.

Akhir kata, cubalah sedaya upaya untuk melaksanakan amanah ini. Moga kita terlepas daripada azab Allah swt akibat pengabaian dan kalalaian daripada menunaikan amanah yang telah diberikan. 

Hakimi Hamzi Bin Mohd Hayat
Mantan Timb. Pres. 1 
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13

Ulasan