Sedetik Permusafiran

Mati adalah suatu kepastian,setiap yang diberi kehidupan pasti akan bertemu dengan kematian. Muda bukan penentu berapa lama lagi nafas dapat dihembuskan, tua sudah pasti bakinya makin berkurangan, sedang kepastian itu sendiri menyambut datang.




Benarlah sabdaan As Siddiq,Rasulullah s.a.w yang membawa maksud bahawa dunia ini akan menghampiri hujungnya dan kacau bilau semakin berleluasa, kesesatan berkembang pesat sedang kebenaran semakin terpinggir sepi, para alim ulama’ dibawa pergi bertemuNya satu persatu.

Saban hari ada sahaja khabar mereka-mereka golongan ‘muslih’ yang menjadi tempat berpaut dari rapuhnya dahan-dahan jaminan dunia pergi meninggalkan dunia..lalu,apakah kita bersedia menggalas pertanggungjawaban yang ditinggalkan mereka? Apakah kita juga bersedia menjejaki langkah mereka yang menyerahkan seluruh kehidupan kepada dunia ‘pengorbanan’?, mengorbankan segalanya demi mencapai keredhaan Allah s.w.t semata.

Baru-baru ini kita menerima khabar duka dengan pemergian seorang mujaddid di medan siyasah dan dakwah Malaysia,Tuan Guru Ustaz Harun bin Taib, ya!banyak air mata yang tumpah kerana sedih dan sebak dengan pemergiannya, namun yang pasti beliau disambut riang-ria disana diatas segala amal kebajikannya didunia ini, beliau pergi dengan husnul khatimah didalam perjuangannya dalam mengangkat panji-panji Islam. Moga kaki-kaki kita juga mengikut jejak langkah peninggalannya. Amin!

Merenung pada sisa-sisa umur yang tertinggal, mungkin sepuluh tahun lagi, mungkin juga lima tahun dan mungkin juga setahun cuma ataupun sedetik lagi! Gusar memikirkannya, jangan pula kegusaran itu tanpa disertakan amal kebajikan, bertambah teruk andai gusar itu wujud, namun maksiat masih menjadi kebiasaan! Nauzubillah min zalik..

Mengikuti coretan nasihat santai didalam penulisan buku “wahai anakku,senyumlah” yang ditulis oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, kadang-kadang membuat hati tercuit dengan peringatannya yang tepat mengenai sasaran, bagaikan seorang penmbak tepat melepaskan das tembakan, “wahai anakku, janganlah kamu merebut dunia yang sedikit dan kamu abaikan nikmat akhirat yang banyak. Janganlah kamu tamak dengan dunia yang kamu akan tinggalkan, sedang kamu tidak berusaha untuk akhirat yang kekal abadi. Buanglah sifat mazmumah dalam dirimu dan gantikanlah ia dengan sifat mahmudah”.

Benarlah!dunia ini ladang untuk bercucuk tanam amal kebajikan, kita ketepikan rumput-rumpai yang tidak diperlukan, bahkan merencatkan pertumbuhan tanaman, kita bajai ia dengan amal soleh yang bagai tiada kesudahan, kita sirami ia dengan taqwa kepada Allah s.w.t, hasilnya pasti tidak mengecewakan, kita kumpul kesemuanya di sebuah ‘bank akhirat’. Sudah tentunya pemilik bank tersebut Maha Adil lagi Saksama. Petani yang bagus akan menuai tanaman yang subur-subur, begitu juga hamba Allah yang soleh pasti akan tersenyum menerima hasil kebajikan yang dilakukan semasa hidupnya di akhirat nanti.

Semoga mati kita bukan menjadi pemati segala harapan, tetapi sebagai suatu permulaan untuk kehidupan yang lebih kekal abadi di akhirat sana.

Waktu senang ingat Allah, waktu susah ingat Allah,
Waktu sihat ingat Allah, waktu sakit ingat Allah,
Waktu lapang ingat Allah, waktu sempit ingat Allah,
Moga Allah tidak lupa pada kita!.


Aini Athirah Bte. Abdul Majid
Timb. S/u Agung MPM KUIZM 13/14


Ulasan