Ajal Tidak Menunggu Taubatmu



وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya : dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu Berjaya.
( surah An-nur ayat 31 )

Setiap manusia, setiap anak cucu Adam pastinya melakukan kesilapan dalam melayari bahtera kehidupan. Akan tetapi Allah s.w.t  itu bersifat maha Pengasih, Penyayang dan banyak lagi sifat-sifatNya yang berbentuk ihsan. Dengan itu kita diberi peluang untuk bertaubat di atas setiap kesalahan yang kita lakukan. Satu kisah yang sangat familiar di telinga-telinga kita, diriwayatkan oleh Imam Muslim tentang seorang pembunuh yang telah membunuh 100 nyawa manusia ingin bertaubat dan akhirnya mati di dalam perjalanan menuju taubat, dengan izin Allah taubatnya di terima walaupun mati dalam keadaan belum sempat bertaubat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “ wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Sesungguhnya aku bertaubat 100 kali dalam sehari.
( Hadis riwayat Muslim )

Bayangkanlah wahai sahabat sekalian, jika seorang kekasih Allah, seorang Rasulullah yang berakhlak mulia juga bersifat maksum  serta dijamin keampunan Allah bagi dosa-dosa yang terdahulu mahupun akan datang pun bertaubat 100 kali sehari! Apa lagi kita yang bukan bersifat maksum, kedudukan di sisi Allah hanya sebagai hamba, adakah kita tidak memerlukan taubat untuk mendapatkan magrifatullah?

Allah s.w.t yang bersifat Al- Ghaffar (Maha Pengampun) dan bersifat At-Tawwab (Mana Penerima Taubat) pasti akan menerima taubat hambanya yang benar-benar menyesali kesalahannya, dengan taubat yang sebenar-benarnya iaitu Taubat Nasuhah. Tetapi bagi mereka yang bertaubat, kemudian melakukan kemungkaran dianggap mempermainkan taubat itu sendiri.

Dalam realiti kehidupan hari ini ramai manusia yang hanyut dengan keseronokkan dunia sehingga lupa pada tanggungjawab kita sebagai hamba untuk mengabdikan diri kepada Tuhan yang menciptakan kita. Dalam masa yang sama kita tidak dapat menjamin jangka masa hayat kita di dunia yang sementara, dengan bahasa yang mudah adakah kita pasti kita boleh hidup seperti hari ini pada esok hari? Bahkan, jika kita hidup di waktu pagi adakah kita pasti kita akan hidup pada waktu petang? Kesemua soalan itu kita tidak dapat menjawabnya kerana ajal dan maut itu ketentuaan Ilahi.

Allah s.w.t berfirman :
فَتَابَ عَلَيْكُمْ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Maksudnya : Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

( Surah Al-Baqarah ayat 57 )


Demikian adalah kalam Allah yang tertulis di dalam Al-quran yang boleh kita pegang sebagai janji untuk orang-orang yang bertaubat. Jadi, marilah kita persiapkan bekalan akhirat seperti kita mempersiapkan diri kita akan mati pada esok hari. 


Arinil Hidayah Binti Mohamad Kassim

Timb. Ketua Lajnah Kebajikan Dan Penempatan MPM KUIZM 2013/14

Ulasan