Mengecam Tindakan Mahkamah Firaun Mesir

Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (MPMK) mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Mesir ke atas 529 orang ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong Presiden Mesir yang dipilih secara sah menerusi pilihanraya dan sistem demokrasi, Dr Mohamad Morsi.

Hukuman mati ini merupakan satu titik hitam di dalam sejarah moden dunia dan merupakan satu langkah mundur ke belakang yang diambil oleh kerajaan rampasan tentera Mesir. Kita mengharapkan agar negara-negara Islam dan kerajaan Malaysia khususnya bertindak tegas menyatakan bantahan terhadap tindakan zalim ini.

Kerajaan perampas Mesir yang dipimpin oleh Jeneral Abdul Fatah As-sisi yang telah sewenang-wenangnya mencampuri urusan kehakiman. Hukuman mati yang dijatuhkan hari ini juga merupakan satu isyarat bahawa Mesir sedang kembali ke era pemerintahan tentera yang pernah menyaksikan demokrasi di negara ini berkubur selama berdekad lamanya.

Bermula apabila Dr Morsi memenangi pilihanraya pada pertengahan tahun 2012 namun tidak kekal lama apabila tentera kembali merampas kuasa setahun kemudiannya. Berasaskan kepada hukuman mati yang dijatuhkan pada hari ini, tidak mustahil 682 lagi penyokong Morsi yang sedang menunggu giliran juga akan menerima nasib yang sama.

Langkah yang dilakukan oleh mahkamah Mesir ini hanya akan menyemarakkan lagi kebangkitan rakyat untuk meruntuhkan kezaliman melalui pelbagai gerakan samada secara jelas mahupun tersembunyi. Tiada siapa yang untung apabila berlaku konflik yang berpanjangan hanya semata-mata kerana Tentera enggan tunduk kepada proses demokrasi. Jeneral Tentera Abdul Fatah As-sisi dan pimpinan kerajaan sementara yang tidak sah mesti bertanggungjawab di atas darah yang telah ditumpahkan oleh tangan-tangan mereka.

Penindasan ini mesti dikecam melalui apa cara sekalipun. Cubaan untuk menjustifikasikan rampasan kuasa atas 'sebab-sebab aneh' seperti kelemahan pentadbiran Morsi, dan protes oleh jutaan rakyat Mesir adalah cetek dan sangat subjektif. Justeru MPMK menegaskan bahawa sebarang tindakan yang mencerobohi ruang demokrasi wajib dikutuk oleh seluruh dunia lebih-lebih lagi negara-negara Islam termasuklah Malaysia yang bernaung di bawah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).




Ahmad Syifa Abd Rahim
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM