Keutamaan Ukhuwah



Keutamaan ukhuwah dapat dilihat daripada faedah-faedahnya yang banyak :


1.   Mendapat Kecintaan Allah swt.

Dua hati, antara dua orang yang bersahabat, yang menjalin persahabatan atau persaudaraan kerana Allah swt, akan mendapat balasan dari Allah swt iaitu Allah Ta’ala akan mencintai kedua-dua mereka. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan daripada RasululLah saw: “Bahawa seorang lelaki pergi menziarahi saudaranya yang tinggal di sebuah kampung, lalu Allah Ta’ala mengutus seorang malaikat untuk mengawasi perjalanannya itu. Ketika sampai, malaikat bertanya: “Hendak bertemu siapa?” Jawab lelaki itu: “Saya hendak bertemu dengan saudara saya yang tinggal di kampung ini.” Malaikat bertanya pula: “Apakah kamu akan dapat sesuatu daripadanya?” Jawab lelaki itu: “Tidak, tetapi saya mengasihi, merinduinya kerana Allah.” Malaikat berkata: “Aku diutus Allah kepadamu untuk memberitahu, bahawa Allah mencintamu seperti mana kamu mencintai saudaramu itu.” Allahu Akbar wa lilLahi al-Hamd…adakah di sana cinta agung tandingan yang didamba setiap sekeping hati selain cinta agung yang tulus mulus dan terjamin tidak ada masa surut, khianat dan curangnya ini?.


2.   Mendapat perlindungan Allah Ta’ala di hari akhirat 

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa RasululLah saw bersabda:

“Pada hari kiamat, Allah akan berfirman (menyeru): “Manakah orang-orang yang (dulu semasa di dunia) saling mencintai kerana KeagunganKu? Hari ini Aku akan melindungi mereka, sebab hari ini tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganKu.”” [Hadis Muslim]


3.   Berada di atas mimbar-mimbar cahaya

Hadis qudsi daripada ‘Ubadah bin Shomit, Allah swt berfirman; “KecintaanKu hanya untuk orang-orang yang saling mencintai, saling menghubungkan silaturrahim dan saling berkorban keranaKu. Orang-orang yang saling mencintai keranaKu, akan berada di atas mimbar-mimbar cahaya. Para nabi, sahabat dan syuhada merasa cemburu terhadap mereka”. [Hadis Ibnu Hibban dll]


4.   Beribadah dengan amal yang paling utama.

Daripada Mu’az bin Anas, RasululLah saw telah ditanya: tentang apakah amal yang paling utama?, Jawab RasululLah saw: “Kamu mencintai dan membenci kerana Allah dan kamu menggunakan lidahmu untuk mengingatiNya.” RasululLah saw ditanya lagi: “Apa lagi wahai RasululLah?” RasululLah saw menjawab: “Bahawa kamu suka untuk manusia apa yang engkau suka untuk dirimu sendiri dan engkau tidak suka untuk manusia apa yang engkau tidak suka untuk dirimu sendiri.” [Hadis Imam Ahmad]


5.   Terhindar dari rasa takut dan dukacita

Umar r.a meriwayatkan, bahawa RasululLah saw bersabda:

“Di antara hamba-hamba Allah ada manusia yang bukan para nabi dan bukan pula para syuhada, tetapi pada hari qiamat para nabi dan para syuhada cemburu kepada mereka kerana kedudukan (istimewa)nya di sisi Allah.” Para sahabat bertanya; “Wahai RasululLah! Beritahu kami siapakah gerangan mereka itu?” Rasulullah saw menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah, bukan kerana hubungan keluarga dan bukan kerana harta yang mereka saling berikan. Demi Allah! Muka mereka itu bercahaya, mereka berada di atas cahaya, tidak merasa takut ketika orang-orang lain merasa takut, tidak berdukacita ketika orang lain berdukacita”.

Kemudian RasululLah saw membacakan ayat:

أَلآ إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَهُمْ يَحْزَنُونَ
“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada rasa takut dan mereka tidak bersedih hati”. [QS.10 (Yunus):(62)]


6.   Terampun segala dosa.

Riwayat ath-Thabrani, RasululLah saw bersabda:

“Sesungguhnya seorang muslim apabila bertemu dengan saudara muslimnya, lalu berjabat tangan, gugurlah dosa kedua-duanya sebagaimana berguguran daun-daun dari pohon ke bumi di suatu hari yang berangin kencang, diampunkan dosa kedua-duanya walaupun dosanya seperti buih di lautan”.


7.   Mengecapi kemanisan iman.

RasululLah saw bersabda:


“Tiga perkara, sesiapa yang terdapat ketiga-tiga perkara tersebut dalam dirinya, ia akan mengecapi kemanisan iman, iaitu; bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari yang lain, bahawa ia tidak mengasihi seseorang kecuali kerana Allah dan bahawa ia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci dilontarkan ke dalam neraka”.


Admin.

Ulasan