Kecelakaan Bagi Mereka Yang Tidak Mendapat Pengampunan

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183,

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Puasa Ramadhan adalah menjadi salah satu medium yang Allah swt gunakan untuk mendidik hambanya yang beriman untuk peroleh taqwa yang sebenar. Taqwa menurut sayyidina Ali Bin Ali Talib adalah takut kepada Allah SWT, beramal sesuai dengan apa yang telah diturunkan kepada nabi SAW, bersyukur dengan nikmat yang sedikit dan sentiasa bersedia dengan hari kemudian. Ini selaras dengan perintah Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud:



 “Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang  telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”  -Al-Hasyr:18

Hamba yang bertakwa adalah insan yang mampu mewujudkan nilai Islam secara menyeluruh dalam dirinya. Dirinya terpahat nilai-nilai Islam yang akan melaksanakan segala tuntutan Islam, Iman yang sempurna dan mempunyai  sikap Ihsan iaitu menghambakan diri hanya kepada Allah s.w.t serta  merasa kehadiran dan pengawasan Allah s.w.t.

Ibadah puasa itu sendiri merupakan sumber motivasi Ramadan dalam membina potensi, semangat dan kekuatan kepada kita. Sekiranya puasa itu  dilaksanakan dengan baik, proses pembebasan jiwa dari kongkongan hawa nafsu yang bersifat keduniaan dan kebendaan mudah dicapai. Pengakhirannya akan melahirkan individu yang bergelar hamba Allah s.w.t. dan bukannya hamba kepada nafsu.

Ulamak menyifatkan Ramadhan sebagai satu madrasah yang berperanan melahirkan graduan yang bertakwa apabila individu tersebut benar-benar mematuhi peraturan, sistem kurikulum dan ko-kurikulum selama berada di madrasah ini. Maka sewajarnya kita sebagai seorang  hamba mempersiapkan diri dan berusaha untuk merebut extra bonus Ramadhan serta menjaga perilaku kita agar tidak tersasar dalam melakukan dosa yang boleh menyebabkan berlakunya kecacatan dalam amal ibadah kita.

 “Allahumma Bariklana fi Ramadhan ...” Inilah doa yang seringkali diucapkan dan sentiasa diulang-ulang apabila tibanya bulan Ramadhan al-Mubarak  bagi mengambil mengambil sunnah Rasulullah SAW yang sering diulangi baginda nabi, ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Ramadhan’.

Sama-samalah kita saling ingat-mengingati, memohon keampunan Allah SWT atas dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini samada sedar atau tidak sedar serta tidak melepaskan peluang untuk melakukan amal kebaikan dan berdoa agar amal kebaikan kta diterima oleh Allah SWT.

Dari Abi Hurairah r.a. 

Rasulullah SAW naik keatas mimbar, kemudian baginda berkata "Amin..Amin..Amin.." Kemudian para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW. "Wahai Rasulullah, Apakah sebab tuan mengatakan amin (3x) semasa menaiki mimbar?"

Kemudian Rasulullah SAW memberikan keterangannya. "Jibril telah datang kepadaku dengan mengatakan : "Barangsiapa yang telah datang kepadanya bulan Ramadhan, kemudian dia tidak mendapatkan pengampunan pada bulan Ramadhan. Maka ia dimasukkan kedalam api neraka dan Allah SWT jauh darinya, maka katakanlah amin." Kemudian aku mengaminkannya"

(Hadis riwayat Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya 3:118) 


Nor Sumayyah Bt Mohd Zan
Timb. Ketua Lajnah Dakwah Dan Tarbiyah MPMK
Sesi 2013/14

Ulasan