Tuesday, 8 July 2014

Kemurtadan Yang Disembunyikan

Sejak akhir abad ini, wujudnya satu jenis kemurtadan yang tidak sesombong kemurtadan secara jahar. Ia lebih licik, lantaran itu ia tidak menzahirkan kemurtadannya secara nyata. Sebaliknya ia menutupnya dengan pelbagai topeng atau lakonan. Ia akan menyusup masuk ke dalam akal fikiran seumpama merebaknya penyakit di dalam tubuh. Anda sememangnya tidak dapat melihatnya ketika ia menyerang tubuh. 


Tetapi akan hanya diketahui sebaik sahaja terserlah penyakit serta simpton-simptonnya. Ia tidak membunuh dengan senjata api sebaliknya dengan racun yang lambat menyerang. Ia letakkan racun tersebut di dalam manisan serta gula-gula. Keadaan ini hanya dapat dikesan oleh golongan cerdik pandai serta mereka yang mendalami hal-hal keagamaan. Namum mereka tidak miliki apa-apa untuk dilakukan terhadap penjenayah yang licik ini. Golongan tersebut tidak dapat dikawal dan mereka tidak membiarkan peluang terbuka kepada undang-undang untuk menjerut leher mereka. Mereka itulah golongan munafik yang berada di punggung mereka.


Ia adalah "Kemurtadan Pemikiran" yang dapat kita lihat kesannya setiap hari. Perkara ini jelas lagi nyata sama ada melalui penulisan buku-buku yang disebarkan, akhbar-akhbar yang diedarkan, majalah-majalah yang dipasarkan, program-program yang dipertontonkan, budaya-budaya yang dipromosikan serta undang-undang yang digubalkan. Jalur pemikiran ini  diambil daripada ahli-ahli falsafah Barat yang telah kecewa dengan agama mereka. Menutupi perancangan jahat mereka dengan perkara-perkara yang lunak seperti Freedom of Speech, Freedom of Religion dan sebagainya. 

Sebab itu kalau kita lihat di dalam surah al-An'am ayat 112 yang menceritakan antara strategi yang dilakukan oleh musuh para nabi dan pengikutnya adalah dengan cara 'زخرف القول' iaitu kata-kata yang menyedapkan telinga yang didengari tetapi sebenarnya mempunyai agenda jahat untuk menghancurkan. Lihat sahaja dalam Liberalisme, mereka mendendangkan tentang kebebasan dan persamaaan. Tetapi tujuan mereka yang sebenar adalah untuk melarikan umat Islam daripada kenyakinan terhadap Islam.

Menurut apa yang pernah dibicarakan oleh Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi, "Kemurtadan Pemikiran" ini adalah lebih merbahaya berbanding kemurtadan yang terang-terangan kerana ia bekerja secara berterusan dan dalam skop yang lebih luas. Ia tidak dapat dibanteraskan sepertimana kemurtadan terang-terangan yang selalunya mencetuskan kegemparan, menarik perhatian serta menyentuh emosi masyarakat umum.

Kemunafikan adalah lebih merbahaya dari kekufuran yang nyata. Kemunafikan Abdullah bin Ubai serta para pengikutnya dari kalangan munafik Madinah adalah lebih merbahaya ke atas Islam berbanding kekufuran Abu Jahal serta para pengikutnya dari kalangan puak Musyrikin Makkah. Kerana itulah, di dalam Al-Quran dizahirkan ayat cercaan pada permulaan surah Al-Baqarah dengan kalimah الذين كفرواْ iaitu golongan yang mengzahirkan kekufuran di dalam dua ayat sahaha, tetapi Al-Quran telah menyebut tentang golongan munafik dalam 13 ayat.

Ia adalah kemurtadan yang sentiasa bersama kita. Namun jarang orang menentangnya. Kewajipan kita di sini ialah menyerang mereka dengan senjata sama yang digunakan mereka. Pemikiran mesti ditentang dengan pemikiran sehingga tersingkap dan terzahir perancangan jahat mereka serta menggugurkan hujah-hujah mereka dengan kebenaran hujah pihak yang benar.

Memang benar, mereka menguasai media massa, bercetak atau elektronik. Namun kekuatan kebenaran yang berada bersama kita, serta kawalan keimanan di dalam hati anak bangsa kita serta dorongan dari Allah SWT kepada kita, semuanya sudah mencukupi bagi memusnahkan kebatilan serta kesongsangan mereka.

بل نقذف بالحق على البٰطل فيد مغهو فإذا هوزاهق

"Sebenarnya kami melontarkan yang hak ke atas yang batil lalu yang hak itu menghancurkannya. Maka dengan serta merta yang batil itu lenyap."

(Al-Anbiya : Ayat 18)

فأما الزبد فيذهب جفآء واماما ينفع الناس فيمكث في الأرض

"Adapun buih itu, akan hilang tanpa ada harga baginya, ada pun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap kekal di atas bumi."

(Surah Al-Rad : Ayat 17)

Wallahua'lam.



Mohd Fadhil Zulkifli
Timbalan Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM
2013/2014

0 comments:

Post a Comment

Email