Luka Gaza, Luka Kita Bersama


Ramadhan kali ini kita dikejutkan dengan khabar mengenai Bumi Gaza yang diserang secara besar-besaran oleh Zionis laknatullah, ini menimbulkan kepiluan yang sangat dalam di hati seluruh umat Islam. Bunyi bedilan bom dan pelbagai jenis peluru menjadi irama yang menyeru mujahidin kepada jihad  di sana, kita pula di sini masih lagi khayal dengan alunan muzik yang tidak membantu untuk menambahkan taqwa kepada Allah.

Dimanakah silap kita sebagai anak muda Islam tidak lagi mempunyai rasa sayang terhadap saudara kita di Gaza? Kita hanya mendengar berita ini tanpa sedikitpun mahu berusaha untuk membantu jihad mereka di sana. Sudahkah hilang rasa kasih sayang kita kepada saudara seIslam kita disana?

Ramadhan sudah menjengah pada fasa kedua, tidakkah 10 hari yang pertama itu mengubah kita untuk lebih rasa kehambaan kepada Allah? Menjadi lebih cakna kepada saudara-saudara seIslam kita?

Anak-anak muda di Gaza bersahur di dunia, namun terus menempah mahligai terindah untuk berbuka lewat petang nanti. Syahid sentiasa diburu, apakah kita tidak cemburu? Mujahidin tidak teragak-agak, tidak gentar untuk melawan kembali Israel yang tidak putus asa untuk merampas tanah umat Islam ini, mereka terus maju dan bersemangat menghadapi musuh dengan ketinggian tawakal kepada Allah. Apa usaha kita disini?

Ayuh, saya menyeru kepada seluruh sahabat-sahabat agar sama-sama menghulurkan bantuan kewangan dan tenaga doa setiap kali seusai solat, wajibkan diri kita untuk sentiasa mendoakan kemenangan buat Gaza dan rakyatnya.

Ayuh muslimat, didiklah diri kita mengikut acuan Al-Quran dari hari ini supaya mampu melahirkan mata rantai perjuangan Islam untuk hari muka. Jika tidak kita, siapa lagi yang boleh diharapkan?


Nurul Asyikin binti Md Azli
Timb. Bendahari Kehormat,

MPMK sesi 2013/2014

Ulasan