Lestari Fikrah Perjuangan Dari Sirah

Di celahan berjuta-juta bintang yang berkelipan yang bergerak dan beredar mengikut arahan Allah SWT yang menciptakan Alam, terdapat makhluk yang bergelar manusia dan jin di mana Allah SWT telah menciptakan dua makhluk ini untuk menyembah-NYA. Maha suci Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Namun tidak jin, bintang dan matahari tetapi manusia yang dipilih untuk menggalas tanggungjawab menjadi khalifah di muka bumi. Allah SWT perturunkan perintah-NYA yang bersifat kekal abadi melalui malaikat Jibril kepada para nabi untuk disebarkan kepada umat mereka lantas dapat memerintah bumi ini mengikut apa yang telah diperintahkan oleh pencipta alam.
Zaman berganti zaman, nabi berganti nabi sehinggalah penghulu segala nabi, Nabi Muhammad SAW diutuskan bersama mukjizat yang paling agung iaitu mukjizat Al-Quran yang menjadi nadi kekuatan umat Islam. Bermula dari berdakwah secara rahsia, Rasulullah SAW mengkader pelbagai tenaga manusia (manpower). Namun Umat Islam tidak dihiraukan, diketawakan, diseksa dan ditentang. Sehinggalah membawa kepada peristiwa Hijrah baginda ke Kota Madinah yang menyaksikan terbinanya sebuah negara Islam, Sunnah yang dibawa dan diperjuangkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Nabi Muhammad SAW mentadbir negara Islam Madinah bukanlah semata-mata mendominasi negara yang kosong syariat, tetapi hakikatnya Baginda SAW mengajar umat Islam kepada cita-cita Akhirat dengan melaksanakan syariat Allah Yang Maha Agung.
Sudah menjadi sunnah dalam perjuangan Islam akan ada musuh yang cuba menyekat syariat Islam daripada terlaksana walaupun mereka kenal akan kebenaran, peperangan pasti tercetus antara kaum hak dan kaum batil. Peperangan ini bukanlah akibat kepentingan politik dan juga bukan akibat tidak puas hati semata-mata, tetapi yang paling utama peperangan antara umat Islam dan kafir Quraisy adalah pertembungan dasar dan fikrah. Ada segelintir umat Islam yang mencintai Nabi Muhammad SAW dan Islam namun sayangnya mereka lebih sayangkan keluarga mereka yang menentang Islam, akibat gagal memahami bahawa dasar Islam adalah lebih utama daripada ukhuwah dan silaturrahim maka mereka juga tergolong dalam golongan yang tidak mendapat hidayah, enggan berhijrah ke Madinah malah ada pula yang menyertai tentera kuffar.
Pembukaan kota Mekah menyaksikan fikrah dan dasar Islam tersebar ke seluruh dunia. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Khalifah Ar-Rashidun menyambung legasi perjuangan membawa risalah dasar Islam ini sehinggalah Islam berjaya menguasi Empayar Parsi Sasanid. Dasar Islam kemudian dipelihara oleh Khalifah dan Ulamak Islam sehinggalah terjatuhnya negara Islam Uthmaniyah angkara Mustafa Kamal Atarturk yang berkomplot dengan musuh Islam. Perjuangan membawa dasar Islam kemudiannya diperjuangkan oleh para Ulamak pada zaman moden yang berkonfront dalam arena politik demi melihatkan dasar Islam tertegak di seluruh negara umat Islam pada hari ini.
Saya bukanlah ingin bercerita tentang sejarah namun dengan melihat sejarah, kita merenung kembali pejuang-pejuang terdahulu di mana kita yang menyambungnya. Sebagai anak anak muda yang berintima’ bersama PAS, kita seharusnya menilai kembali apakah dasar perjuangan kita. Adakah dasar kita semata-mata mendambakan agar mampu menguasai Putrajaya yang baru dibina tidak sampai 100 tahun pun sedangkan dasar Islam itu telah diperjuangkan oleh para nabi beribu-ribu tahun lagi malah ia bukan sahaja berhenti di dunia malah keberkatan memperjuangkannya harum sehingga ke negeri Akhirat.
Sebagai penyokong dan pendokong kepada PAS yang teguh bersama perjuangan Islam, perkara penting yang perlu dihadam lumat, antaranya termasuklah :
1- Berbezanya PAS dengan UMNO, PKR, DAP dan lain-lain parti politik adalah berbeza dasar yang diperjuangkan. PAS memperjuangkan keseluruhan akan Islam itu. Walaupun kita bertahaluf siyasi dengan PKR dan DAP harus diingat bahawa kita berbeza dasar dengan mereka. Dasar ini tidak boleh diubah dan tidak boleh digadai. Sekalipun dalam Pakatan Rakyat. Menjadi suatu kewajipan kita meletakkan dasar Islam ini lebih tinggi daripada apa sahaja kepentingan. Sangat malang bagi mana-mana ahli PAS yang sanggup menggadaikan prinsip Islam seperti manusia yang tidak bermaruah sekalipun mengetahui betapa peritnya perjuangan Nabi terdahulu.
2- Walaupun kita berada dalam Pakatan Rakyat, kita mesti mengutamakan dasar perjuangan PAS terlebih dahulu dalam apa jua isu. Bukan mengutamakan Pakatan Rakyat dahulu barulah dasar perjuangan kita. Janganlah kita meniru kesilapan segelintir mereka yang sayangkan Islam dan Nabi Muhammad SAW namun tidak mahu mengikut Hijrah Nabi malah tega pula menyertai tentera musuh kerana lebih menyayangi keluarga sendiri melebihi dasar Islam. Jika perlu berhadapan dengan situasi Dasar Islam bertembung dengan ukhuwah/silaturrahim (menjaga hubungan baik) maka Dasar Islam itu lebih diutamakan. Mereka yang lebih mengutamakan kawan daripada dasar Islam umpama manusia yang hanya tinggal jasad tetapi tiada roh.

MOHD FADHIL BIN ZULKIFLI
Mahasiswa KUIZM