PAS Menghadapi Ancaman Dan Cabaran Antarabangsa


Catatan dan ulasan ringkas daripada ucapan dasar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63, Kota Sarang Semut, Kedah.

Oleh : Ammar Roslan

Kita berada dalam dunia yang semakin maju tanpa sempadan dan terus bergolak dengan berbagai konflik serta peristiwa yang berlaku. Penjajahan waktu ini bukan sahaja dalam bentuk geografi melalui senjata, bahkan juga melalui pemikiran, ekonomi dan kuasa.

Pada masa yang sama kita melihat terdapat kecenderungan yang amat merbahaya apabila wujud kumpulan-kumpulan yang secara tersusun telah dan sedang berusaha untuk mencabut amal Islami dalam diri setiap orang yang beriman. Menyebabkan akhirnya timbul pula kelompok yang "bermudah-mudah" dan "ekstrem" oleh kerana punca kurangnya kefahaman ilmu agama dalam diri mereka.

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu)."

[Al-Baqarah : 120]

Secara tidak langsung, akhirnya kesemua ini menatijahkan kerosakan yang nyata. Malah diburukkan lagi dengan kepimpinan negara umat Islam yang memabukkan kuasa, takhta, harta dan sebagainya, serta tidak mengambil peduli tentang ancaman yang dihadapi oleh sekelian umat Islam yang lain. Lalu umat Islam akhirnya menjadi biduk di papan catur yang menjadi mangsa permainan Yahudi dan Barat sesuka hati.

Apa yang menjadi kebimbangan kita ialah, kesabaran umat Islam dan masyarakat antarabangsa berbagai etnik di seluruh dunia boleh menjadi tidak terkawal dan merebak kepada masalah lain yang lebih parah lagi sekiranya kezaliman dan kekejaman terhadap umat manusia di merata tempat ini tidak dirungkaikan dengan segera.

Islam memberi penyelesaian dengan mendahulukan "perdamaian" dan mengambil langkah diplomatik dan diplomasi dalam merungkai konflik dari berlarutan. Diplomasi Islam adalah seni menjalankan hubungan luar dan memelihara objektif negara Islam dengan negara-negara lain atau pertubuhan antarabangsa dengan menggunakan kebijaksanaan dan kepintaran untuk mendamaikan konflik melalui cara yang terbaik. Terdapat di dalam al Qur'an, ayat-ayat yang menerangkan cara yang terbaik untuk mengajak manusia beriman kepada jalan Allah S.W.T dengan menggunakan hikmah, nasihat dan berbincang dengan baik.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ 
أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah, nasihat yang baik dan berdialoglah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."

[An-Nahlu : 125] 

Sejarah membuktikan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bukan sahaja berperanan sebagai Rasul bahkan baginda adalah seorang negarawan dan ketua ketenteraan. Sebagai seorang negarawan baginda telah menunjukkan cara dan kaedah berdiplomasi dengan kabilah, orang bukan Islam di Madinah dan luar Madinah. Diplomasi yang sistematik telah diguna pakai oleh Nabi dalam penyebaran dakwahnya walaupun pada ketika itu istilah diplomasi masih belum wujud.

Ini jugalah yang dibuktikan oleh PAS, yang bukan sahaja melibatkan perjuangan di medan politik pilihanraya semata-mata, malah PAS juga mengandungi perjuangan yang melibatkan isu dakwah kemanusiaan samaada di peringkat domestik atau antarabangsa, tanpa mengira fahaman politik, agama, kaum, etnik, gender, dan persekitaran. Lebih jelas lagi PAS juga telah berusaha bersama dengan berbagai agensi kemanusiaan yang berperanan untuk menyampaikan bantuan makanan halal, air bersih, tempat perlindungan, ubat-ubatan dan khidmat kesihatan, pakaian, dan segala bentuk bantuan kemanusiaan.

Maka kerajaan Malaysia juga sewajibnya melakukan hal yang sama untuk bersama-sama dengan negara-negara lain, dan bekerjasama dengan mereka agar tidak membuka peluang kepada campur tangan kuasa-kuasa besar dalam menangani isu-isu yang akan menyebabkan kemudaratan berpanjangan, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kepentingan umat Islam.

Justeru, saya juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya agar dapat memantapkan lagi kefahaman kita semua mengenai Islam yang sebenar dan menyeluruh. Ini bagi mengelakkan kita terus diperdaya oleh musuh-musuh akhir zaman yang licik. Disebutkan oleh Baginda S.A.W sebagai fatrah "dakhnun" yang penuh dengan kekeliruan di segenap penjuru. Mereka menggunakan agama sewenang-wenangnya bagi menghalalkan segala cara yang dilakukan. Bahkan kita juga mestilah berani dan kuat dalam mempertahankan kebenaran dan prinsip yang dipegangi tanpa mengira kepentingan peribadi atau hati-hati manusia.

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya ; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."

[Al-Isra' : 36]

Sedarkah kita sudah hampir satu abad umat Islam tidak mempunyai "khilafah" yang menerajui seluruh wilayah Islam yang ada di dunia ini di bawah satu pemerintahan? Sepatutnya kerajaan Malaysia yang pemimpinnya Islam itu yang lebih perlu memainkan peranan dengan proaktif dan konsisten dalam hal-hal sebegini, memberi kefahaman agama kepada rakyat, menjadi watak pertama yang mempertahankan kedaulatan Islam, tidak perlu tunduk dan takut dengan kecaman negara-negara besar yang hanya kuat di mata makhluk. Tapi apakan daya, perjuangan mereka untuk agama dan rakyat hanya sekadar gimik dan lakonan semata-mata. Mereka lebih terpesona dengan nikmat-nikmat dunia yang sementara yang tidak memberi manfaat langsung kepada mereka di akhirat,

Menyedari hakikat di atas, marilah sama-sama kita berusaha untuk membina kembali kekuatan dan meletakkan Islam di atas muka bumi ini melalui tingkatan "maratibul amal" yang telah digariskan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna, serta meruntuhkan kejahilan yang ada seruntuh-runtuhnya. Kita juga wajib meletakkan keyakinan dan tawakkal yang tinggi terhadap Allah S.W.T di tahap maksimum selaku Tuhan Pencipta Alam yang Maha Berkuasa dan Maha Membalas setiap apa yang dilakukan. Jangan pula kita tergolong dalam golongan "isti'jal" yang tergopoh gapah untuk mendapatkan kemenangan sehingga akhirnya melanggar batas-batas agama lalu merosakkan perjalanan dan melambatkan kemenangan Islam.

Wallahua'lam.

Ulasan