Sorakan Yang Hilang


Perlawanan akhir bagi Piala FA 2017 telah melabuhkan tirai dengan menyaksikan pasukan Kedah dinobatkan sebagai juara bagi edisi kali ini. Berdasarkan situasi yang berlaku, dengan semangat yang ditonjolkan oleh para penyokong, suka untuk saya nukilkan catatan ini buat kita hayati dan muhasabah bersama. 

Di saat pasukan yang disokong mara ke peringkat akhir, berkobar-kobar semangat kita sebagai penyokong, membara seperti api yang sangat marak menyala hingga sanggup mengorbankan wang dan masa demi memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.

Tiba saat perlawanan bermula, penyokong melihat dan bersorak dengan penuh semangat sehingga tamat 90 minit masa perlawanan. Jika natijahnya adalah kemenangan, maka kita akan bersorak kegembiraan dan menyatakan rasa bangga yang tidak berbelah bahagi terhadap pasukan yang disokong serta diulik mimpi indah 7 hari 7 malam.

Tetapi, jika natijahnya adalah satu kekalahan. Kita pasti akan merudum kecewa, sedih dan menyatakan rasa kekesalan. Sebahagian lain pula ada yang merasakan bahawa pengorbanan wang dan masa di stadium itu menjadi satu pembaziran.

Tetapi, disebalik kekecewaan ribuan penyokong, pasti akan ada segelintir yang faham erti perjuangan pemain di atas padang. Mereka akan setia menunggu dan terus bersorak walaupun pasukan mengalami kekalahan dan akan terus menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi, kerana mereka faham dan merasai kesungguhan yang telah dipamerkan para pemain di atas padang.

Begitu juga jika dikaitkan dengan komitmen kita dalam medan perjuangan. Di saat 'era kebangkitan Islam' ini, khususnya menjelang ambang Pilihanraya Umum (PRU), pasti ramai 'penyokong Islam' yang sedang berkobar-kobar membawa panji Islam untuk dikibarkan. Tambahan pula bilamana seolah kemenangan itu sudah berada di tahap kemuncak, akan ada yang berazam untuk berusaha dengan penuh semangat dengan mengorbankan seluruh jiwa dan tenaga bagi memenangkan Islam.

Natijahnya, jika kita memperoleh kemenangan, maka kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan disamping merasa puas di atas segala usaha yang telah dikorbankan. Kita juga akan bersorak dengan rasa bangga bahawa kita lah pejuang Islam dan tergolong dikalangan mereka yang bersama memenangkan Islam.

Tetapi, jika ditakdirkan kemenangan itu tertangguh, atau dalam erti kata lain, tewas ketika itu? Pasti perasaan sedih, kecewa dan futur setelah berusaha sedaya upaya memerah sepenuh keringat untuk memastikan kemenangan yang akhirnya tidak kunjung tiba. Akan hilanglah segala butir 'keikhlasan' yang ditaburkan sepanjang usaha kita dalam memenangkan Islam.

Tetapi disebalik kekecewaan itu, pasti ada yang akan terus berusaha bekerja untuk memenangkan Islam berdasarkan asas kefahaman tentang apa yang diperjuangkan. Golongan ini tidak sesekali akan merasa futur, tetapi sebaliknya merasa gembira dan bersyukur di atas segala usaha gigih dan pengorbanan yang telah dicurahkan buat Islam.

Hal ini terjadi tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana mereka memahami matlamat perjuangan Islam yang meletakkan usaha dalam menuju keredhaan Allah itu yang paling utama, dan bukan hanya pada matlamat untuk mencapai kemenangan semata-mata.

Justeru, kita tidak seharusnya menjadi seorang penyokong yang hanya bersorak ketika menang, tetapi berdiam diri dan lari ketika kalah. Jadilah seorang pendokong yang berkualiti dengan memahami asas dan matlamat perjuangan yang sebenar, serta terus tsabat dalam memperjuangkan agama Islam di atas muka bumi Allah ini.

Berjuanglah atas dasar kefahaman ilmu yang jelas berasaskan al-Quran dan Sunnah. Bukan atas dasar semangat semata-mata.

20 Mei 2017M | 23 Sya'ban 1438H

Umar Sufi Nasarudin
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM,
Sesi 2016/2017.

Ulasan