Ibrah Syawal : Gembira Dan Waspada



Perang Ahzab berlaku pada bulan Syawal iaitu perang yang dilancarkan hasil pakatan kumpulan-kumpulan yang membenci dan memusuhi Islam dari kalangan Yahudi, Musyrikin Mekah, dan Munafiq serta yang mengkhianati perjanjian Piagam Madinah dengan tujuan untuk menghancurkan Islam.

Memori Ahzab merupakan peristiwa yang menunjukkan ke'izzahan Islam. Dengan pertolongan Allah, kemenangan berpihak kepada Islam meskipun bilangan pasukan musuh 3 kali ganda lebih ramai berbanding pasukan Muslimin. Nikmat kemenangan ini perlu disyukuri dan menjadi kebanggaan bagi jiwa-jiwa mukmin. Firman Allah S.W.T :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا ۚ وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا

"Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan."

(Al-Ahzab : 9)

Namun, dalam kebanggaan dan kegembiraan itu, jangan pula kita leka. Kewujudan tentera Ahzab ini tetap ada sehingga kiamat dengan wajah yang berbeza, tetapi memainkan watak yang sama, iaitu memusuhi, saling bergabung, serta bahu membahu untuk menghancurkan Islam.

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا

"Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya)."

(Ali 'Imran : 140)

Islam hari ini diserang dari segenap ruang dan penjuru, para munafiq terus menjadi penyumbang terbesar dalam pertembungan Ahzab moden ini. Justeru, kita sebagai umat Islam seharusnya berjaga-jaga dengan segala perancangan dan serangan saraf yang dilakukan oleh mereka dari luar dan dalam.

Jangan kita menjadi umat yang selesa dan mengambil mudah dengan setiap situasi yang berlaku. Mentaliliti dan sikap amilin Islam masa kini perlu diubah agar menjadi lebih serius, proaktif, kritis dan optimis agar tidak membuka ruang kepada agenda kejahatan menyusup masuk ke dalam jemaah Islam lalu merosakkannya tanpa sedar.

Teladani kembali firman Allah S.W.T yang memberi amaran berpanjangan kepada umat Islam tentang muslihat golongan ini agar menjadi panduan kepada kita semua :

 وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا

"Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", niscaya kamu lihat orang-orang munafiq menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu."

(An-Nisa' : 61)

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka."

(Al-Baqarah : 120)

Semoga Allah S.W.T memperkukuhkan kita semua di atas jalan yang benar.

29 Ramadhan 1438H | 24 Jun 2017M

Khairul Fikri Helmi Azhar
Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiyah MPMK,
Sesi 2016/2017.

Ulasan