Abu Jahal : Senior Yang Merosakkan


Nama asalnya Amru bin Hisham, digelar sebagai Abu al-Hakam kerana kecerdikannya dalam memberi pendapat dan keputusan sebelum kedatangan Islam di Mekah. Beliau berjaya memasuki Darun Nadwah (Parlimen Quraisy) ketika baru berumur 30 tahun, sedangkan yang lain berumur sekitar 40 tahun atau lebih. Ini disebabkan oleh kredibiliti dan kemampuan yang ada pada dirinya ketika itu.

Namun selepas kedatangan Islam, beliau kemudiannya diberi gelaran Abu Jahal oleh Rasulullah S.A.W dan umat Islam sebagai satu penghinaan terhadapnya atas kegagalan dan ke-egoan beliau dalam membezakan antara haq dan bathil.

Abu Jahal merupakan senior di kalangan kaum Quraisy yang mempunyai pengaruh serta pengikut yang ramai. Beliau merupakan antara penentang kuat Rasulullah S.A.W ketika Baginda membawa risalah Islam. Beliau juga menggunakan pengaruh ke'tua'annya bagi mendoktrin pemikiran masyarakat Quraisy agar tidak menerima ajaran Islam.

Beliau bahkan bukan tidak mengetahui akan kebenaran yang dibawa oleh Nabi S.A.W. Namun, jawatan, senioriti, dan kecerdikan yang dikurniakan kepada Abu Jahal ketika itu menjadikan ia sombong, hingga terhalangnya laluan hidayah Allah S.W.T untuk sampai ke dalam dirinya. 

Walaupun Abu Jahal menerima pelbagai nikmat dan kehormatan di atas muka bumi. Namun, Allah tetap menjanjikan neraka buatnya, itulah posisi yang terbaik buat orang yang bodoh, sombong serta kufur kepada Allah S.W.T.

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا ۚ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ

"Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan."

Sedikit ibrah yang dapat saya kongsikan melalui penceritaan di atas :

  • Tidak ada nilainya jika kita mempunyai segala macam kelebihan tetapi menjauhkan manusia daripada Allah S.W.T.
  • Bukan lah jawatan, senioriti, dan kecerdikan itu yang membezakan kita, kerana apa yang menjadi kayu ukur manusia disisi Allah S.W.T itu adalah keimanan.
  • Tidak harus diikuti mana-mana orang ternama yang mempunyai kepentingan diri serta bermudah-mudah dalam perkara batil.

أَلَمْ يَعْلَمْ بِأَنَّ اللَّهَ يَرَىٰ

"Tidakkah ia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)?"


Khairul Fikri Helmi Azhar
Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiyah MPMK,
Sesi 2016/2017.

Ulasan

Catat Ulasan