Jumaat, 29 Ogos 2014

ABC 123 Bina Jati Diri Dan Negara




Pada awal sesi pendidikan awal dahulu diajar bacaan doa dan mengenal tuhan. Setelah itu diajar mengenal huruf-huruf hijaiyah Alif Ba Ta cukup setakat itu. Kemudian diajar lagi mengenal huruf-huruf alfabet ABC juga terhenti setakat itu. Berbeza pengajaran ilmu hisab, diajar mengenal nombor dari 1 hingga 10.

Ketika itu masih belum bertanya apa selepas ABC, apa selepas Alif Ba Ta dan apa selepas 10. Terus menyanyi mengalunkan dan melagukan doa-doa yang diajar. Setelah itu, doa mula dibaca dengan lancar bukan kerana sudah pandai membaca tetapi ingat dihafal. 

Lama kelamaan persoalan mula timbul. Apa selepas ABC, Alif Ba Ta dan apa selepas 10? Sebuah persoalan ingin tahu yang menunjukkan tanda seseorang yang ingin membangun diri. Sifat ingin tahu kepada perkara yang jika digenggam kelak mampu menggugah dunia.

Meningkat umur, pendidikan di negara kita sudah mula meminggirkan ilmu mengenal tuhan dan mengenal apa arahan dan tegahan tuhan. Akhirnya, lahirlah pelapis kepimpinan negara yang tidak tahu menahu mengenai pegangan akidahnya sendiri sehinggakan tidak dapat membezakan najis berat dan ringan yang begitu asas. 

Negara membangun dengan pelbagai binaan yang pesat tetapi semua itu hanyalah semata-mata binaan dan tiada nilainya jika rakyatnya tidak mengenal tuhan dan tidak berusaha membangun jati diri. Tiada ilmu digenggaman.

Membangunkan negara mestilah seiring dengan pembangunan tamadun. Terapkan ilmu dan sikap dahagakan ilmu dikalangan masyarakat. Tiadalah ertinya bangunan yang tinggi tetapi masyarakatnya tidak bermentaliti.

Masyarakat perlu terarah dengan kepercayaan dan keimanan demi kesejahteraan sesebuah negara. Penerapan nilai-nilai murni dan ilmu kerohanian mesti menjadi perhatian dan keutamaan.

Justeru, KUIZM menawarkan pendidikan yang merangkumi seluruh keperluan yang sekarang ini dipinggirkan. Penekanan diberikan bermula dengan ilmu berkaitan akidah, dakwah, aliran pemikiran, kepimpinan Islam, pengurusan kewangan Islam dan sehinggalah kepada ilmu perundangan.

Penubuhan KUIZM ini bermatlamat bagi melahirkan para graduan yang berilmu, beriman dan bertaqwa yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin Islam akan datang.

MARZUKI MOHD SALLEH
Pengarah PSMB Sept. 2014