Selasa, 16 Disember 2014

Lestari Fikrah Perjuangan Dari Sirah

Di celahan berjuta-juta bintang yang berkelipan yang bergerak dan beredar mengikut arahan Allah SWT yang menciptakan Alam, terdapat makhluk yang bergelar manusia dan jin di mana Allah SWT telah menciptakan dua makhluk ini untuk menyembah-NYA. Maha suci Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Namun tidak jin, bintang dan matahari tetapi manusia yang dipilih untuk menggalas tanggungjawab menjadi khalifah di muka bumi. Allah SWT perturunkan perintah-NYA yang bersifat kekal abadi melalui malaikat Jibril kepada para nabi untuk disebarkan kepada umat mereka lantas dapat memerintah bumi ini mengikut apa yang telah diperintahkan oleh pencipta alam.
Zaman berganti zaman, nabi berganti nabi sehinggalah penghulu segala nabi, Nabi Muhammad SAW diutuskan bersama mukjizat yang paling agung iaitu mukjizat Al-Quran yang menjadi nadi kekuatan umat Islam. Bermula dari berdakwah secara rahsia, Rasulullah SAW mengkader pelbagai tenaga manusia (manpower). Namun Umat Islam tidak dihiraukan, diketawakan, diseksa dan ditentang. Sehinggalah membawa kepada peristiwa Hijrah baginda ke Kota Madinah yang menyaksikan terbinanya sebuah negara Islam, Sunnah yang dibawa dan diperjuangkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Nabi Muhammad SAW mentadbir negara Islam Madinah bukanlah semata-mata mendominasi negara yang kosong syariat, tetapi hakikatnya Baginda SAW mengajar umat Islam kepada cita-cita Akhirat dengan melaksanakan syariat Allah Yang Maha Agung.
Sudah menjadi sunnah dalam perjuangan Islam akan ada musuh yang cuba menyekat syariat Islam daripada terlaksana walaupun mereka kenal akan kebenaran, peperangan pasti tercetus antara kaum hak dan kaum batil. Peperangan ini bukanlah akibat kepentingan politik dan juga bukan akibat tidak puas hati semata-mata, tetapi yang paling utama peperangan antara umat Islam dan kafir Quraisy adalah pertembungan dasar dan fikrah. Ada segelintir umat Islam yang mencintai Nabi Muhammad SAW dan Islam namun sayangnya mereka lebih sayangkan keluarga mereka yang menentang Islam, akibat gagal memahami bahawa dasar Islam adalah lebih utama daripada ukhuwah dan silaturrahim maka mereka juga tergolong dalam golongan yang tidak mendapat hidayah, enggan berhijrah ke Madinah malah ada pula yang menyertai tentera kuffar.
Pembukaan kota Mekah menyaksikan fikrah dan dasar Islam tersebar ke seluruh dunia. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Khalifah Ar-Rashidun menyambung legasi perjuangan membawa risalah dasar Islam ini sehinggalah Islam berjaya menguasi Empayar Parsi Sasanid. Dasar Islam kemudian dipelihara oleh Khalifah dan Ulamak Islam sehinggalah terjatuhnya negara Islam Uthmaniyah angkara Mustafa Kamal Atarturk yang berkomplot dengan musuh Islam. Perjuangan membawa dasar Islam kemudiannya diperjuangkan oleh para Ulamak pada zaman moden yang berkonfront dalam arena politik demi melihatkan dasar Islam tertegak di seluruh negara umat Islam pada hari ini.
Saya bukanlah ingin bercerita tentang sejarah namun dengan melihat sejarah, kita merenung kembali pejuang-pejuang terdahulu di mana kita yang menyambungnya. Sebagai anak anak muda yang berintima’ bersama PAS, kita seharusnya menilai kembali apakah dasar perjuangan kita. Adakah dasar kita semata-mata mendambakan agar mampu menguasai Putrajaya yang baru dibina tidak sampai 100 tahun pun sedangkan dasar Islam itu telah diperjuangkan oleh para nabi beribu-ribu tahun lagi malah ia bukan sahaja berhenti di dunia malah keberkatan memperjuangkannya harum sehingga ke negeri Akhirat.
Sebagai penyokong dan pendokong kepada PAS yang teguh bersama perjuangan Islam, perkara penting yang perlu dihadam lumat, antaranya termasuklah :
1- Berbezanya PAS dengan UMNO, PKR, DAP dan lain-lain parti politik adalah berbeza dasar yang diperjuangkan. PAS memperjuangkan keseluruhan akan Islam itu. Walaupun kita bertahaluf siyasi dengan PKR dan DAP harus diingat bahawa kita berbeza dasar dengan mereka. Dasar ini tidak boleh diubah dan tidak boleh digadai. Sekalipun dalam Pakatan Rakyat. Menjadi suatu kewajipan kita meletakkan dasar Islam ini lebih tinggi daripada apa sahaja kepentingan. Sangat malang bagi mana-mana ahli PAS yang sanggup menggadaikan prinsip Islam seperti manusia yang tidak bermaruah sekalipun mengetahui betapa peritnya perjuangan Nabi terdahulu.
2- Walaupun kita berada dalam Pakatan Rakyat, kita mesti mengutamakan dasar perjuangan PAS terlebih dahulu dalam apa jua isu. Bukan mengutamakan Pakatan Rakyat dahulu barulah dasar perjuangan kita. Janganlah kita meniru kesilapan segelintir mereka yang sayangkan Islam dan Nabi Muhammad SAW namun tidak mahu mengikut Hijrah Nabi malah tega pula menyertai tentera musuh kerana lebih menyayangi keluarga sendiri melebihi dasar Islam. Jika perlu berhadapan dengan situasi Dasar Islam bertembung dengan ukhuwah/silaturrahim (menjaga hubungan baik) maka Dasar Islam itu lebih diutamakan. Mereka yang lebih mengutamakan kawan daripada dasar Islam umpama manusia yang hanya tinggal jasad tetapi tiada roh.

MOHD FADHIL BIN ZULKIFLI
Mahasiswa KUIZM

Ahad, 14 Disember 2014

PAS Diserang, Anak Muda Perlu Tetap Teguh

Setelah membaca kenyataan Presiden PKR, DS Wan Azizah yang menuduh bahawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) sudah enam bulan tidak bertemu dengan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR), seolah-olah menggambarkan TGHH tidak memberikan kerjasama dalam pakatan tersebut. Saya mewakili jiwa mahasiswa dan jiwa anak muda merasakan kenyataan yang ditimbulkan seolah-olah sengaja ditimbulkan bagi mengeruhkan lagi keadaan yang dilihatkan sudah pun tercalar akibat kegelojohan mengadakan "Kajang Move" yang berlawanan dengan semangat kerjasama dalam sebuah pakatan.
Saya tertanya-tanya apakah keuntungan kenyataan ini? Apakah ia akan menguatkan kerjasama antara rakan PR setelah selesai konflik penukaran Menteri Besar Selangor tempoh hari. Kenyataan ini seolah-olah seperti kanak-kanak merajuk kerana segala kemahuannya tidak ditunaikan kemudian menyalahkan orang lain atas kegagalan mendapatkan apa yang diinginkan itu. Tambahan pula, saya musykil kenapa ketidakpuasan hati itu ditujukan pula kepada TGHH?
Saya bersetuju dengan kenyataan balas yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa PAS bukanlah bergerak secara individu sebaliknya PAS bergerak secara berjemaah. Sebuah Gerakan Islam yang juga merangkap sebuah Parti Islam sudah tentulah mempunyai pelbagai jentera yang masing-masing bergerak mengikut bidang tugas yang telah diamanahkan, ada yang menjadi jurucakap, ada yang menjadi juru runding, ada yang memimpin dan lain-lain. Bukannya seorang Presiden itu melakukan semua perkara. Maka saya tidak nampak sebarang masalah kepada komunikasi PAS dengan rakan komponen lain atas isu yang ditimbulkan.
Melihatkan corak politik sekarang ini lebih kearah menghentam TGHH, maka saya merasakan mahasiswa atau anak muda yang teguh bersama PAS wajib bersama-sama berdiri mempertahankan TGHH. Perlu difahami bahawa posisi Presiden PAS bukanlah suatu posisi yang wujud untuk menjadi bahan pujian anak muda, sebaliknya posisi Presiden PAS menuntut kepada ahli Jemaah bagi memberi ketaatan dan mempertahankan jasad TGHH yang berada di posisi itu! Maka sebagai anak muda yang teguh bersama perjuangan Islam dan bercita-cita ingin melihat tertegaknya pemerintahan Islam di Malaysia, saya menggesa anak muda yang sayangkan perjuangan ini dan masih punyai aqidah perjuangan yang suci ini untuk bersama-sama mempertahankan Tuan Guru Presiden PAS kita yang kini ingin dijatuhkan bukan sahaja oleh golongan Sekular tetapi juga Modernist, Liberal dan konco-konconya dari luar mahupun dalam.
TGHH dikatakan sebagai seorang yang tidak kompeten, dikorek pula kata-kata Al-Marhum Ustaz Fadhil Noor untuk memburukkan TGHH sedangkan kedua-dua mereka berjuang bersama-sama dan mempunyai kesatuan hati dan pemikiran. Pelbagai imej buruk ditampalkan kepada jasad TGHH seolah-olah TGHH tidak pandai Fiqh Siyasah dan hanya mereka yang cenderung kepada Liberal dan Modernist sahaja yang pandai selok-belok Fiqh Siyasah. Namun begitu, Allah itu Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah SWT menutup mulut mereka yang bermulut jahat dengan mentakdirkan TGHH dilantik menjadi Timbalan Ketua Kesatuan Ulamak Se-dunia. Beliau juga telah diberi penghormatan untuk berucap di hadapan ribuan manusia bertempat di Lahore, Pakistan. Kemudiannya diberikan penghormatan menyampaikan amanat taujihat di India dan juga dinobatkan sebagai tokoh Murabbi Ummah PAS Wilayah Persekutuan baru-baru ini. Akibat mati langkah dalam menggambarkan TGHH tidak mahir dalam siyasah, mereka cuba pula dengan kaedah lain dengan menyerang PAS menyerupai syiah, tidak boleh ditegur, dan masalah-masalah teknikal seperti dalam isu kenyataan Presiden PKR baru-baru ini. Jika dulu serangan ini dilakukan oleh UMNO namun pada hari ini ia dilakukan oleh orang kiri dan kanan kita sendiri pula!
Sebagai anak muda, kita tidak dapat lari daripada menyukai kepada suatu yang nampak "cool" dan membangkitkan semangat, maka tidak hairan jika sesetengah anak muda senang terjerat dengan permainan psikologi ini. Jika dulu anak muda menentang UMNO yang Sekular dan jelas menentang Islam maka anak muda itu dianggap "cool" dan hebat kerana anak muda yang menentang arus sememangnya akan cepat menjadi popular. Oleh itu, jika aqidah perjuangan kita sebagai anak muda tidak utuh dan terikut-ikut dengan mengejar populariti, maka setelah Islam sudah semakin diterima ramai pula kita masih berperangai suka melawan arus (melawan Islam kembali). Maka saya mewakili jiwa anak muda menyeru kepada seluruh anak muda yang masih sayangkan jemaah ini untuk kembali melihat aqidah perjuangan kita dan fahami apa yang diperjuangkan. Bersama-sama kita anak muda yang teguh bersama PAS berdiri mempertahankan TGHH daripada anasir jahat.
Akhirnya, ingin saya berkongsi sedikit dengan sekalian pembaca bahawa kita bertuah kerana pada generasi kita bersama dengan PAS. Hari ini Ulamak tidak lagi mengusung speaker dan mikrofon dari kampung ke kampung menyebarkan risalah kebenaran, jentera PAS tidak lagi disertai oleh orang tua kampung yang bertongkat tetapi jentera PAS bertebaran ramai dari Ulamak ke Professional dan diisi dengan pelbagai lapisan umur. PAS kini dikenali di seluruh dunia dan menjadi Gerakan Islam yang menjadi rujukan dalam hal siyasah oleh Gerakan Islam yang lain di seluruh dunia. TGHH pula dilantik menjadi Timbalan Ketua Kesatuan Ulamak Se-dunia di mana ia merupakan kebanggaan kepada semua ahli jemaah, maka sangat rugilah jika kita yang lahir pada generasi ini tidak pernah bersakit-sakit seperti Ulamak terdahulu tiba-tiba kita ingin melebihi Ulamak dan menjatuhkan Ulamak pula.
MOHD FADHIL BIN ZULKIFLI
Mahasiswa KUIZM

Rabu, 10 Disember 2014

Keutamaan Ilmu Dan Ulama'

Islam mewajibkan kaum Muslimin dan Muslimat menuntut ilmu. Sabda Rasulullah saw:
طلب العلم فريضة على كل مسلم    
(Menuntut ilmu adalah fardhu keatas setiap muslim)
Hakikat Islam dari prinsip dasar hinggalah ke rantingnya bukanlah hanya tatacara peribadi yang berpindah–pindah dari nenek moyang terus turun-temurun atau jampi yang disebarkan secara perasaan ragu-ragu, tetapi ia adalah hakikat yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah yang tidak mampu difahami kecuali oleh para ulamak dan cerdik pandai yang memiliki ilmu yang matang dalam memahami sesuatu yang benar.
Islam adalah agama ilmu dan agama akal. Oleh sebab itu, sebelum Islam membebankan pengikut-pengikutnya dengan sesuatu perintah atau larangan, terlebih dahulu Islam mewajibkan mereka supaya berilmu dan mendalami urusan tersebut supaya perbuatan itu bersesuaian dengan kebenaran dan kemaslahatan.

Ayat Al-Quran yang pertama diturunkan jelas menunjukkan bahawa Islam begitu menekankan kepada kalam, tulis-menulis dan baca membaca. Islam menganggap bahawa agama tidak akan mendapat tempat yang baik apabila orang-orang Islam sendiri tidak mempunyai pengetahuan (ilmu) yang matang dan fikiran yang sihat. Pengetahuan bagi Islam ibarat roh (nyawa) bagi tubuh manusia. Sebab itulah Allah SWT memuliakan para ulamak. Firman Allah: (Surah Al-Mujadalah: ayat 11)
11. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.
(Surah Az-Zumar: ayat 9)
9. "(Engkaukah Yang lebih baik) atau orang Yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.
Sabda Rasulullah SAW:
فقيه واحد أشد على الشيطان من ألف عابد 
(Seorang yang faqeh (berilmu) lebih ditakuti syaithan daripada seribu orang ‘abid)
 العلملء ورثة الأنبياء
(Ulamak pewaris para nabi)
Satu hakikat yang jelas yang tidak dapat disangkal lagi bahawa pengiktirafan Allah terhadap para ulamak sangat tinggi dan besar sekali. Ini jelas ditunjukkan oleh nas Al-Quran dan Hadis di atas. Ciri-ciri kelebihan oleh ulamak melayakkan mereka mewarisi tugas dan tanggungjawab para nabi untuk meneruskan perjuangan dan menyampaikan risalah kenabian yang telah direntas oleh para nabi dan rasul terdahulu.