Mencari Kemuliaan Taqarrub Oleh Seorang Anggota Gerakan Islam


l





1. Kebiasaan orang melayu yang beragama Islam di negara kita ini akan pancit di akhir Ramadhan, 
sedang Nabi saw mengajar kita supaya memperbanyakkan ibadah di 10 akhir Ramadhan. Barangkali kerana di dorong oleh mood aidilfitri pula dimeriahkan dengan rancangan-rancangan mengasyikkan di televisyen.

2. Masjid dan surau akan kembali lengang dan jamaah semakin berkurang menjelang akhir Ramadhan. Tumpuan mula teralih kepada persiapan menyambut hari raya secara berlebihan. Objektif Ramadhan hilang begitu sahaja. ini adalah suatu fenomena yang merugikan ummat Islam dan perjuangannya.

Firman Allah swt:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Surah al Qadar . Ayat : 1 – 5)

3. Malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadar” adalah merupakan malam terbaik bahkan malam yang paling mulia disediakan oleh Allah ‘semalam dalam tempoh setahun’ .

Sabda Rasulullah saw :[1]

“ dan barangsiapa yang mendirikan ( ibadah ) pada malam lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan penghayatan (mengharapkan redho Allah) nescaya diampunkan baginya segala dosa–dosanya yang telah lalu.”
(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

4. Al Imam an Nawawi rhm menyebut [2]: “ Lailatul Qadar adalah seafdhal–afdhal malam di dalam setahun. Barangsiapa yang mengadakan ibadah (qiamullail) pada malam Lailatul Qadar sekalipun ia tidak diberi taufiq untuk menyaksikan alamat–alamat Lailatul Qadar, nescaya ia dibalas dengan balasan yang tersebut.”

Rebutlah Peluang Taqarrub ini.

5. Setiap individu muslim yang menyertai Madrasah atau University of Ramadhan ini , sangat dituntut untuk mencari dan mendapatkan kelebihan malam Lailatul Qadar ini . Ia menjadi sunnah nabi kita Muhammad saw. dan juga menjadi amalan dan rebutan para salafussoleh untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Rasulullah saw pernah bersabda :[3]

“ daripada A’isyah Rha berkata : Adalah rasulullah saw. selalu beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan dan baginda saw. bersabda ; Rebutlah bersungguh – sungguh peluang untuk mendapatkan Lailatul Qadar pada malam–malam sepuluh akhir Ramadhan .” (Riwayat Imam Bukhari)

6. Rasulullah saw. melipat ganda amalan atau ibadah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt. pada 10 malam akhir di bulan Ramadhan . Ini dapat dilihat dalam satu hadith yang diriwayat dari A’isyah Rha .[4]

“ dari A’isyah Rha berkata : adalah Nabi saw. apabila memasuki 10 akhir Ramadhan , Baginda bersungguh–sungguh mengerjakan ibadah dan menghidupkan malamnya dan menggerakkan anak isterinya (agar bangun beribadah)” (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Taqarrub sebagai Jambatan Nusrah.

7. Golongan yang hampir dan dikasihi Allah swt. sepantasnya layak menerima pertolongan dan kemenangan dalam perjuangannya untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Tentunya kita sangat memerlukan pertolongan dan kemenangan tersebut di kala dunia kini gersang dari rahmat Ilahi.

8. Tidak mudah untuk merentasi medan yang penuh cabaran dan rintangan ini melainkan pejuang yang diperkayakan dengan taufiq dan nusrah ilahi , namun untuk mendapatkan taufiq dan nusrah malah anugerah syurga itu pula hanya terbuka kepada mereka yang hampirkan diri kepada Allah swt .

“ Dan (puak Yang ketiga pula ialah) orang-orang Yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - Yang akan mendahului (mencapai balasan Yang sebaik-baiknya di akhirat kelak) Mereka itulah orang-orang Yang dihampirkan (di sisi Allah), (Tinggal menetap) di Dalam Syurga-syurga Yang penuh nikmat.” (Surah al Waaqia’h . Ayat : 10–12)

[1] Imam Bukhari di dalam sohihnya : 253 / 2 dan Imam Muslim di dalam sohihnya 524 /1 
[2] Raudhah at Tolibin 389 / 2 dan Fathul Baari 267 / 4 
[3] Sohih Bukhari : 254 / 2 
[4] Sohih Imam Bukhari : 255 / 2 dan Sohih Imam Muslim : 832 / 2


Oleh Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat


Admin.

Ulasan