Gerakan Hamra’ Al-Asad; Perang Saraf Yang Menambahkan Keimanan


Kekalahan yang terjadi dalam perang Uhud tidak menghentikan perjuangan Islam disitu.
Sebagai langkah keselamatan, Rasulullah SAW dengan bijak terus menghantar bala tentera Islam bertindak mengejar musuh yang sedang bergerak pulang ke Mekah.

⚫Hanya Disertai Pejuang Uhud

Gerakan ini hanya boleh disertai oleh pejuang-pejuang Uhud sahaja. Selain darinya tidak dibenarkan oleh Nabi SAW kecuali Jabir bin Abdullah. Dia mengadu tidak dapat menghadiri perang Uhud kerana diperintah oleh ayahnya untuk menjaga saudara-saudara perempuannya, lalu Rasulullah mengizinkannya.

Abdullah bin Ubai antara yang meminta untuk bersama dengan pasukan ini, namun tidak dibenarkan oleh Rasulullah.

⚫Tiba Di Hamra'

Sampai di suatu tempat bernama Hamra', Rasulullah memerintahkan supaya berhenti di situ.

Datang seorang pemuda bernama Ma'bad bin Abi Ma'bad al-Khuza'i, salah seorang pemimpin qabilah Khuza'ah yang rapat dengan keluarga Rasulullah SAW.

Dia menunjukkan dukacita atas kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud dan menyampaikan hasratnya lantas memeluk Islam.

⚫Ejen Yang Beriman

Adapun puak musyrikin juga sedang berbincang untuk menyerang semula atau pulang ke Mekah. Ramai yang berpendapat untuk menyerang semula tentera Islam kerana mereka hanya dapat sedikit keuntungan dari kemenangan perang Uhud.

Kemudian datang Ma'bad bin Abi Ma'bad yang mereka sangka berpihak kepada mereka, lalu bertanya kepada Ma'bad tentang perkembangan yang berlaku di Madinah setelah perang Uhud.

Ma'bad terus mengambil peluang ini melancarkan perang saraf kepada puak musyrikin dengan menegaskan kepada Abu Sufian:

"Berwaspadalah! Aku melihat telah keluar semula bala tentera yang sangat besar yang belum pernah aku melihat sepertinya. Mereka bergerak untuk bertindak balas." 

⚫Musyrikin Yang Takut

Berita yang disampaikan oleh Ma'bad bin Abi Ma'bad telah mendatangkan kegerunan dalam hati-hati mereka. Mereka membayangkan bala tentera yang baru yang lebih hebat dari pahlawan Uhud yang susah untuk dikalahkan. Akhirnya mengambil keputusan tidak mahu berperang kerana takut dengan pasukan Islam.

⚫Tindak Balas Puak Musyrikin.

Walaupun puak kafir Mekah mengambil keputusan untuk tidak berperang semula tetapi pemimpin mereka Abu Sufian juga melancarkan perang saraf terhadap tentera Islam dengan menggunakan qabilah Abdul Qais yang bertolak menuju ke Madinah untuk memberitahu kepada warga Madinah bahawa orang musyrik Mekah sedang berkumpul untuk memerangi mereka.

⚫Perang Saraf Yang Menambah Keimanan

Apabila sampai berita itu kepada orang Islam, semangat mereka makin bertambah.

Satu keadaan yang berlawanan dengan keadaan orang musyrikin. Dengan itu Allah berfirman;


"Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".


Surah Ali Imran, ayat 173.

⚫Kemenangan Buat Perang Uhud

Peristiwa Hamra' adalah rentetan daripada perang Uhud kerana hubungannya dan sebabnya bertalian.

Peristiwa ini memberi kemenangan jiwa yang besar buat tentera Islam yang hampir jatuh semangatnya atas kekalahan mereka di Uhud.

Bahkan peristiwa ini telah menjatuhkan semula kedudukan tentera musuh.

Inilah contoh keimanan yang mesti dipasakkan dalam jiwa orang beriman. Tidak mudah gentar dengan propaganda yang dicipta musuh dengan keimanan bahawa Allah akan sentiasa bersama dengan pembela agamanya.

Moga Allah sentiasa thabatkan keimanan pada jiwa-jiwa kita dalam menegakkan panji Islam di muka bumi ini!

Wallahua’lam.

Ainor Syahirah Binti Khalid
Timbalan Presiden 2,
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM,
Sesi 2017/2018.

Ulasan