Bulan ramadan adalah
tetamu agong yang datang bertandang kepada seluruh umat Islam. setiap apa
sahaja yang dilakukan padanya akan mendapat balasan berganda. Begitu juga dengan
jaminan pengampunan dosa yang cukup istimewa bagi orang yang melaksanakan tuntutannya
dengan penuh keimanan. Sabda Nabi saw,
“Barangsiapa
yang berpuasa Ramadan dalam keadaan penuh keimanan dan penuh pengharapan, maka
akan diampunkan baginya daripada dosa yang telah dilakukan.”
Moga dengan keberkatan
Ramadan kali ini, kita akan dapat mengilap kembali hati yang pudar dan melumpuhkan
nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Inilah masa yang perlu
digunakan sebaik mungkin, khususnya mahasiswa Islam dalam proses untuk mendidik
nafsu yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar
menahan lapar dan dahaga semata-mata. Tetapi, dengan lapar dan dahaga itu mampu
mendidik nafsu dan peribadi kita agar berlandaskan syariat Allah swt.
Terdapat beberapa
golongan manusia yang bersama kita pada bulan mulia ini. Selain daripada
golongan yang mendapat keampunan dan tarbiyah ini. Terdapat juga golongan yang
rugi dan amalannya sia-sia disepanjang Ramadan. Mereka tidak memperolehi
apa-apa melainkan hanya lapar dan dahaga. Mereka ialah golongan yang mengabaikan
peluang dan keistimewaan yang terdapat di dalam bulan Ramadan. Sabda Rasullah
saw,
“Berapa
ramai orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa melainkan lapar. Dan
berapa banyak orang yang solat pada tengah malam tidak mendapatkan apa-apa,
selain berjaga malam.” Riwayat al-Nasa’i
Oleh yang demikian,
kita perlu melihat dan muhasabah daripada segala aspek kehidupan kita agar
tidak tergolong dalam golongan yang sia-sia ini. Bermula daripada perkara yang
dilarang oleh agama dan seterusnya. Perkara asas yang wajib diberikan perhatian
ialah, memastikan diri kita jauh dan tidak terjebak dari perkara yang dilarang
oleh Allah swt. Pandangan mata, lidah, telinga dan lain-lain lagi perlu
sentiasa diawasi agar tidak jatuh dalam kemaksiatan kepada Allah swt. Sekiranya
tergelincir juga, maka segeralah bangun dan memohon keampunan dariNya.
Demikian juga aspek
amalan ibadat. Kita perlu ‘up grade’
amalan ibadat kita daripada bulan-bulan sebelum Ramadan. Tidak
sepatutnya bulan yang penuh keistimewaan ini, kita menyamakan amalan kita
dengan bulan-bulan sebelumnya. Sekiranya sebelum ini kita jarang membaca
al-Quran, maka jadikan bulan ini bulan al-Quran bagi kita. Jadikanlah ianya
sebagai satu proses tarbiah untuk lebih dekat kepada penghayatan isinya dengan
harapan al-Quran yang kita baca akan menjadi panduan kehidupan.
Antara amalan yang amat
dituntut pada bulan Ramadan ini ialah saling membantu antara saudara seagama.
Objektif utama tuntutan ini ialah untuk memastikan kebajikan umat Islam terjaga
dan seimbang. Situasi ini tidak akan tercapai melainkan dengan bermula daripada
diri kita sendiri. Kita mesti tarbiah diri untuk ringan memberikan pertolongan,
makanan dan sebagainya kepada sahabat kita. Amalan mulia ini akan mengeratkan
kembali ikatan ukhwah yang dibina selama ini agar terus kukuh dalam mengharungi
pelbagai cabaran yang mendatang.
Kesungguhan kita dalam
melaksanaakan ibadah dan ‘up grade’ amalan ini, sebenarnya akan menjadikan kita
sebagai insan yang berkeperibadian tinggi dan bertakwa kepada Allah swt. Itulah
harapan dan matlamat daripada hasil tarbiah Ramadan, yang perlu dititikberatkan
oleh mahasiswa Islam khususnya.
Gemilang atau hancur
masa depan Islam terletak persoalannya di atas bahu mahasiswa Islam sekarang.
Mahasiswa Islam yang kuat ialah mereka yang melalui beberapa proses latihan dan
tarbiah. Diantara peringkat latihan dan tarbiah tertinggi ialah melalui tarbiah
Ramadan. Semoga kita semua berjaya menempuhi tarbiah madrasah Ramadan kali ini.
Mohd
Hakimi Hamzi Mohd Hayat
Timbalan Presiden 1
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13
Ulasan
Catat Ulasan