Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah di
Gua Hira'. Peristiwa itu berlaku pada hari Isnin, bersamaan 21 Ramadhan atau 10
Ogos, tahun 610 Masihi. Peristiwa itu berlaku pada waktu malam. Baginda ketika
itu berusia tepat 40 tahun 6 bulan 12 hari.
Berlaku perselisihan dalam
kalangan ulamak, peristiwa kenabian itu berlaku di bulan Ramadhan. Ada juga
berpendapat ianya berlaku pada bulan rabi'ul awwal. Ada juga yang mengatakan
dalam bulan Rejab. Tetapi dirajihkan ianya berlaku dalam bulan
Ramadhan.Seperti mana firman Allah : (( Bulan Ramadhan diturunkan padanya al
Qur'an..)) –Surah al Baqarah ayat 185.
Bukan setakat itu sahaja, malah firman Allah : (( Sesungguhnya kami
turunkannya pada malam Lailatul Qadar )) – Surah al Qadr ayat 1. Seperti mana
yang kita ketahui malam lailatul qadar itu jatuhnya dalam bulan Ramadhan.Ia dikuatkan lagi dengan firman Allah di dalam surah al Dukhan ayat
yang ke 3 : (( Sesungguhnya kami turunkan al Quran, pada malam yang diberkati,
sesungguhnya kami telah memberi peringatan)). Rasulullah s.a.w berada di gua
Hira pada bulan Ramadhan, jesteru peristiwa penurunan al Quran itu berlaku pada
bulan Ramadhan juga seperti yang kita ketahui.
Tetapi, telah berlaku polemik, iaitu perselisihan ulamak pada
menyatakan tarikh penurunan wahyu secara tepat. Antara pendapat tersebut ialah
:
Pendapat 1 : Hari ke 7
Pendapat 2 : Hari ke 17
Pendapat 3 : Hari ke 18
Pendapat 4 : Hari ke 21
Dalam kitab Muhadarat Tarikh al Umam al Islamiah, karangan al
Khadrie, jilid 1 halaman 69, menyatakan yang beliau berpendapat permulaan
penurunan wahyu itu berlaku pada 17 Ramadhan. Tetapi al Mubarakfourie
berpendapat tarikh yang sebenarnya ialah pada 21 Ramadhan.
Hujah al Mubarakfourie
tentang tarikh 21 Ramadhan ialah kesemua ulamak sirah bersepakat peristiwa
bi'sah nabi berlaku pada hari Isnin. Ini turut dikuatkan dengan hadis-hadis
yang diriwayatkan oleh para imam-imam hadis seperti hadis yang diriwayatkan
oleh Abu Qatadah, sesungguhnya Rasul telah ditanya tentang puasa pada hari
Isnin. Baginda bersabda : pada hari itu, aku dilahirkan, dan pada hari itu
diturunkan wahyu kepadaku. Dalam riwayat lain, terdapat lafaz : Hari yang aku
dilahirkan padanya, dan hari yang aku dibi'sahkan atau hari yang diturunkan
wahyu ke atasku. Hadis ini dikeluarkan dalam sahih Muslim ( Jilid 1 / halaman
368 ), Imam Ahmad ( Jilid 5 / halaman 397 dan 399 ), Imam al Baihaqie ( Jilid 4
/ halaman 286 dan 300 ), al Hakim ( Jilid 3 / halaman 206 ).
Menurut al Mubarakfourie lagi, dalam tahun itu dan dalam bulan
Ramadhan, hari Isnin tidak berlaku melainkan pada 7, 14, 21 dan 28 Ramadhan.
Dan lailatul Qadar pula dalam riwayat hadis yang kuat menyatakan ianya berlaku
dalam 10 hari terakhir Ramadhan dalam hari-hari yang ganjil. Jesteru jika
dihitung mengikut firman Allah yang mengungkapkan penurunan al Quran pada malam
lailatul Qadar, dari hadis bi'sah nabi yang berlaku pada hari Isnin dan
perhitungan kalender secara ilmiahnya, menguatkan bahawa tarikh 21 Ramadhan
berlakunya awal penurunan al Quran dan bukannya pada 17 Ramadhan. Inilah
pendapat yang ditarjih oleh al mubarakfourie.
Namun, pendapat 17 Ramadhan adalah tarikh awal penurunan wahyu
adalah pendapat jumhur ulamak.
Admin.
Admin.
Ulasan
Catat Ulasan