ALHAMDULILLAH,
dapat lagi kita merayakan Aidilfitri yang mulia. Kali ini semuanya baru pakaian
baru, rumah baru tetapi yang lebih penting ialah jiwa baru selepas melalui
proses tarbiah daripada madrasah Ramadan lalu.Semoga puasa, sedekah, solat
sunat Tarawih, bacaan al-Quran kita berjaya menjadi perisai kepada hati yang
keras ini daripada sebarang bentuk musibah dan bahaya.
Sebagai muhasabah dalam merayakan Lebaran ini,
kejayaan puasa kita sebenarnya diukur selepas kita melewati bulan Ramadan. Ada
orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau, tetapi selesai Ramadan,
perkara itu tidak lagi dilakukan maka itu namanya ‘hamba Ramadan’ bukannya
hamba Allah.
Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, jadilah
kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. “Kun rabbaniyyan
wala takun ramadhaniyyan” maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim. Pergi
masjid bukan ikut selera kita atau melihat orang ramai ke sana kita pun pergi.
Kenapa kita hanya bersemangat pada bulan Ramadan? Oleh itu, marilah kita
jadikan semangat serta kesungguhan di bulan Ramadan sebagai ‘percikan’ bagi
meneruskan kerajinan pada 11 bulan mendatang.
Dalam suasana berhari raya di mana rumah terbuka
sedang rancak di sana sini janganlah pula rumah Allah tertutup. Pada Syawal ini
juga disediakan ‘pakej’ pahala pelengkap kepada puasa Ramadan. Pakej ini
menggambarkan kelebihan umat Muhammad s.a.w, iaitu boleh mendapat kelebihan
seolah-olah berpuasa setahun. Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang
maksudnya. “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan lalu diiringinya dengan puasa
enam hari pada Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun". (Hadis
riwayat Imam Muslim).
Justeru itu, umat Islam perlu merebut peluang ini
kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang
berkurangan atau cacat dalam amalan fardu. Menurut hukum fiqah, kita boleh
memulakan puasa enam pada mana-mana hari sepanjang Syawal sama ada secara
berterusan atau berselang seli. Namun, afdalnya ialah pada hari kedua Syawal
dan dilakukan secara berterusan sehingga hari ketujuh. Bagi wanita yang tidak
dapat berpuasa penuh pada Ramadan, puasa enam memberi peluang kepada mereka
untuk menggantikannya disamping mendapat pahala puasa sunat.
Semoga dengan tarbiah yang diberikan oleh Allah
s.w.t sepanjang Ramadan dapat kita susuli pula dengan puasa sunat Syawal.
Semoga dapat kita hayati dan kita amalkan dalam kehidupan kita seterusnya
menjadi muslim yang benar-benar sejati.
Mohd Syafie Md Yunos
Presiden
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13
Alhamdulillah.. insyaAllah.. aminnn
BalasPadam