Pada suatu ketika 31 Ogos 1957 , Stadium Merdeka bergema
dengan laungan “merdeka, merdeka, merdeka” oleh Tunku Abdul Rahman. Tanah Melayu telah pun merdeka dari penjajahan British ketika itu.
Sekarang adakah
benar-benar kita ini merdeka dari
segala penjajahan? Bangsa yang menjajah negara ini telah lama pergi, namun
mereka meninggalkan ‘sesuatu’ yang masih membelenggu kehidupan kita pada hari
ini. Sistem pendidikan, sistem ekonomi, sistem kewangan, sistem budaya. Tidak
keterlaluan dikatakan umat Islam telah terbelakang dalam menghadapi
perkembangan semua sistem ini. Kerana semua sistem ini digunakan secara halus
mahupun kasar untuk menekan hidup kita semua sebagai rakyat merdeka dari
pelbagai aspek samada fizikal mahupun rohani. Dari sudut fizikal kita jauh
ketinggalan, dari sudut rohani kita kosong bakal mengundang murka Tuhan.
Terbelenggu dalam
khayalan dunia yang sementara. Terikat dengan hawa nafsu dan jalan yang dipimpin
Syaitan. Mementingkan pandangan dan penghormatan manusia dari memikirkan
pandangan Tuhan kepadanya. Tujuan hidup kabur di hadapan, hanya menurut
perubahan zaman yang makin merenggut nilai Islam dan keimanan.
Layakkah kita
melaungkan ‘merdeka’ tatkala negara kita dilanda pelbagai krisis dan
masalah? Ya, dimana-mana pun akan ada masalah. Kita tidak akan sekali-kali
dapat lari dari masalah. Namun barang diingat, masalah yang menimpa kita adalah
akibat kesombongan kita sendiri yang cuba untuk tidak berpegang dengan aturan
Tuhan. Bala yang Allah taala timpakan keatas kita bukan berbentuk runtuhan
tanah tetapi bala itu datang dalam bentuk runtuhan akhlak.
Dimanakah merdeka?
Jika sebahagian anak-anak muda Islam hidup tak tentu hala. di jalanan mereka
merempit, di pusat serenti mereka melalui pemulihan dari najis dadah,
sebahagian dari mereka pula di pusat perlindungan remaja akibat terlanjur, sebahagian
lagi di sekolah pemulihan akhlak kerana salah tingkah. Sungguh sedikit golongan
remaja yang benar-benar terpelihara pada zaman ini.
Dimanakah
keadilan? Jika Pentadbiran kerajaan pun penuh dengan kebobrokan. Dimanakah
keamanan? Jika statistik jenayah berat kian meningkat saban tahun. Dimanakah
kedamaian? Jika intistusi kekeluargaan pun tidak lagi menjadi tempat teduh yang
membangun jiwa, namun runtuh satu persatu tidak tahan dugaan dan godaan zaman.
Sungguh! Kita masih belum merdeka. Semua ini berlaku gara-gara kesombongan kita
juga. Moga ini bukan sekadar keluhan, namun menjadi peringatan untuk terus
menguatkan diri dengan ilmu dan Iman. Hingga mampu mengajak diri sendiri dan
orang lain kepada kebaikan, menjauhi segala kemungkaran.
Perkongsian ini
sekadar menjemput kita semua muhasabah erti merdeka dari nilaian Iman dan
Islam. Kepada
para pelajar, menuntut
ilmu bukan sekadar untuk mendapat segulung ijazah atau sesuatu pekerjaan, namun
dengan ilmu itu kita ingin mengangkat potensi diri dalam menyumbang kepada
ummah. Diri harus bebas merdeka dari ilmu yang makin menjauhkan hamba dari
Pencipta.
Kepada yang bekerja, bekerja bukan hanya untuk mendapat imbuhan gaji setiap
bulan, namun sesuatu kerjaya itu biarlah menjadi medan ibadah yang luas dalam
menjalani kehidupan sebagai hamba dan khalifah Allah. Interaksi di tempat kerja
atau apapun urusan pekerjaan, sentiasa diluruskan niat dan caranya agar
diredhai Tuhan. Diri harus merdeka dari kerjaya yang perlu mengorbankan syariat
Allah.
Kepada pasangan suami dan
isteri, berkahwin bukan sekadar untuk melunaskan kehendak nafsu
dan perasaan, namun dipanjangkan niat agar melahirkan umat Islam yang komited
dan berwawasan. Perkahwinan menjadi wasilah untuk diri mencorak keluarga yang
baru, yang penuh nilai-nilai Islam. Keluarga harus merdeka dari mengikuti
budaya hidup yang bukan menepati kehendak Islam.
Kesimpulannya, kita
semua adalah insan berjiwa merdeka jika sekiranya kita mengatur dan
mengubah pemikiran, perasaan, tingkahlaku dan kebiasaan hidup kepada jalan yang
dipandu al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk agung dari kita mengikuti suatu sistem
dan budaya yang menyimpang jauh dari landasan Syariat Allah.
Di luar sana ada
banyak lagi peringatan yang elok untuk kita renungkan dari pelbagai sudut
pandang yang berbeza. Semoga kemerdekaan kali ini membuatkan kita merenung jauh
dan lebih berfikir panjang apakah erti kemerdekaan yang sebenarnya.
MPM KUIZM
mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 56. Merdekalah kita
semua dari segenap segi dipagari syariat Ilahi. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Admin.
Admin.
Ulasan
Catat Ulasan