Sesi pembelajaran bagi semester baru, pelajar KUIZM kini
sudah pun tiba. Tahniah diucapkan kepada sahabat-sahabat yang berjaya menduduki
semester baru. Moga dengan kejayaan ini dapat meningkatkan lagi semangat
sahabat-sahabat untuk mendalami ilmu Allah swt.
Tidak dilupakan juga buat sahabat yang menghadapi beberapa masalah
dalam keputusan peperiksaan baru-baru ini dan juga tidak berjaya menduduki
semester baru. Kegagalan pada kali ini bukanlah kegagalan selama-lamanya. Sesungguhnya
setiap langkah seseorang itu berbeza diantara satu sama lain. Ada dikalangan mereka
yang Allah swt mempercepatkan kejayaannya, dan ada pula yang ditangguh buat
sementara waktu, kerana belum tiba waktunya.
Apa yang penting, sebagai pemuda Islam kita seharusnya menjadi
seorang yang lebih baik dari yang lepas. Sejarah sesi pembelajaran kita yang
lepas, kita jadikan sebagai pengajaran dan iktibar bagi semester baru ini. Dengan
kata lain, kita bermuhasabah kembali supaya kesilapan dan kelemahan yang lalu
tidak diulangi kembali pada sesi ini.
Muhasabah memainkan peranan penting bagi ukuran kejayaan
seseorang. Bagi individu yang mengenal dan mengambil iktibar daripadanya, akan
terbuka jalan kejayaan baginya. Manakala yang tidak mengenal dan tetap lalai,
akan tertutup jalan kejayaannya.
Sebagai pelajar, terdapat beberapa perkara yang mesti diberi
penekanan. Pertamanya daripada sudut pembahagian masa belajar, perlu dilihat
sejauh mana usaha kita dalam mencari ilmu dan sejauh mana disiplin kita
terhadap jadual yang kita gariskan. Adakah kita betul-betul memanfaatkannya
atau mensia-siakannya dengan angan-angan, hiburan, lepak dan lain-lain lagi.
Perkara kedua yang perlu diberi penekanan ialah daripada
aspek kerohanian. Inilah perkara asas bagi kejayaan sebenar. Sesungguhnya
keberkatan ilmu itu akan mengiringi pelajar, jika hubungannya dengan Allah swt dalam
bentuk yang harmoni. Manakala sebaliknya
akan menyukarkan perjalanan menuju kejayaan dan menjauhkan keberkatan ilmu
daripada pelajar.
Oleh itu, muhasabah perlu dipraktikkan dengan kaedahnya yang
sebenar supaya masa depan kita kian bersinar bukan kian sirna. Jika tidak, kesilapan yang lalu akan diulangi kembali pada sesi pembelajaran
kali ini dan akhirnya kegagalan akan menunggu kita pada hujung sesi nanti. Percayalah.....
Oleh,
Timbalan Presiden 1
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13
Ulasan
Catat Ulasan