Ketulusan Cinta Mukmin


Cinta mukmin antara syarat pelengkap sebuah Gerakan Islam yang berwibawa. Pejuang yang berkasih-sayang sebagai tenaga dinamik membina kekuatan dan keutuhan tanzim sementara budaya pesan-berpesan dengan kebenaran dan kesabaran bergerak lancar di atas nama cinta sedangkan ia adalah sumber kekuatan dalaman.

Seringkali tercetusnya pertelingkahan yang menggugat kekuatan dalaman di kalangan ahli Gerakan Islam dalam persoalan kecil yang melibatkan perasaan dan peribadi. Pertelingkahan ini pula jika tidak dicegah dan dibendung, akan terus menyalakan obor api permusuhan dan semangat berdendam. Fenomena ini berlaku apabila terlalu rapuh nilai erti kecintaan sesama sendiri. Ukhuwwah Islamiah hanya menjadi “teori haraki” dan “idea pidato” sedang ia tidak diterjemahkan ke dalam kehidupan perjuangan kita sendiri.

Tidak dinafikan, untuk membina teratak kasih sayang dan membentuk kasih sayang serta tali persaudaraan adalah terlalu sukar. Ianya memerlukan hati yang bersih, niat yang suci dan pengalaman bergaul serta mengenali hati budi saudara kita. Saksikanlah betapa ramai mereka yang mendakwa sebagai anggota Gerakan Islam tetapi lebih ringan lidah untuk menikam dan membicara perihal saudara sesama Islam dari belakang, daripada menutur bahasa lunak untuk menasihati dan menegur secara berhadapan. Tidak kurang juga mereka yang lebih ringan tangan untuk menuding saudara sesama Islam berlaku salah dan sebagainya, daripada berpegang tangan penuh mesra untuk membimbing dan memandunya.

Lebih parah apabila ada dikalangan kita dengan hanya sedikit pertelingkahan yang berlaku, kita mula menarik muka masam mencuka dan tidak tegur menegur serta hulurkan salam sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda :

لاتدخلون الجنة حتى تؤمنوا ولا تؤمنوا حتى تحابوا أو لاادلكم على إذا فعلتموه تحاببتم افشوا السلام بينكم

“kamu tidak dapat memasuki syurga sehingga kamu benar-benar beriman dan tidak kamu beriman sehingga kamu berkasih-sayang. Mahukah kamu, aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu melakukannya kamu akan berkasih-sayang, mengucap salamlah di kalangan kamu.”

Persefahaman, pengorbanan, perseimbangan pula menjadi intisari cinta mukmin. Rasulullah SAW juga pernah menyatakan :

مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم كمثل الجسد إذا اشتكى منه عضو تداعى له ساءر الجسد بالسهر والحمى

“perumpamaan orang-orang yang beriman, pada kasih sayang, silaturahim dan sikap lemah lembut mereka seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota terasa sakit maka seluruh tubuh turut merasa sakit dan demam.”

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah menafsirkan kalimah suci Islam, telah menyentuh mengenai Ukhuwwah Islamiah. Beliau telah menyatakan :

“sesungguhnya Islam adalah aqidah dan kebangsaan, bukan kebangsaan yang berdasarkan darah dan sempadan geografi tetapi kebangsaan yang berasaskan persaudaraan dan roh, justeru ia lebih kuat dan baik.”

Nabi Muhammad SAW di ambang pembentukan Daulah Islamiyah Al-Fadhilah, terlebih dahulu mempersaudarakan puak Muhajirin dan Ansar agar mereka saling cinta menyintai, saling berkasih sayang antara satu sama lain yakni sebagai kombinasi secocok padu ke arah pembinaan daulah. Rasulullah SAW pernah menyatakan lagi perihal cinta dan iman. Sesiapa yang ada padanya tiga perkara, nescaya ia mendapat kemanisan Iman, iaitu :

[1] Allah SWT dan Rasulullah SAW ia kasih.

[2] Ia tidak menyintai seseorang melainkan kerana Allah SWT.

[3] Ia benci kembali menjadi kufur sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam neraka.

Menzahirkan rasa cinta sesama mukmin. Sebahagian daripada adab Islam, apabila kita kasih kepada sahabat seperjuangan kita yakni kerana Allah SWT. Sewajarnya kita memberitahu bahawa kasih akan dirinya. Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan :

إذا أحب الرجل أخاه فليحبره انه يحبه

“apabila seseorang mengasihi saudaranya maka hendaklah ia memberitahu bahawa ia mengasihinya.”

Ikatan kasih yang disedari bersama ini akan menambahkan semangat bekerjasama dan saling teguh meneguh di antara satu sama lain dalam menghadapi halangan dan cabaran menegakkan agama Allah SWT. Dengan ini, sekaligus dapat menyekat serta menghalang hasutan syaitan dan nafsu yang berusaha memutuskan tali ukhuwwah sesama mukmin.

MOHD FADHIL BIN ZULKIFLI
Timbalan Presiden 1 MPMK 2013/14

Ulasan