Mati adalah
suatu kepastian,setiap yang diberi kehidupan pasti akan bertemu dengan
kematian. Muda bukan penentu berapa lama lagi nafas dapat dihembuskan, tua
sudah pasti bakinya makin berkurangan, sedang kepastian itu sendiri menyambut
datang.
Benarlah
sabdaan As Siddiq,Rasulullah s.a.w yang membawa maksud bahawa dunia ini akan
menghampiri hujungnya dan kacau bilau semakin berleluasa, kesesatan berkembang
pesat sedang kebenaran semakin terpinggir sepi, para alim ulama’ dibawa pergi
bertemuNya satu persatu.
Saban hari
ada sahaja khabar mereka-mereka golongan ‘muslih’ yang menjadi tempat
berpaut dari rapuhnya dahan-dahan jaminan dunia pergi meninggalkan
dunia..lalu,apakah kita bersedia menggalas pertanggungjawaban yang ditinggalkan
mereka? Apakah kita juga bersedia menjejaki langkah mereka yang menyerahkan
seluruh kehidupan kepada dunia ‘pengorbanan’?, mengorbankan segalanya demi
mencapai keredhaan Allah s.w.t semata.
Baru-baru
ini kita menerima khabar duka dengan pemergian seorang mujaddid di medan
siyasah dan dakwah Malaysia,Tuan Guru Ustaz Harun bin Taib, ya!banyak air mata
yang tumpah kerana sedih dan sebak dengan pemergiannya, namun yang pasti beliau
disambut riang-ria disana diatas segala amal kebajikannya didunia ini, beliau pergi
dengan husnul khatimah didalam perjuangannya dalam mengangkat panji-panji
Islam. Moga kaki-kaki kita juga mengikut jejak langkah peninggalannya. Amin!
Merenung
pada sisa-sisa umur yang tertinggal, mungkin sepuluh tahun lagi, mungkin juga
lima tahun dan mungkin juga setahun cuma ataupun sedetik lagi! Gusar
memikirkannya, jangan pula kegusaran itu tanpa disertakan amal kebajikan,
bertambah teruk andai gusar itu wujud, namun maksiat masih menjadi kebiasaan!
Nauzubillah min zalik..
Mengikuti
coretan nasihat santai didalam penulisan buku “wahai anakku,senyumlah” yang
ditulis oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, kadang-kadang membuat hati tercuit
dengan peringatannya yang tepat mengenai sasaran, bagaikan seorang penmbak
tepat melepaskan das tembakan, “wahai anakku, janganlah kamu merebut dunia yang
sedikit dan kamu abaikan nikmat akhirat yang banyak. Janganlah kamu tamak
dengan dunia yang kamu akan tinggalkan, sedang kamu tidak berusaha untuk
akhirat yang kekal abadi. Buanglah sifat mazmumah dalam dirimu dan gantikanlah
ia dengan sifat mahmudah”.
Benarlah!dunia
ini ladang untuk bercucuk tanam amal kebajikan, kita ketepikan rumput-rumpai
yang tidak diperlukan, bahkan merencatkan pertumbuhan tanaman, kita bajai ia
dengan amal soleh yang bagai tiada kesudahan, kita sirami ia dengan taqwa
kepada Allah s.w.t, hasilnya pasti tidak mengecewakan, kita kumpul kesemuanya
di sebuah ‘bank akhirat’. Sudah tentunya pemilik bank tersebut Maha Adil lagi
Saksama. Petani yang bagus akan menuai tanaman yang subur-subur, begitu juga hamba
Allah yang soleh pasti akan tersenyum menerima hasil kebajikan yang dilakukan
semasa hidupnya di akhirat nanti.
Semoga mati
kita bukan menjadi pemati segala harapan, tetapi sebagai suatu permulaan untuk
kehidupan yang lebih kekal abadi di akhirat sana.
Waktu senang ingat Allah,
waktu susah ingat Allah,
Waktu sihat ingat Allah,
waktu sakit ingat Allah,
Waktu lapang ingat Allah,
waktu sempit ingat Allah,
Moga Allah tidak lupa pada
kita!.
Aini Athirah Bte. Abdul Majid
Timb. S/u Agung MPM KUIZM 13/14
Ulasan
Catat Ulasan