Islam tidak melarang untuk kita berseronok dengan melawak
dan bergelak ketawa. Lihatlah bagaimana kisah Rasulullah s.a.w bergurau dengan
seorang wanita tua.
Wanita itu berkata baginda, “Doalah kepada Allah supaya Dia
memasukkan aku ke dalam syurga.” Baginda menjawab, “Wahai ibu, sesungguhnya
orang tua tidak masuk ke dalam syurga.” Perempuan itu balik dan menangis.
Baginda s.a.w bersabda: “Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam
syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman, “Sesungguhnya
kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan
mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya
dengannya.” (H.R. Tirmizi dan Al-Baihaqi)
Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata, “
Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dengan kami.” Baginda
menjawab: “Ya, aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang
benar.” (H.R. Tirmizi dan Ahmad)
Di sini, Dr. Yusuf Qardawi meletakkan lima etika yang perlu
dipatuhi dalam bergurau senda:
Pertama: Tidak menggunakan perkara yang bohong sebagai alat
untuk manusia tertawa.
Nabi s.a.w bersabda: “Celaka orang yang bercakap kemudian
berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia.” (H.R. Ahmad
dan Ad-Darimi)
Nabi s.a.w bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu
untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.”
(H.R. Abu Daud, Tirmidzi dan An-Nasai’e)
Kedua: Gurauan tidak mengandungi penghinaan terhadap orang
lain melainkan diizinkan oleh orang tersebut.
Firman Allah: “Wahai orang2 yang beriman janganlah satu puak
itu menghina puak yang lain, kemungkinan orang yang dihina lebih baik dari
orang yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita yang lain , kemungkinan
wanita yang dihina lebih baik baik dari yang wanita menghina… “ (Al-Hujarat,
49:11)
Nabi saw bersabda: “Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan
apabila dia menghina saudaranya semuslim.” (H.R. Muslim)
Termasuk dalam menghina ialah dengan meniru perbuatan orang
lain.
Aisyah r.a berkata, “Aku telah meniru perbuatan seorang
manusia.” Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Aku tidak suka meniru perbuatan
orang lain.” (H.R. Ahmad dan Baihaqi)
Ketiga: Melawak yang tidak menakutkan orang lain.
Nukman bin Basyir ra berkata: Sesungguhnya kami bersama
Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas
tunggangannya. Seorang lelaki yang lain mengambil anak panah dari busurnya dan
mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat. Rasulullah
saw bersabda: “Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam.” (H.R.
Thabrani)
Nabi s.a.w bersabda: “Janganlah kamu mengambil barang
kepunyaan saudara seislamnya dengan niat melawak ataupun betul-betul.” (H.R.
Ahmad)
Keempat: Jangan melawak ditempat yang serius dan jangan
serius di tempat melawak.
Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya
walaupun dalam keadaan melawak. Nabi s.a.w bersabda: “Tiga perkara yang mana
diambil hukumnya sama ada dalam keadaan melawak atau serius: 1. Nikah, 2.
Cerai, 3. Membebaskan hamba.” (H.R. Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Sesungguhnya Allah telah mencela orang-orang musyrikin yang
ketawa ketika mendengar Al-Quran. Firman Allah swt: “Adakah kamu hai musyrikin
rasa hairan dengan ayat2 suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak
menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai.” (An-Najm,
53:59-61)
Kelima: Hendaklah melawak sekadar perlu dan tidak
berlebihan.
Nabi s.a.w bersabda: “Janganlah kamu banyak ketawa.
Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati.” (H.R. Ahmad dan Ibu Majah)
Saidina Ali r.a: “Masukkan lawak dalam kata2 sekadar kamu
memasukkan garam dalam makanan kamu.”
Said bin al-‘As berkata: “Bersederhanalah dalam melawak.
Berlebihan dalam melawak akan menghilangkan keindahan dan menyebabkan
orang-orang yg bodoh akan berani terhadapmu. Meninggalkan melawak akan
menjauhkan orang-orang yang hendak bermesra dan menyebabkan orang-orang yang
berdamping denganmu berasa rimas.”
Admin.
Admin.
Ulasan
Catat Ulasan