Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Zulkifli
Muhammad (MPMK) mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang dijatuhkan oleh
Mahkamah Mesir ke atas 529 orang ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong Presiden
Mesir yang dipilih secara sah menerusi pilihanraya dan sistem demokrasi, Dr
Mohamad Morsi.
Hukuman mati ini merupakan satu titik hitam di dalam sejarah moden
dunia dan merupakan satu langkah mundur ke belakang yang diambil oleh kerajaan
rampasan tentera Mesir. Kita mengharapkan agar negara-negara Islam dan kerajaan
Malaysia khususnya bertindak tegas menyatakan bantahan terhadap tindakan zalim
ini.
Kerajaan perampas Mesir yang dipimpin oleh Jeneral Abdul Fatah As-sisi
yang telah sewenang-wenangnya mencampuri urusan kehakiman. Hukuman mati yang
dijatuhkan hari ini juga merupakan satu isyarat bahawa Mesir sedang kembali ke
era pemerintahan tentera yang pernah menyaksikan demokrasi di negara ini
berkubur selama berdekad lamanya.
Bermula apabila Dr Morsi memenangi pilihanraya pada pertengahan tahun 2012 namun tidak kekal lama
apabila tentera kembali merampas kuasa setahun kemudiannya. Berasaskan kepada
hukuman mati yang dijatuhkan pada hari ini, tidak mustahil 682 lagi penyokong
Morsi yang sedang menunggu giliran juga akan menerima nasib yang sama.
Langkah yang dilakukan oleh mahkamah Mesir ini hanya akan
menyemarakkan lagi kebangkitan rakyat untuk meruntuhkan kezaliman melalui pelbagai
gerakan samada secara jelas mahupun tersembunyi. Tiada siapa yang untung
apabila berlaku konflik yang berpanjangan hanya semata-mata kerana Tentera
enggan tunduk kepada proses demokrasi. Jeneral Tentera Abdul Fatah As-sisi dan
pimpinan kerajaan sementara yang tidak sah mesti bertanggungjawab di atas darah
yang telah ditumpahkan oleh tangan-tangan mereka.
Penindasan ini mesti dikecam melalui apa cara sekalipun. Cubaan
untuk menjustifikasikan rampasan kuasa atas 'sebab-sebab aneh' seperti
kelemahan pentadbiran Morsi, dan protes oleh jutaan rakyat Mesir adalah cetek
dan sangat subjektif. Justeru MPMK menegaskan bahawa sebarang tindakan yang
mencerobohi ruang demokrasi wajib dikutuk oleh seluruh dunia lebih-lebih lagi
negara-negara Islam termasuklah Malaysia yang bernaung di bawah Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC).
Ahmad Syifa Abd Rahim
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM