Selasa, 8 Julai 2014

Kita Tengok Bola Bersama, Kita Qiyam Bersama

Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM (MPMK) ingin membuktikan bahawa usaha dakwah itu tidak hanya di dalam masjid semata-mata. Usaha dakwah mendekati anak-anak muda akan diteruskan. Komitmen ini ditonjolkan MPMK dengan mengadakan program-program yang mesra anak muda seperti edar risalah penerangan konsert liar dengan petikan gitar dan alunan lagu di Taman Layang-layang, Kepong pada Mac lalu. 

"Mereka tidak boleh dipaksa untuk beragama melalui paksaan. Oleh kerana itu usaha dakwah yang mesra anak muda mesti diteruskan. Kita tidak boleh menafikan minat mereka tetapi kitalah yang menyalurkan minat mereka kepada jalan yang diredhai oleh Allah swt", pesan Ustaz Mohd Khairi bin Zainuddin, Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sembilan ketika menghadiri program bersama mahasiswa KUIZM.

Satu pendekatan terbaru digunakan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Pemuda PAS Kawasan Batu, Jabatan Amal Wilayah Persekutuan, DACS Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM menganjurkan tayangan skrin besar perlawanan bola sepak World Cup beserta qiyamulail bermula 9 Julai hingga 14 Julai. Tayangan ini diadakan di Dataran KUIZM bermula seawal 12 tengah malam. 


Dari MPMK, salah satu matlamat penganjuran program ini adalah untuk menyediakan satu ruang kepada anak muda disekitar KUIZM untuk lebih mengenali KUIZM. Kami ingin memperkenalkan bahawa KUIZM bukan untuk golongan ustaz semata-mata tetapi untuk masyarakat. Jadi kami memikirkan apakah platform terbaik yang mampu kami sediakan untuk anak muda sekitar sini dalam usaha dakwah Islam yang cuba disampaikan. Alhamdulillah, ini adalah kesempatan terbaik kami.

Pesan Murabbi Ustaz Azhar Yahya, Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan juga sebagai pensyarah kuliyah syariah di KUIZM. "Wajib dah hukumnya kita berdakwah ke segenap ruang kerana zionis telah menyerang kita dari segenap ruang."

Memetik kalam daripada Ustaz Kamaruzaman Abdullah, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu ketika menyampaikan kuliyahnya. "Anak muda yang mahu menonton bolasepak tidak ada masalah. Meninggalkan ibadah kerana menonton bolasepak itu yang masalah. Jangan kita terlampau menurut hawa nafsu menonton bolasepak sehingga ibadah terabai"

Semoga program yang dianjurkan ini mendapat keberkatan daripada Allah dan berjalan dengan lancar. Kita tengok bola bersama, kita qiyamulail bersama.



Muhammad Yusuf Bin Mahmod
Mahasiswa KUIZM
AJK Pelaksana Program

0 comments:

Catat Ulasan