Pada awal sesi pendidikan awal dahulu diajar bacaan doa dan mengenal
tuhan. Setelah itu diajar mengenal huruf-huruf hijaiyah Alif Ba Ta cukup
setakat itu. Kemudian diajar lagi mengenal huruf-huruf alfabet ABC juga terhenti setakat itu. Berbeza pengajaran ilmu hisab, diajar mengenal nombor dari 1 hingga 10.
Ketika itu masih belum bertanya apa selepas ABC, apa selepas Alif Ba Ta
dan apa selepas 10. Terus menyanyi mengalunkan dan melagukan doa-doa
yang diajar. Setelah itu, doa mula dibaca dengan lancar bukan kerana
sudah pandai membaca tetapi ingat dihafal.
Lama kelamaan
persoalan mula timbul. Apa selepas ABC, Alif Ba Ta dan apa selepas 10?
Sebuah persoalan ingin tahu yang menunjukkan tanda seseorang yang ingin
membangun diri. Sifat ingin tahu kepada perkara yang jika digenggam
kelak mampu menggugah dunia.
Meningkat umur, pendidikan di
negara kita sudah mula meminggirkan ilmu mengenal tuhan dan mengenal apa
arahan dan tegahan tuhan. Akhirnya, lahirlah pelapis kepimpinan negara
yang tidak tahu menahu mengenai pegangan akidahnya sendiri sehinggakan
tidak dapat membezakan najis berat dan ringan yang begitu asas.
Negara membangun dengan pelbagai binaan yang pesat tetapi semua itu
hanyalah semata-mata binaan dan tiada nilainya jika rakyatnya tidak
mengenal tuhan dan tidak berusaha membangun jati diri. Tiada ilmu
digenggaman.
Membangunkan negara mestilah seiring dengan
pembangunan tamadun. Terapkan ilmu dan sikap dahagakan ilmu dikalangan
masyarakat. Tiadalah ertinya bangunan yang tinggi tetapi masyarakatnya
tidak bermentaliti.
Masyarakat perlu terarah dengan kepercayaan
dan keimanan demi kesejahteraan sesebuah negara. Penerapan nilai-nilai
murni dan ilmu kerohanian mesti menjadi perhatian dan keutamaan.
Justeru, KUIZM menawarkan pendidikan yang merangkumi seluruh keperluan
yang sekarang ini dipinggirkan. Penekanan diberikan bermula dengan ilmu
berkaitan akidah, dakwah, aliran pemikiran, kepimpinan Islam, pengurusan
kewangan Islam dan sehinggalah kepada ilmu perundangan.
Penubuhan KUIZM ini bermatlamat bagi melahirkan para graduan yang
berilmu, beriman dan bertaqwa yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin
Islam akan datang.
MARZUKI MOHD SALLEH
Pengarah PSMB Sept. 2014
Ulasan
Catat Ulasan