Alumni Akademi Budiman Membetulkan Sejarah Atau Membuatkan Sejarah?

Saya agak terkejut apabila melihat status Pengarah Akademi Budiman, saudara Hasbie Muda yang mengatakan penolakan kepimpinan Dato' Asri Muda secara tidak demokrasi dan kekerasan. Manakala sahabat beliau saudara Nik Abdul Razak, kawan serumah di UM menyatakan bahawa sejarah Dato' Asri Muda digelapkan. Kedua-dua mereka ini diangkat oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia sekarang, saudara Suhaizan Kayat sebagai pemikir dan perancang organisasi di bawah kepimpinanannya. Namun, amat malang pendekatan mereka yang dikatakan akademik dan adil seperti jauh api dari panggang.
Maka, perlu untuk saya membetulkan dakwaan mereka ini bagi membersihkan pandangan mereka yang salah, dan anak muda dapat menilai bahawa populariti dan tindakan populis mereka ini sebenarnya ada agenda yang mengelirukan anak muda yang terlibat dengan PAS.
"Seminar Pemikiran Tan Sri Mohd Asri Haji Muda" baru dibuat sehari dengan penampilan Dato' Mustafa Ali juga dikenali dengan panggilan Cikgu Pa , Dr Kamarul Zaman Yusoff juga merupakan Pengkaji Politik dari Kelantan dan beberapa yang lain. Namun, selain Cikgu Pa, siapa yang bergelumang dalam sejarah kepimpinan Dato' Asri Muda? Benarkah PAS menggelapkan sejarah Dato' Asri Muda? Kesimpulan mudah dua tokoh pemuda belaan saudara Suhaizan kayat ini cuba mencetuskan polimik ilmiah yang sengaja dikelirukan dengan program mereka yang kurang mendapat sambutan tersebut.
Benarkah Sejarah Dato' Asri Muda Digelapkan oleh PAS?
Ternyata premis dakwaan ini terlalu dangkal untuk dinyatakan oleh mereka yang mendakwa merekalah ulat buku. Apakah mereka tidak bertemu dengan buku dan pensejarahan PAS yang sudah sekian lama dicatat dan dibukukan? Sejarah PAS dan penglibatan Dato' Asri Muda tidak pernah dinafikan oleh PAS. PAS Kelantan pernah menerbitkan sebuah buku di bawah Pusat Kajian Strategik, yang ditulis oleh tokoh veteran PAS, Al-Marhum Ustaz Haji Mohd Amin Yaakub yang menceritakan dengan penuh detail dalam Buku yang bertajuk "Sejarah Pemerintahan PAS Kelanatan 1959-1990". Di dalamnya dimuatkan peranan Dato' Asri Muda dan keluarga mentuanya serta anak saudara sabitnya Dato' Ishak Lutfi yang menjawat Menteri Besar Pertama PAS di Kelantan. Atas usaha beliaulah bangunan PAS dibina di Kelantan.
Dalam penulisan kotemporari, Dr Fadhli Ghani ada menulis dalam Harakah dan Institute Kota suatu masa dahulu. Kemudian ditulis juga sebuah Thesis yang dibuat oleh Prof Dr Kamaruzaman Yusoff tentang era PAS zaman Dato' Asri Muda dari 1964-1983. Jadi di mana, sejarah Dato' Asri Muda digelapkan oleh PAS dan pemimpin PAS?

Dato' Asri Muda Dijatuhkan Secara Kekerasan Dan Tidak Demokrasi?
Dari mana datangnya kesimpulan saudara Hasbie Muda apabila beliau dengan mudah membuat kesimpulan begini? Mungkin beliau baru mengenali PAS setelah diangkat sebagai AJK Pemuda PAS Pusat oleh saudara Suhaizan Kayat. Mungkin penglibatan beliau di UM dalam "Jemaah Kampus" hanya dimuatkan ilmu propaganda memburukkan mereka yang tidak disukai dengan jenayah dunia akademik? Generasi beliau mungkin tidak kenal Arwah Ustaz Yazid Kampung baru yang pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Wilayah dan Kerani Pentadbiran Pejabat Agong sebelum PAS bersama UMNO menubuhkan BN. Mungkin juga tidak mengenali Al-Marhum Ustaz Rahim dan Pak Syed, kakitangan Pejabat Agong yang cukup mengetahui sejarah perjalanan PAS dan sekitar kontreversi peralihan Kepimpinan Dato' Asri Muda kepada Kepimpinan Ulamak.
Mereka semua mempunyai sumber "authentic" dan ditambah lagi kalau sumber dari Pak Subky, Ahmad Lutfi dan orang orang lama PAS Seperti Tuan Guru Dato' Dr Haron Din, Dr Daeng Sanusi yang semuanya boleh menceritakan kembali kenapa berlaku penolakan terhadap Dato' Asri Muda.
Dato' Asri Muda mula menerima penolakan dalam Parti apabila beliau membawa campurtangan keputusan keluarga dan kroni setelah mesyuarat diputuskan dalam mesyuarat PAS Pusat. Beliau membiarkan campurtangan Datin Sakinah dalam urusan politik. Menerima Nasihat dari Wan Ismail, Zahari Awang di luar mesyuarat sehingga menyebabkan keputusan mesyuarat dan Syura tidak dihormati. Dan saya kira ini jua yang dilakukan oleh saudara Suhaizan Kayat bila beliau merombak kepimpinan Pemuda PAS Malaysia pada tahun lepas.
Kesannya, berlaku penolakan besar-besaran dalam PAS terhadap beliau yang dimulakan secara terang terangan oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah dan yang lainnya. Kemudian, beliau juga mencampuri urusan pemilihan UMNO dengan memihak kepada lawan Dr Mahathir Mohamad sehingga dendam tersebut berlanjut dalam kes "mageran" di Kelantan apabila kesempatan di ambil oleh Tengku Razaleigh untuk terus merobek kekuatan PAS di Kelantan. Akhirnya, PAS Kelantan tewas pada 1978 dengan hanya meninggal tokoh seperti Al-Marhum Pok Nik Lah sebagai Orang yang masih mampu mengekalkan kerusi DUN.
Kesimpulan
Akhirnya, sengaja saya menulis bantahan ini kerana beliau, iaitu saudara Hasbie Muda dan Nik Abdul Razak sedang menyebarkan satu propaganda yang boleh merosakkan pandangan terhadap pensejarahan PAS dengan menuduh sesuatu yang tidak dibuat sebelum ini. Mana boleh dengan jawatan beliau sebagai Pengarah Akademi Budiman, membuat kesimpulan yang boleh menyebabkan berlaku salah faham yang lebih buruk.
Awas! Jenayah Akademik.
MOHD FADHIL BIN ZULKIFLI
Mahasiswa KUIZM