Suara Anak Kandung PAS : Teguran Terbuka Buat Ketua Pemuda PAS Malaysia

Baru-baru ini Ketua Pemuda PAS Malaysia, saudara Suhaizan Kayat telah mengeluarkan kenyataan tidak berpendirian bahawa dia menyerahkan kepada ahli di kawasan dalam menentukan Presiden PAS dalam responnya ke atas isu Bekas Exco Pemuda PAS Malaysia ZulHazmi Shariff yang telah mencadangkan supaya Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak dicalonkan sebagai Presiden PAS pada muktamar akan datang. Cadangan daripada ZulHazmi Shariff itu adalah satu budaya "kurang ajar" dalam PAS malah ia tidak sepatutnya berlaku, ia jelas bertujuan ingin menjatuhkan Kepimpinan Ulamak yang menjadi dasar perjuangan PAS. Malangnya Ketua Pemuda PAS Malaysia, saudara Suhaizan Kayat dilihat sangat mengecewakan dengan kenyataan yang bersifat tidak berpendirian dan sangat beragenda itu.

Tujuan Gerakan Islam PAS menggunakan sistem demokrasi dalam pemilihan pimpinan adalah semata-mata supaya wujud satu mekanisme menukar pimpinan jika pimpinan itu dilihat tidak layak sebagai pemimpin Gerakan Islam. Tetapi mekanisme itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana Islam meletakkan panduan jika ingin menukar pimpinan. Jika ditukar pimpinan yang sudah sedia layak kepada orang yang lebih teruk maka itu sudah menyalahi agama Islam. Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila sesuatu amanah itu di salahgunakan (disia-siakan), maka tunggulah saat kehancuran.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana amanah itu disalah gunakan wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Iaitu apabila tugas atau tanggungjawab sebagai pemimpin itu diberikan (diserahkan) kepada bukan ahlinya atau bukan orang yang layak, maka tunggulah saat kehancuran.”

Demokrasi mestilah berlandaskan Syariat Islam dan sesiapa menggunakan mekanisme ini tanpa ada sebarang sebab yang syar’ie ingin menukar Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang maka dia telah menanggung dosa yang sangat besar di hadapan Allah melainkan mereka dapat membawa sosok tubuh yang juga sama layak dengan Timbalan Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia itu. Iaitu sosok yang mampu berijtihad, menyatukan Gerakan Islam di seluruh dunia, menyelesaikan sebarang permasalahan melibatkan ummat Islam di seluruh dunia, berpegang teguh dengan prinsip Al-Quran dan As-Sunnah.

Pelantikan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS adalah atas kelayakan beliau menangani sebarang masalah ummat Islam di seluruh dunia malah beliau juga sangat mahir dalam selok belok ilmu Al-Quran dan As-Sunnah bagi mendepani sebarang permasalahan yang memerlukan kepada kita berbalik kepada dua sumber asas umat Islam itu. Cadangan ZulHazmi Shariff ini yang mencuba menjatuhkan kepimpinan Ulamak jelas bertentangan dengan syariat malah wajib dikutuk oleh semua lapisan dalam gerakan Islam PAS. Sebagai anak kandung PAS yang masih menuntut di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) seliaan Dewan Ulamak PAS Pusat, saya bersama sahabat KUIZM yang lain menggesa supaya ZulHazmi Shariff dan saudara Suhaizan Kayat menarik balik kenyataan mereka yang dilihat semakin hari semakin membawa fitnah kepada Gerakan Islam ini.

Saya bersama sahabat KUIZM yang lain sangat bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh YB Iskandar Samad baru-baru ini, bahawa walaupun seseorang itu menyatakan pandangan tetapi kenyataan seperti ini bukan budaya dalam PAS atau akhlak dalam PAS. Akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh para jundi PAS adalah dengan bersama-sama dengan para Ulamak memperjuangkan Islam bukanlah menjatuhkan mereka. Jika menjatuhkan para Ulamak dari posisi yang hak kepada mereka, maka tidak ada beza dengan UMNO yang selama ini menentang perjuangan Islam yang didokongi oleh Ulamak.

Memetik Fiqh Siyasah Amirul Mukminin Khalifah Umar Al-khattab, mengatakan bahawa seorang pemimpin itu mestilah mempunyai kekuatan(kemampuan) dan amanah untuk melaksanakan jawatan yang diberikan. Apa yang dimaksudkan dengan kekuatan untuk menangani jawatan adalah seorang itu ada kemampuan memimpin manusia-manusia, maka jika ingin menjadi presiden PAS maka seorang itu hendaklah mampu merealisasikan roh Gerakan Islam, juga mampu berijtihad dalam mengambil sebarang langkah dengan merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah paling berpengalaman dan mempunyai jiwa seorang amir (ketua) sebuah Gerakan Islam. Manakala amanah adalah pemimpin itu tidak menyeleweng jawatan yang Allah berikan kepadanya samaada amanah kepada perintah Allah atau amanah dalam urusan sesama manusia, mengikut rekod jasa Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang amanah beliau sebagai nakhoda Gerakan Islam PAS tidak dapat dinafikan lagi. Maka jika dilihat dari keperibadian Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri, sangat cocoklah kriteria yang disebut ini dengan apa yang telah dijelmakan oleh Presiden PAS tersebut. Tidak ada keperluan untuk menukar Ahli Parlimen Marang tersebut daripada posisi Presiden PAS.

Posisi Ahli Parlimen Marang tersebut, sebagai Presiden PAS kini sangat penting kerana kelayakan ilmu haraki yang dimilikinya membolehkan PAS bergerak ke hadapan secara progresif sebagai Gerakan Islam yang menjadi rujukan kepada seluruh Gerakan Islam di dunia ini, juga sebagai parti politik Islam yang menjadi wasilah umat Islam untuk menegakkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Saya juga bersama dengan sahabat KUIZM yang lain sangat menyokong kenyataan beberapa hari lepas daripada Ustaz Norazli Musa bahawa cadangan ini hanyalah sebagai satu langkah bagi menggagalkan gerakan Islam untuk terus berkembang. Oleh itu, atas kesedaran ini maka setiap anggota Gerakan Islam mestilah disedarkan bahawa propaganda yang berusaha menjatuhkan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ini merupakan satu agenda musuh Islam melemahkan Gerakan Islam di Malaysia di mana beberapa kepala-kepala yang menjalankan kerja jahat ini telah dirosakkan fikiran mereka sama ada secara sedar atau tidak sedar, maka mereka akan berusaha menjatuhkan Gerakan Islam di Malaysia ini.

Sebagai Ketua Pemuda PAS, sepatutnya Suhaizan Kayat melihat cadangan ZulHazmi Shariff itu sebagai satu serangan kepada pimpinan tertinggi PAS yang jelas bertentangan dengan Syariat Islam. Alangkah mudahnya jika dia menunjukkan sokongan kepada Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan mengeluarkan kenyataan sokongan penuh kepada Ahli Parlimen Marang tersebut sebagai Presiden PAS, tetapi malangnya kenyataan yang dikeluarkan itu penuh beragenda yang mengundang ahli akar umbi untuk terjerat dengan agenda jahat puak yang berusaha menjatuhkan Kepimpinan Ulamak. Jika ada ahli akar umbi yang terikut-ikut dengan usaha jahat ini atas kenyataan beliau (saudara Suhaizan Kayat) yang dilihat beragenda itu, maka ia mengundang kepada ahli Gerakan Islam ini melakukan tindakan yang bertentangan dengan arahan Rasulullah SAW. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW telah memberi amaran kepada kita semua bahawa tunggulah saat kehancuran jika fitnah ini terjadi.

Sebagai anak kandung PAS juga, saya mewakili anak kandung PAS yang masih menuntut di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) ingin mengingatkan bahawa saudara Suhaizan Kayat tidak sepatutnya juga lupa kepada isu "lima kawasan", yang sedia maklum telah tidak mengadakan meyuarat tahunan sebelum pemilihan sayap parti berkenaan. Ini jelas merupakan satu kesalahan tatatertib Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di mana cubaan terancang melobi jawatan itu mesti dipertikaikan dan beliau (saudara Suhaizan Kayat) menyandang jawatan Ketua Pemuda PAS Malaysia dengan cara yang "tidak sah". Malah budaya melobi jawatan ini juga adalah bertentangan dengan prinsip Gerakan Islam yang menekankan disiplin dan kemampuan ilmu Al-Quran dan As-Sunnah jika ingin menjadi pemimpin.

Sudahlah jelas saudara Suhaizan Kayat tidak mendapat redha ahli akar umbi kerana tidak mengikut undang-undang parti, malah gagal menunjukkan kewibawaan sebagai Ketua Pemuda PAS Malaysia dengan bersikap naif apabila ada usaha menjatuhkan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS.


Sungguh musykil dibuatnya, adakah saudara Suhaizan Kayat berada di posisi "Ketua Pemuda PAS Malaysia" itu sendiri merupakan satu perancangan halus agar Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kekurangan kekuatan sokongan daripada Ketua Pemuda PAS memandangkan dia jelas bersikap talam dua muka dalam isu membabitkan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dicabar?

MUHAMMAD HARITH MOHD NOH
Presiden MPM KUIZM 14/15