Solidariti Buat PMRAM : Mahasiswa KUIZM Teguh Bersama PMRAM

 
1 - Khabar pilu menjelma hari ini, teman-teman seperjuangan di Perlembahan Nil sedang bermuktamar dalam Persidangan Khas PMRAM.

2 - Dalam ucapan Presiden PMRAM pada Persidangan Khas tersebut, beliau telah memaklumkan bahawasanya Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah dibekukan.

3 - Lantaran itu kami di peringkat Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (MPM KUIZM), menerima berita yang amat mendukacitakan ini dengan perasaan yang cukup hiba.

4 - PMRAM yang sudahpun mencapai usia 85 tahun itu telah memberitahu dunia bahawa para kadernya telah menjelajah ke seantero dunia amnya ataupun Malaysia khususnya, menebarkan risalah perjuangan Islam.

5 - Amat menyedihkan andai gerakan mahasiswa yang amat berjasa buat tanah air kita ini dibekukan daripada menjalankan operasinya.

6 - Cukup malang lagi ianya berlaku saat obor perjuangan Islam di negara kita ini kian marak membakar.

7 - Maka dengan ini, Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (MPM KUIZM) mengutuk sekeras-kerasnya, andai di sana adanya golongan yang cuba bertindak bagi mengharamkan PMRAM.

8 - Kami juga pastinya akan membantu sehabis mampu untuk memastikan rakan-rakan kami di PMRAM dapat meneruskan survival gerakan mahasiswa yang cukup ulung itu.

9 - Ayuh teman-teman, kita sama-sama menunjukkan solidariti kita buat mereka dengan kita bermunajat serta berdoa kepada Allah SWT agar Sang Pencipta menyelamatkan perjuangan PMRAM di Mesir daripada fitnah dan kerja jahat daripada orang-orang yang dengkikan kebangkitan Islam dan mahasiswa.

10 - Semoga Allah memberikan kekuatan dan kesabaran buat Presiden PMRAM, saudara Hanifulfuad Hussin dan juga kepada barisan kepimpinan Badan Pengurus PMRAM untuk terus berdepan dengan ujian yang getir ini.

11 - Sesungguhnya pertolongan Allah itu akan senantiasa ada buat golongan yang telah dizalimi.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ
اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah Al-Maidah ayat 8)

Salam perjuangan buat PMRAM.

"BERSAMA BANGKIT MENERJANG KEBATILAN, BERSATU BANGKIT DEMI ISLAM"
MUHAMMAD HARITH BIN MOHD NOH




Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad.
2014/2015