KAMIL 2016 : Platform Lahir Bakat Warga IPT PAS


KARNIVAL Amal Islami IPT PAS 2016 (KAMIL) telah diadakan dengan jayanya baru-baru ini. Karnival ini menghimpunkan semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang bernaung di bawah PAS secara langsung. Samada ianya dimiliki di peringkat dewan, pusat mahupun negeri, IPT ini adalah asas kepada sistem pendidikan tinggi yang PAS rintis sejak sekian lama bagi menawarkan alternatif. Karnival KAMIL menjadi platform kepada seluruh warga IPT PAS untuk berkreativiti, berprogram dan bersama menjayakan program. Mengulas lanjut KAMIL 2016, Wartawan Harakah, SUFI NAZ menemui Rektor Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Dr Shahabudin m en ah pada 12 Mei lalu. Ikuti wawancara ringkas bersama Dr Shahabudin Ngah.

HARAKAH : Selaku Ahli Majlis Pendidikan PAS (MPP), apa pendapat anda mengenai Karnival Amal Islami IPT PAS 2016 (KAMIL) yang berlangsung baru-baru ini?

DR SHAHABUDIN NGAH: KAMIL ini diwujudkan atas dasar permuafakatan antara institusi-institusi pendidikan pengajian tinggi PAS. Sekarang ini ada tiga buah secara rasminya iaitu Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI), Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) dan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU).

Kita ada Majlis Pendidikan PAS yang bertanggungjawab untuk menyatukan atau mewujudkan kerjasama di antara ketiga-tiga institusi ini. Sebagai Ahli Majlis Pendidikan PAS, saya amat gembira apabila kita berjaya mengadakan Karnival Amal Islami IPT PAS 2016 (KAMIL 2016). Ia sepatutnya lebih kerap diadakan.

Kita lihat adanya kerjasama dan hubungan baik antara para pelajar institusi pengajian tinggi PAS. Adalah diharapkan ianya sentiasa berterusan, bukan sahaja program berbentuk karnival seperti ini. Malah program-program yang lain, yang boleh meningkatkan mutu pendidikan dan juga pengurusan serta pendidikan pusat pengajian tinggi PAS.

KUIZM selaku tuan rumah acara KAMIL 2016, adakah sebarang perancangan untuk mengembangkan lagi majlis seperti ini dengan lebih banyak penglibatan IPT yang lain?

Sebenarnya IPT PAS, permuafakatannya sebagai suatu perkara yang utama untuk menjalin kerjasama. Oleh kerana kita berada dalam Malaysia, maka tidak begitu sempurna kalau kita berada dalam lingkungan kita sahaja. Oleh sebab itu, kita harap dalam masa akan dating, program seumpama ini akan dapat melibatkan lebih banyak lagi kolej-kolej yang lain.

Pada masa ini pun, selain daripada 3 buah kolej tersebut kita ada penglibatan daripada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Pusat Dakwah Serantau (PDS). Ia bertujuan supaya para pelajar kita di bawah naungan PAS ini boleh bergaul dan bertukar-tukar pandangan serta idea antara satu sama lain. Itu pastinya akan mewujudkan hubungan yang baik.

Kita harapkan ia bukan sahaja untuk institusi bawah PAS sahaja tetapi juga penglibatan dari pihak-pihak lain. Dengan izin Allah kita akan luaskan lagi jaringannya. Terpulang bagaimana mereka untuk menyertainya.

Apa pandangan peribadi anda terhadap penganjuran KAMIL 2016 ini?

Secara peribadi, saya berasa amat seronok sebab di situ kita lihat bakat-bakat yang ada dalam kalangan para pelajar. Mereka ini terdiri daripada bekas pelajar pondok, sekolah agama yang orang kata- tidak terdedah. Tanggapan orang pasti mengatakan bahawa mereka ini duduk di bawah tempurung namun mereka mempunyai bakat yang begitu baik sekali. Mereka juga mempunyai cara tersendiri yang boleh diketengahkan sama ada dari segi tilawah, hafazan, debat, nasyid, pidato dan sebagainya. Mereka mempunyai kualiti dalam erti kata sebenar kalau dilatih dan diketengahkan.

Saya amat suka dan seronok apabila mereka yang dianggap sebagai pelajar yang selama ini tidak mendapat kemudahan-kemudahan asas seperti sekolah agama rakyat dan sekolah agama biasa ini tetapi masih mempunyai bakat yang boleh diketengahkan. Dengan izin Allah mereka mampu untuk menjadi para pemimpin pada masa akan datang.

Ada sebarang langkah seterusnya selepas mendapat senarai pemenang pelbagai kategori dalam KAMIL 2016?

Kita harapkan mereka akan gilap bakat tersebut di tempat masing- masing. Kalau ada peluang untuk pidato umum, teruskannya atas nama perjuangan. Begitu juga yang bagus dalam tilawah dan hafazan al-Quran, boleh masuk ke peringkat daerah dan kawasan untuk musabaqah yang akan datang.

Bagi bakat nasyid, boleh teruskan latihan untuk rakaman, persembahan dan sebagainya. Perkara yang sama juga dalam debat dan pidato, sekarang banyak pertandingan pidato yang dianjurkan oleh pihak luar secara umum. Saya harap mereka semua diketengahkan agar lebih menyakinkan diri mereka sendiri dalam menggapai impian sebagai pemimpin atau ahli parlimen di masa akan datang.

Harapan untuk program KAMIL yang akan datang?

Dari segi penyertaan, kita harap ia akan jadi lebih baik lagi. Apa-apa kekurangan, ia patut diperbaiki dan diatasi pada masa hadapan. Kita buat secara giliran iaitu tahun 2016 diadakan KAMIL, jadi tahun hadapan akan diadakan Kejohanan Sukan dan begitulah seterusnya. Begitu juga dari segi giliran tuan rumah.

Untuk pengetahuan, tahun hadapan adalah giliran KUDQI pula untuk menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Sukan bertempat di negeri Terengganu. Acara dalam KAMIL ini banyak, mungkin sebaiknya tempoh masa program boleh dipanjangkan sedikit bagi mengurangkan kepadatan jadual. Isunya adalah kita mempunyai kalendar yang berbeza.

Sekarang kita tumpukan hanya kepada acara pertandingan itu sahaja, padahal masa berhimpunnya semua warga IPT PAS ini, kita boleh wujudkan kerjasama lain seperti antara Majlis Perwakilan Pelajar, mesyuarat ahli akademik, perbincangan sesama kakitangan dan sebagainya. Maknanya kerjasama ini bukan hanya untuk KAMIL dan Kejohanan Sukan sahaja, tetapi juga perkara-perkara lain yang boleh meningkatkan prestasi akademik dan segala aspek dengan izin Allah.

Ulasan