Diam Dan Bersabarlah

"Kami mengadakan bagi tiap-tiap Nabi suatu musuh, syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu, dan sekiranya Pemelihara kamu menghendaki, tentu mereka tidak membuatnya. Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka mengada-adakan.”
(Al-An’am : 112)


Ada jenis manusia yang kurang faham konsep 'teguran' dan 'mengejek'. Mereka merasakan seolah-olah menegur, walhal apa yang dilakukan itu adalah mengejek (iaitu suatu hal yang dilakukan atas dasar tak puas hati, dengan cara 'mempersendakan' supaya menimbulkan kemarahan). Sikap begini langsung tidak memberi faedah kepada umat Islam, bahkan hanya mendatangkan mudharat semata-mata. Kerana tujuan mereka hanya untuk membina persepsi dikalangan umat Islam yang menyampaikan kebenaran, supaya dibenci, dicemuh dan sebagainya, dan supaya manusia lain bersama-sama dengan mereka meninggalkan ayat-ayat Allah. Akan tetapi Islam tidak mengajar manusia untuk membalas ejekan orang lain walaupun demi menyampaikan haq, atau dengan alasan untuk membela Islam. 
Sebelum itu, kita harus mengetahui bahawa orang bodoh itu terbahagi kepada 2 jenis. Pertama, orang bodoh yang sedar bahawa diri mereka tidak tahu menahu tentang hal-hal agama. Kedua, orang bodoh yang merasakan diri mereka ini bijak pandai, atau dengan kata lain dikenali sebagai 'bodoh sombong'.

Saya tidak mahu mengupas yang pertama, kerana apa yang mahu ditekankan disini adalah bagaimana sikap kita untuk menghadapi golongan yang menutup nikmat pandangan, pendengaran dan hati mereka dari menerima kebenaran. Kerana sememangnya musuh sengaja menjadikan ejekan dan cacian itu sebagai senjata bagi memerangkap da'ie agar mengikuti ruang kekotoran ciptaan mereka. Mereka sedar bahawa mereka tidak akan mampu untuk membantah hujah-hujah yang dikemukakan, akan tetapi mereka tetap sombong untuk menerima hal-hal tersebut.

Jika Allah tidak membenarkan manusia untuk membalas ejekan, lalu bagaimana sikap kita dalam menghadapi orang-orang yang sering menghina atau mengejek kerja-kerja dakwah yang dilakukan, bahkan mengolok-olokkan pula kebenaran? Allah menjawab dalam surah al-A'raf, ayat 199 yang bermaksud ;
“Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh.”


Lihat juga bagaimana sejarah para Nabi, khususnya Baginda Muhammad S.A.W bilamana berhadapan dengan perkataan-perkataan keji yang dilontarkan kepadanya, Baginda tidak membalas sedikitpun melainkan hanyalah kebaikan dan keindahan semata-mata. Disini Islam telah mengajarkan kepada umatnya, bahawa seorang da'ie itu dilarang sama sekali untuk turut terlibat ke dalam kancah caci mencaci. Maka jawapan yang terbaik adalah jangan berbalah, cukup dengan hanya diam dan berpaling darinya. Kerana tidak menjawab sindiran orang-orang bodoh itu juga sebenarnya adalah sebuah jawapan yang dikemukan dalam al-Qur'an.
Adapun sikap bersabar dan berpaling dari orang yang memperolok-olokkan kebenaran itu bukan perkara yang mudah untuk dilakukan, kerana itulah Allah S.W.T telah menurunkan begitu banyak ayat yang menyebutkan tentang 'sabar'.
“Dan bersabarlah (Muhammad) terhadap apa yang mereka katakan dan tinggalkanlah mereka dengan cara yang baik.”
(Al-Muzzamil : 10)
Allah S.W.T berpesan kepada manusia untuk bersabar dalam menghadapi segala macam dugaan serta menahan diri untuk tidak membalas ejekan. Menjadi fitrah manusia yang mengimpikan Syurga Allah S.W.T dengan membawa kebenaran itu tidak akan sampai dengan cara yang senang. Syurga itu mahal harganya, tentu sahaja sesuatu yang mahal tidak akan didapati dengan cara yang mudah. Lalu untuk mendapatkan perkara yang bernilai, mestilah diberikan sesuatu yang setimpal dan sama nilai harganya.
Kebenaran mesti disampaikan dengan cara yang benar. Kebenaran tidak perlu dibela dengan hal-hal yang kotor. Diam bukan bermakna kalah, diam saat dicaci adalah tanda orang yang berakal, kerana telah mengikut apa yang telah digaris pandukan oleh Allah. Kita membawa nama Islam, bukan membawa nama peribadi saat berdakwah. Maka kita tidak mempunyai hak sedikitpun untuk melakukan sesuatu perkara yang semakin mecemarkan nama baik agama.
Akhir kata saya juga berpesan kepada individu-individu yang sering mempermain-mainkan tugas-tugas dakwah Islamiyah, cuba anda bayangkan sekiranya anda menjadi seorang pembancuh kopi, lalu anda memberikan kopi tersebut kepada seseorang untuk merasainya. Lantas mereka melontarkan perkataan-perkataan yang kurang enak didengari ke atas kopi tersebut. Maka apakah perasaan anda sebagai seorang pembancuh kopi?  
Begitulah juga sekiranya syariat Allah S.W.T dipersendakan, Allah sebagai Pencipta segala hukum-hukum syariat yang ada di atas muka bumi ini. Dia lebih tahu apa yang baik dan apa yang buruk buat hamba-hambanya. Mana mungkin ejekan itu hanya ditujukan kepada kopi tanpa bersangkutan dengan pembancuhnya? Mana mungkin juga akan terciptanya hukum sekiranya tiada Pencipta? Berhati-hatilah dalam berkata-kata. Demikianlah Allah S.W.T menurunkan ayat yang menyamakan golongan degil seperti ini sebagai 'al-Munafiqun' yang keras hati untuk menerima kebenaran.

"Apabila diseru kepada mereka (munafiqin) agar berimanlah kamu semua seperti orang lain beriman. Mereka menjawab apakah kami perlu beriman seperti orang-orang bodoh itu beriman? Sebenarnya merekalah yang bodoh tetapi mereka tidak sedar."
(Al-Baqarah : 13)


22 April 2017M / 25 Rajab 1438H


Al-Faqir Ilalllah,
Ammar Bin Roslan

Ulasan