Kebebasan, Demokrasi Dan Perubahan


Kelmarin seorang kartunis tanah air Fahmi Reza telah menghebohkan media massa dengan karikaturnya yang terbaru yang menggambarkan seolah-olah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) seperti kera yang sedang mengoyakkan akhbar Nanyang Siang Pau berikutan isu pembentangan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di parlimen baru-baru ini, boleh baca disini (http://www.bharian.com.my/node/270403). Ia sebagai tindak balas bagi memprotes sebarang kekangan terhadap pihak yang menghalang kebebasan bersuara dan berpandangan masyarakat. Beliau juga menulis di status facebooknya yang berbunyi,


"Jangan jadi seperti kera mendapat bunga. Pertahankan kebebasan berekspresi, kebebasan bersatira dan kebebasan media dari tangan mereka yang ingin menyekatnya demi kepentingan politik mereka."

Tindakan beliau telah mendapat kritikan banyak pihak, malah tidak kurang juga bagi yang menyokong tentang apa yang beliau suarakan. Dengan rasa tanggungjawab terhadap saudara seagama, di sini saya kongsikan kembali tulisan Ustaz Abdul Mu'izz Muhammad yang bertajuk "Kebebasan Yang Meliarkan". Juga sedikit tambahan penulisan bagi mengaitkannya dengan suasana yang berlaku dikalangan mahasiswa sekarang.


Sememangnya sejak dahulu, slogan ‘kebebasan’ dijadikan sebagai premis untuk membenarkan sesuatu yang salah. Antaranya ketika menjayakan revolusi Perancis, gerakan rahsia Freemason memanipulasi slogan kebebasan, persamaan dan kesamarataan untuk menjayakan segala agenda mereka yang haloba merampas hak orang lain.


Doktrin tersebut melahirkan fahaman antaranya :

1. Penjenayah bebas melakukan jenayah.

2. Perosak bebas menyebarkan kerosakan.

3. Penjajah bebas menjajah tanah air dan memonopoli kekayaan.

4. Wanita bebas meloloskan diri dari sifat kewanitaan mereka.

Hakikatnya fahaman ini sebenarnya bukanlah 'kebebasan'. Sebaliknya kerosakan yang meliar. Manusia memerlukan batas dalam mengertikan makna kebebasan. Jika dibuang batas, atas premis 'kebebasan', manusia akan bertukar menjadi liar seperti binatang.

Syeikh Habannakah telah mengemukakan beberapa had kebebasan mengikut garis panduan Islam :

1. Tiada kebebasan dalam melakukan kezaliman dan pencerobohan terhadap hak orang lain.

2. Tiada kebebasan dalam memilih selain dari kebenaran, kebaikan dan keadilan yang telah konkrit ditentukan oleh parameter Islam.

3. Seseorang yang mengaku muslim tidak bebas melakukan perkara yang bercanggah dengan syara'.

4. Seseorang muslim tidak bebas untuk murtad kerana ia tertakluk dengan sebesar-besar perjanjian dengan Allah S.W.T.

5. Tiada kebebasan bagi orang kafir untuk menghina Islam sebagaimana umat Islam dilarang mencaci agama lain.

Jika dilihat hari ini, slogan 'kebebasan' dieksploit semahu-mahunya oleh golongan perosak. Ketika mereka mahu menjustifikasikan kewajaran perbuatan jahat mereka, slogan 'kebebasan' dijadikan mentera yang mengkagetkan penentang-penentang mereka.

Begitu juga dalam konteks mahasiswa, umumnya diketahui sebagai kelompok yang mempunyai idealisme dan semangat yang tinggi, seiring dengan ketinggian intelektual yang tertanam dalam jiwa mereka. Slogan-slogan seperti 'student power', 'hak kebebasan bersuara', 'demokrasi', 'perubahan' dan sebagainya mula merasuk ke dalam minda anak muda yang mendambakan pembaharuan. 

Kini ramai mahasiswa yang cuba membawa idea-idea bebas dan melanggar batas-batas kemanusiaan seolah-olah kehidupan ini tidak mempunyai undang-undang yang jelas mengenai hal-hal demikian. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpunca dari semangat jiwa anak-anak muda yang tidak dipandu dengan keimanan, ditambah pula dengan pelbagai ideologi menyimpang yang meresapi nilai-nilai kehidupan mereka. Menyebabkan tindakan mereka seolah-olah menjadi jurucakap pula kepada agenda kebaratan.

Lalu bagaimana sekiranya hak 'kekuasaan mahasiswa' itu dibawa melalui sistem 'demokrasi' yang akan memberi implikasi besar kepada keputusan perwakilan kampus, bilamana satu keputusan itu diletakkan pada asas suara majoriti? Andai kata keputusan itu dibuat melalui hujah yang konkrit walaupun tanpa dasar nas-nas agama yang kuat dan jitu, maka ia bukanlah suatu keputusan yang benar dan haq, kerana kebenaran manusia itu 'relatif' jika dibandingkan dengan kebenaran wahyu yang 'mutlaq'.

Isi perbincangan yang dilontarkan hanya berdasarkan logik akal, emosi, perasaan, dan pembacaan yang tiada kesahihan sumber. Kemudian disokong pula oleh majoriti ahli-ahli perbicangan yang tidak mengenal halal dan haram. Lantas bagaimana keadaannya sekiranya dikalangan itu adalah karakter yang benar-benar ingin memusnahkan nilai-nilai ketulenan yang ada pada Islam. Siapa tahu? Oleh kerana itulah wujudnya istilah yang mengatakan bahawa ;

"Demokrasi ini bukan untuk orang-orang yang bodoh agama".



Ideologi ini (baca : Liberal) telah mula menampakkan kesannya kepada gerakan mahasiswa Islam di dalam negara kita. Apatah lagi dengan wujudnya laman-laman sosial seperti 'Facebook', 'Twitter', 'Instagram'  dan sebagainya yang memburukkan lagi keadaan tatkala ia menjadi medium utama mahasiswa bagi menyebarkan fahaman-fahaman dan pandangan mereka secara meluas dan ditontoni oleh ramai pihak. Ini menjadi suatu perkara yang sangat membimbangkan dan akan memberi kesan yang merbahaya kepada moral dan pemikiran anak-anak muda masa kini.


Begitu juga sewaktu istilah 'perubahan' atau 'الإصلاح' ditafsirkan mengikut kehendak hawa nafsu dan logik akal mereka. Bukan berpandukan kepada maksud perubahan yang telah ditetapkan dalam Islam. Disebutkan oleh Ibnu Manzur dalam Lisan al-'Arab, الإصلاح sebagai antonim kepada kerosakan (فساد ) yang bermaksud menghilangkan kerosakan atau mendirikan semula sesuatu yang telah runtuh. Dan jika diteliti secara tekstual perkataan 'الإصلاح' yang diambil dari komponen dasar (ص ل ح) itu sendiri sebenarnya sudah membawa makna perubahan yang dimahukan dalam Islam, iaitu satu usaha untuk memperbaiki keadaan umat Islam yang telah rosak dan menyeleweng daripada ajaran al-Qur'an dan as-Sunnah Rasulullah S.A.W, dengan cara kembali ke tahap umat Islam generasi awal terdahulu. Ini juga selaras dengan makna golongan 'صليح' yang banyak disebutkan dalam al-Qur'an. Antaranya ; 


يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَأُولَئِكَ مِنَ الصَّالِحِينَ

Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan, mereka itu termasuk orang-orang yang soleh.”

(Ali 'Imran : 114)

Islah bukan bermaksud melakukan suatu perkara yang dampak hebat di mata manusia, bukan juga mengubah ajaran agama untuk disesuaikan dengan zaman, tetapi islah yang sahih ialah mengubah diri manusia sesuai dengan kaedah dan prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh agama, yang bersumberkan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Mahasiswa merupakan aset berharga kepada pembangunan agama dan negara di masa hadapan. Kealpaan kita dalam membentuk mahasiswa mengikut acuan yang telah digariskan oleh al-Qur'an dan as-Sunnah akan mendorong kepada kerosakan generasi seterusnya jika arus ini dibiarkan begitu sahaja.

Perwakilan dan persatuan-persatuan mahasiswa di setiap kampus perlu lebih tegas dalam mendepani cabaran sebegini. Pembinaan asas kefahaman Islam mestilah dibina dan dipupuk kembali ke dalam jiwa anak-anak muda melalui platform-platform yang ada. Hentikan budaya-budaya Pragmatism dan Populism yang menular dikalangan pimpinan mahasiswa, yang lebih mementingkan nikmat keduniaan dan tidak memberi keuntungan langsung kepada agama. Marilah kita hayati sedikit pesanan dari as-Syahid Imam Hassan al-Banna yang menyebut ;

"Andai diumpamakan Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka. Tetapi aku ingin hati-hati yang ikhlas untuk membantu dan bersamaku membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tesergam indah."

Wallahua'lam.

15 April 2017M | 18 Rajab 1438H

Al-Faqir Ilallah,
Ammar Bin Roslan.

Ulasan