Rosaknya Sistem Pendidikan Barat



Bermulanya era kejatuhan Khilafah Uthmaniyah, ketika itu Barat mula menguasai penuh sistem pemerintahan dunia dengan cara dan undang-undang ciptaan mereka, yang tidak mengiktiraf segala sumber wahyu, ini juga termasuklah sistem pendidikan yang diguna pakai di negara kita. Sehinggakan umat Islam tidak lagi mengenal perbezaan konsep ilmu diantara peradaban Barat dan kacamata agama. Akhirnya, budaya dan gaya hidup Barat mulai mempengaruhi minda dan fikiran anak-anak muda Islam pada masa kini. Kerana punca kepada titik tolak pembinaan manusia itu telah dimanipulasikan oleh mereka pada mula lagi.

ِاقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan". 
[ Al-'Alaq : 1 ]

Manusia sepatutnya dibina atas dasar Iman dan Taqwa kepada Allah SWT, bukan sekadar menerapkan ilmu semata. Banyaknya kerosakan yang berlaku pada hari ini akibat dari intitusi pendidikan yang mempunyai visi dan misi berfahaman pragmatis, menerapkan fahaman dualisme, mengutamakan hal-hal alat lahiriyah berbanding matlamat batiniah, mengasingkan ukhrawi dan duniawi. Kemudian menimbulkan pula jurang diantara agama dan dunia, mencetuskan istilah-istilah yang memisahkan, seperti ahli profesional dan agama. Akhirnya membuahkan pola fikir masyarakat yang cenderung ke arah Sekular/Islamik Liberal, contohnya :

"Dia lebih sesuai menjadi orang agama sahaja, tak perlu terjun ke bidang politik."


Pendidikan yang ada hari ini bukan lagi dengan tujuan untuk membina manusia, agar menjadi hamba yang mentauhidkan Allah dalam segala hal, dan dapat menggunakan ilmu alat sebagai wasilah untuk menuju kepada matlamat Rabbani. Namun, pendidikan kini diarahkan untuk melahirkan individu-individu yang berkerja, untuk mencapai kejayaan dan keseronokan hidup mereka melalui material, kerjaya, populariti, kuasa dan lain-lain, dalam rangka untuk memakmurkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Lebih teruk lagi, ada pula sesetengah institusi yang menjadikan tapak pendidikan sebagai ruang bisnes untuk menjana duit poket. Murid-murid dianggap sebagai produk untuk dijual beli. Sistem pendidikan pula sebagai perisa untuk melariskan produk tersebut.  Lalu pelbagai cara yang dibuat dalam mempromosikan institusi mereka di mata masyarakat dunia, walaupun ia bertentangan dengan syariat.

Hasilnya, anak-anak yang lahir dari sistem pendidikan kini, mula berkejar-kejar untuk menjadi yang terhebat di mata manusia, mereka tidak lagi tunduk kepada Tuhan, hilangnya akhlak, saling sombong-menyombong di antara satu sama lain, apatah lagi untuk mengamalkannya. Ilmu tidak lagi menjadi alat untuk mengesakan Allah, malah berubah kepada maddi untuk memburu hawa nafsu manusia.

Oleh sebab itulah, walaupun banyaknya institusi yang hebat dan canggih, ditubuhkan di negara kita, namun ia tetap belum boleh melahirkan manusia yang benar-benar boleh menjadi "khalifah" di atas muka bumi ini.


Kebiasaannya kehidupan manusia itu dibentuk oleh siapa gurunya, apa sistemnya, bagaimana persekitarannya, maka begitulah susur jalur hayatnya. Jika awal-awal lagi ia telah didoktrinkan dengan pemikiran Barat, maka perspektif Baratlah yang akan menjadi panduan hidupnya. Hakikatnya, walaupun sistem pendidikan lama dahulu tidak secanggih dan sehebat sekarang, namun ia lebih memberi kesan dan membina masyarakat. Ini terbukti pada banyak perkara. Melainkan jika sistem yang ada pada masa kini, berjaya diislamisasikan kembali dan dibuang segala elemen-elemen yang menyimpang.

Wallahua'lam.

13 Mac 2017M | 15 Jamadil Akhir 1438H.

Al-Faqir Ilallah,
Ammar Bin Roslan.

Ulasan