Menjelang Muktamar : Sedikit Pesanan Buat Ahli Gerakan


Sedikit pesanan kepada seluruh ahli PAS dan MPMK khususnya, sebelum berlangsungnya kedua-dua muktamar akan datang. Apabila dilantiknya kepimpinan yang baru secara sah, kita perlu ingat, bahawasanya Rasulullah S.A.W ada menyebutkan dalam sebuah hadith yang bermaksud :

"Dengar dan taatilah, walaupun yang menjadi pemimpin kamu adalah hamba sahaya berbangsa Habsyi yang kepalanya seperti kismis." 
(HR. Bukhari)

Janganlah kita mengulangi sikap-sikap yang menjadi punca kelemahan dan perpecahan umat, termasuklah mengapa runtuhnya kerajaan Islam dahulu kala, bilamana rakyat sukar menerima arahan dari pemimpin, apatah lagi jika ia keputusan bersama. Merasakan pandangan merekalah yang terbaik, merasakan bahawa mereka yang lebih layak untuk memimpin, merasakan arahan yang diterima itu adalah satu bentuk kezaliman, sehingga memperjuangkan hak-hak kebebasan yang bertentangan dengan agama, lalu akhirnya menghilangkan kekuatan dan kesatuan sesebuah jemaah.

Walhal seorang ketua yang berada di atas itu lebih mempunyai sudut pandang yang menyeluruh dan luas berbanding skop kefahaman ramai ahli yang berada di bawah. Ada perkara yang rakyat perlu tahu, dan ada yang tidak perlu. Kerana tanggungjawab utama ahli itu bukanlah untuk mengetahui semua perkara, tetapi tanggungjawab mereka yang lebih penting adalah memberi thiqqah yang tertinggi kepada pimpinan, serta mentaati dan wala' dengan segala arahan yang tidak bercanggah dengan syara'. Mana mungkin sebuah kenderaan itu dipandu oleh ramai pemandu.

Jangan pula kita menjadi persis Yahudi yang sering mempersoalkan suruhan Allah S.W.T yang tidak sependapat dengan mereka. Adakah kita lebih tahu berbanding Tuhan yang menciptakan bumi dan seisinya?

إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” 
(Al-Hujurat : 18)



Al-Faqir Ilallah,
Ammar Bin Roslan.

Ulasan