Ukhuwah Hedonisme



Istilah hedonisme berasal dari Bahasa Greek iaitu hēdonē yang membawa maksud keseronokan, kesenangan atau kenikmatan. Ia merupakan satu fahaman falsafah yang menjadikan keseronokan sebagai matlamat utama kehidupan.

Hedonisme menjadi jalan bebas kepada masyarakat khususnya anak muda ketika mereka berhadapan dengan masalah, dan yang paling merisaukan adalah perkara ini mendominasi ruang yang besar dalam kehidupan dan memberi kesan kepada pemikiran mereka.

Perkara yang ingin ditekankan di dalam penulisan ini bukanlah mahu menyentuh soal hiburan yang melampau sehingga melebihi garis panduan syara'. Tetapi, sengaja diletakkan istilah 'ukhuwah hedonisme' untuk mengajak ahli jamaah bermuhasabah sejauh mana kualiti ukhuwah dalam jamaah. Adakah benar-benar ukhuwah yang mampu menyumbang pada perjuangan atau hanya satu kelompok yang 'terpaksa diikat' sekadar untuk memenuhi tuntutan?

Tidak salah untuk berhibur dan benar ada yang menggunakan hiburan sebagai salah satu methodologi dakwah atau tarbiyyah, tetapi bagaimana pula jika hiburan berlebihan sehingga objektif dakwah dan tarbiyyah itu tenggelam? Seolah-olah dilihat menjadikan mesej Islam sebagai agenda subjektif.

Imam Hassan al-Banna berkata :

"Aku maksudkan dengan ukhuwah ialah hati dan jiwa ditautkan dengan aqidah.."

Ini bermakna tiada cara yang lebih ampuh untuk membina sebuah ukhuwah Islamiyyah yang benar-benar kuat selain dari jalan aqidah, pembentukan ukhuwah yang disulam dengan ilmu dan kefahaman mengenai perjuangan.

Mungkin selepas ini, bila sebut program ukhuwah kita tidak hanya membayangkan program-program yang fun semata-mata. Cuba bina ukhuwah dengan cara pembudayaan ilmu, bertukar pandangan bagi mengukuhkan fikrah, bentuk kefahaman mengenai Islam sehingga menyuburkan taqwa pada Allah.

Firman Allah ta'ala :

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib : setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)." 
(Az-Zukhruf : 67)

Sekali lagi, tak salah untuk berhibur. Tapi ingat, ukhuwah di jalan perjuangan hendaklah dibina atas dasar tauhid dan manhaj Islam. Bukan berteraskan hedone semata-mata.

Aina Mokhtar
Mantan Timbalan Setiausaha Agung MPMK,
Sesi 2014/15.

Ulasan