Beriman Dengan Hari Akhirat


Catatan dan ulasan ringkas daripada ucapan dasar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63, Kota Sarang Semut, Kedah.


Oleh : Rafii Asri

Umat Islam harus meyakini akan adanya hari akhirat atau hari perhitungan dosa dan pahala. Apabila baik amalan seseorang itu, maka pahala yang diterima, dan apabila buruk amalannya maka dosa yang berkunjung tiba.

Di akhir zaman ini, ramai umat manusia yang menyedari akan adanya hari perhitungan amal dan timbangan akhirat, tetapi masing-masing membutakan hati mereka untuk kepentingan dunia seakan-akan tidak takut akan nasib yang akan menimpa kelak.

Segala kerosakan yang dibuat atas muka bumi ini walaupun tidak dibalas serta merta, tetapi yakinlah bahawa mereka tetap tidak akan terlepas dengan janji yang telah Allah S.W.T wahyukan, ini selari dengan firmanNya yang menyebut :

يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ ۖ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَٰئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا

"(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya (suratan amal , atau nabi atau pemimpin) ; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.)"

[Al-Isra' : 71]

 وَمَنْ كَانَ فِي هَٰذِهِ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِي الْآخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلًا

"Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya."

[Al-Isra' : 72]

Dengan itu, percayalah bahawa setiap amalan yang kita lakukan di atas muka bumi ini disaksikan Allah dan Malaikat. Justeru seharusnya kita sentiasa berwaspada melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan dan meyakini akan adanya hari perhitungan yang akan menimbang segala amalan kita nanti. Keyakinan ini secara tidak langsung akan mendorong manusia supaya sentiasa menegakkan keadilan dan menjauhi kezaliman, serta menggalakkan manusia untuk sentiasa melakukan kebaikan.

Ulasan