Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS)


Catatan dan ulasan ringkas daripada ucapan dasar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63, Kota Sarang Semut, Kedah.

Oleh : Mohd Noralim Fahmi

Menerusi pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dibawa oleh PAS berjaya memberi kesan terhadap masyarakat Malaysia yang membencikan budaya keras, kasar dan politik melampau sehingga semua perkara dilihat dalam perspektif negatif dan penuh kebencian, sedang keadaan hidup rakyat tetap tidak mengalami perubahan menuruti kaedah tersebut. Pendekatan ini juga menepati ciri-ciri muwajahah silmiyah yang diamalkan dalam sirah-sirah perjuangan Islam, bahkan lebih menepati firman Allah S.W.T yang bermaksud :


“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”

[Ali ‘Imran : 159]

Dalam surah An-Nahl ayat 125 Allah S.W.T berfirman seraya memerintahkan Rasul-Nya, Muhammad S.A.W agar menyeru umat manusia dengan penuh “hikmah”. Dalam tafsir Ibnu Kathir menyatakan tentang makna hikmah mengikut pandangan Ibnu Jarir :

“Iaitu apa yang telah diturunkan kepada beliau berupa al-Qur’an dan as-Sunnah serta pelajaran yang baik, yang di dalamnya berwujud larangan dan berbagai peristiwa yang disebutkan agar mereka berwaspada terhadap seksa Allah S.W.T.”

Oleh yang demikian, BPMS ini juga perlu difahami bahawa ia bertunjangkan kepada aqidah Islam, dan bukan seperti yang diamalkan oleh sebahagian ahli yang hanya memetik dalam konsep lembut, diam, atau demokrasi tanpa batas. Budaya ini juga berteraskan kepada kepada kewajipan “amar ma’ruf dan nahi mungkar” yang bertujuan untuk menyelamatkan manusia agar bersama Islam, maka konsep An-Nahl dalam ayat 125 yang mengutamakan aqidah dengan pendekatan damai atau disebut sebagai muwajahah silmiyyah hendaklah diutamakan.

Lagi firman Allah S.W.T yang menjelaskan makna “perkataan yang baik” menurut Islam, antaranya dalam surah Fussilat ayat 33 :

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada mengesakan dan mematuhi perintah Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata : “Sesungguhnya aku adalah dikalangan orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

Contoh yang paling tepat dan wajib diikuti dalam pengalaman muwajahah silmiyah ini pastinya Rasulullah S.A.W. Baginda melaksanakan kewajipan menyelamatkan manusia bersama Islam seberapa ramai. Ia menunjukkan bahawa imej Islamlah yang lebih baik berbanding yang lain. Ini menjadikan Islam mudah diterima dan penyelamat yang diyakini, dan bukannya penjajah yang dibenci. Maka kedatangan Islam ke seluruh pelusuk dunia itu tidak dinamakan sebagai Isti’amar (penjajah memperhambakan rakyat dan perampas hartanya), tetapi dinamakan sebagai Futhuhat (pemecah belenggu kezaliman).

Berhikmahlah tanpa menyeleweng. Mendahulukan kemaafan di masa menghadapi lawan yang zalim sehingga setelah mencapai kemenangan dan berada dalam keadaan paling kuat. Inilah kebijaksanaan yang paling munasabah dengan konsep demokrasi yang mengizinkan dakwah seluas-luasnya dan seberapa ramai manusia.

Marilah kita menilai dengan hati yang tenteram dan jujur, mata yang melihat, telinga yang mendengar; bahawa pendekatan BPMS yang kita laksanakan ini mampu untuk meredakan ketegangan di akar umbi rakyat yang sebelum ini begitu kelam dengan suasana politik melampau yang akhirnya akan merugikan ummah.

Ulasan