Ekonomi Islam Penyelesai Masalah Ummat


Catatan dan ulasan ringkas daripada ucapan dasar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63, Kota Sarang Semut, Kedah.


Oleh : Muhammad Husaini Bin Mat Yusof

Dewasa ini, selalu bermain di benak fikiran rakyat mengenai satu polemik yang hangat diperbualkan di meja kopi mahupun diperbahaskan dalam dewan rakyat. Ia sangat laju menyinggah dari bibir ke bibir seantero masyarakat di setiap penjuru.

Apa yang ingin ditekankan di sini ialah mengenai kegawatan ekonomi dalam negara. Terlalu banyak persoalan yang bermain difikiran masyarakat, antaranya adalah berkenaan kemampuan sistem ekonomi Islam dalam menstabilkan kembali ekonomi di Malaysia.

Persoalan ini muncul kerana berpunca daripada kita sendiri yang tidak pernah meyakini bahawa penyelesaian sistem ekonomi Islam yang diajarkan oleh Nabi S.A W adalah sistem ekonomi yang terbaik sepanjang zaman.

Di sini saya selitkan tiga asas utama yang disebutkan oleh Presiden PAS, Y.A.B Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar beliau di Muktamar Tahunan kali ke-63 tempoh hari iaitu ;

1) Kelemahan kita sendiri, di mana kita berdepan dengan ketidak yakinan terhadap penyelesaian sistem ekonomi Islam.

2) Kita belum sepenuhnya menggali, mengolah, dan memberikan cadangan yang benar–benar difahami secara teori dan praktikal serta dapat diterima oleh masyarakat yang ada dalam negara kita.

3) Kita teruja dengan pembangunan ekonomi Barat dan Timur, tetapi kita gagal memasukkan nilaian akhlak dan ibadah (iaitu ada perkiraan dosa-pahala) dalam melaksanakan aktiviti ekonominya.

Salah satu punca mengapa berlakunya kegawatan ekonomi adalah kerana sikap pemimpin yang pecah amanah, mengambil riba, rasuah dan sebagainya. Walhal perkara ini sudah jelas disebutkan dalam al-Qur'an, surah ar-Rum ayat 39 :

فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونََ 

"Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa."

[Al-Baqarah : 279]

Ayat diatas menekankan kepada kita bahawa larangan Allah S.W.T kepada manusia untuk terlibat dalam jenayah riba, larangan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa ia adalah perkara yang haram disisiNya.

Selain itu, dalam hadith Nabi S.A.W juga ada menyebut berkenaan perkara ini.

عن جابر رضى الله عنه قال : لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم : أكل الربا وموكلها وكاتبها وشاهديه وقال : هم سوء.

 (رواه مسلم)

Daripada Jabir R.A berkata : "Rasulullah  S.A.W melaknat pemakan riba, orang yang  mewakili riba, penulis riba, dan dua orang yang menjadi saksi dari transaksi riba, beliau bersabda, mereka adalah sama."

[H.R Muslim]

Malaysia dianugerahkan dengan bermacam-macam rezeki dari hasil bumi dan bahan mentah yang melimpah ruah. Maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengelola sumber dengan sebaik-baiknya mengikut kepada acuan dan jalan-jalan yang telah Islam pandukan. Kenapa masih perlu untuk mengamalkan perkara-perkara yang haram seperti riba, rasuah, judi dan sebagainya untuk mentadbir ekonomi negara, sedangkan kita telah dikurniakan dengan pelbagai sumber bumi yang kaya untuk diuruskan.

 يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ

"Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah."

[Al-Baqarah : 276]

Sebagai penutup kata, kita seharusnya meyakini dan menyokong sepenuhnya terhadap sistem perundangan Islam yang datang daripada Allah S.W.T Pencipta Alam dan Maha Mengetahui tanpa ragu sedikit pun di dalam hati. Sedarlah bahawa apabila kita mengamalkan Islam dalam seluruh aspek kehidupan termasuklah dalam bab ekonomi negara yang menekankan soal dosa dan pahala, inshaAllah perkara ini akan kembali pulih dan bertambah maju.

Ulasan