Konsep Pemerintahan Islam



Catatan dan ulasan ringkas daripada ucapan dasar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63, Kota Sarang Semut, Kedah.

Oleh : Nabih Fahmi

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat."

[An-Nisa' : 58]

Seorang pemimpin Islam perlulah bersikap adil terhadap rakyatnya dengan konsep yang telah Allah S.W.T gariskan dalam seluruh aspek pemerintahan yang dilaksanakan seperti penetapan hukum, pemberian hak, berbicara, saksi dan sebagainya. Keadilan ini tidak hanya merangkumi kelompok orang yang beriman semata-mata, bahkan juga tidak terkecuali bagi musuh yang menentang.

Firman Allah S.W.T :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ


"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran ; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

[Al-Maidah : 8]

Maka konsep keadilan dan pemerintahan yang ingin dijelaskan disini antaranya ialah :-

📌Taat dengan apa yang di perintahkan Allah dan RasulNya dengan sebenar-benar taqwa berlandaskan al-Qur'an & as-Sunnah. 

📌 Adil dengan tidak mendiskriminasikan mana-mana kaum atau kelompok lain yang berbeza serta menghormati dan memberikan hak-hak yang sepatutnya kepada mereka menurut kaedah Islam. Akan tetapi tidak boleh sama sekali untuk tunduk dengan kehendak mereka sehingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip agama.

📌 Aqidah Islam yang tulen adalah perkara yang harus dijaga rapi dan diperkukuhkan agar anasir-anasir luar seperti sekular, liberal dan sebagainya tidak dapat mempengaruhi proses pemerintahan.

📌 Prinsip Islam wajib dituruti walaupun ianya ditentang hebat dan tidak disukai oleh pengikutnya sendiri. Lantas segala cara dan kaedah perlaksanaan haruslah mengikuti syara' dan tidak sewenang-wenangnya boleh dilanggar atas nama matlamat.

📌Keikhlasan untuk membawa dan menyebarluaskan Islam adalah kunci untuk mencapai Mardhatillah, segala sikap buruk seperti menggilai jawatan, kedudukan dan harta benda wajib dihapuskan.

Maka bagi seorang pemimpin itu haruslah menjaga hak-hak Allah dan Rasulnya dengan sebaik mungkin, jika benar mereka ingin membantu perjuangan untuk menegakkan syi'ar Islam di atas muka bumi. Mereka juga wajib meninggalkan segala kekerasan hati dalam mengamalkan konsep yang salah serta menuruti hawa nafsu dan akal semata-mata.

 مَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ نَصِيبٍ

"Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya ; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak." 

[As-Syura : 20]

Memetik daripada ayat di atas, Allah S.W.T memberikan pilihan kepada manusia samaada untuk memilih dunia dengan mendapatkan pujian, kedudukan, harta dan sebagainya, maka Allah tidak menghalang mereka sedikitpun. Namun ia hanya bersifat sementara. Sekiranya ia memilih untuk mendapatkan akhirat dan redha Allah, lalu tunggulah nikmat terbesar yang akan diperolehi.

Wallahua'lam.

Ulasan