Konsep Taqwa Dalam Bernegara


Catatan dan ulasan ringkas daripada ucapan dasar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63, Kota Sarang Semut, Kedah.

Oleh : Ridhwan Arazmi

Taqwa tidak cukup dengan hanya dimaksudkan "takut" sahaja  Adapun makna lain dari taqwa ialah :

1. Melaksanakan segala perintah Allah
2. Menjauhkan diri dari segala yang dilarang Allah (haram)
3. Redha (menerima dan ikhlas) dengan hukum-hukum dan ketentuan Allah

Maka, secara umumnya taqwa bermaksud memelihara diri dari seksaan Allah dengan mengikuti segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Firman Allah S.W.T :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ


"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

[Al-Hujurat : 13]

Konsep taqwa itu adalah menggantikan kebanggaan terhadap asabiyah bangsa, kaum, jantina, warna kulit, pangkat dan harta benda. Taqwa menjadikan manusia bermasyarakat madani secara istiqamah dan ianya tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Semasa di kota Mekah sebelum kelahiran Rasul terdapat banyak kabilah-kabilah pelbagai bangsa samaada yang menetap di kota Mekah atau yang bermusafir. Ketika itu mereka terlalu ta'assub dengan sifat asabiyah terhadap kaum, keturunan dan sebagainya.

Namun selepas kelahiran Baginda S.A.W yang menyeru kepada konsep "taqwa" serta menyakinkan diri mereka bahawa manusia adalah sama disisi Tuhan, kaya atau miskin, tua atau muda, lelaki atau perempuan, bangsawan atau hamba melainkan hanya yang bertaqwa, akhirnya membawa diri mereka bertambah maju dan lebih maju sehingga mendaulatkan 2/3 dunia dengan Islam.

Oleh itu, marilah kita sama-sama memberikan peringatan sesama manusia dengan taqwa dan kesatuan serta menghapuskan sikap-sikap asabiyah terhadap bangsa, keturunan dan lain-lain, dan meninggalkan perkara-perkara remeh yang hanya akan menimbulkan perselisihan dan memberi kemunduran agama dan negara.

Akhir sekali marilah juga sama-sama kita berusaha menegakkan agama Islam setinggi-tingginya di atas muka bumi ini sehingga dapat mengembalikan zaman keemasan yang mengamalkan syariat Allah S.W.T secara menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Ulasan