Perintah Adil Kepada Semua


Catatan dan ulasan ringkas daripada ucapan dasar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63, Kota Sarang Semut, Kedah.

Oleh : Syaddad Jihadi

Allah menjadikan kewajipan menegakkan "keadilan" kepada seluruh manusia dengan petunjuk dan perlaksanaan syariat-Nya kerana ia merupakan satu-satunya penyelesaian yang datang daripada Allah S.W.T dan dinamakan sebagai "Islam". 

Yang demikian, Islam berprinsipkan asas-asas terpentingnya iaitu Tauhid, Beriman kepada Hari Akhirat, Taqwa dan Adil. Semua asas-asas ini merupakan petunjuk yang Allah telah S.W.T bawakan kepada semua Rasul A.S hingga kepada Nabi Muhammad S.A.W.

 إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajarkamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi Nya)."

[An-Nahl : 90]

Dalam pada itu, para Rasul terdahulu yang berpeluang melaksanakannya telah membuktikan akan kebenaran ayat tersebut apabila mereka telah mencapai kejayaan di zaman masing-masing. Allah S.W.T telah mengisahkan Nabi Daud, Sulaiman A.S, Raja Zulqarnain dan yang lainnya juga telah berjaya membina kekuatan dan ketamadunan Islam di zaman masing-masing.

Sebaliknya, Allah S.W.T juga menceritakan dalam al-Qur'an berkenaan pemerintah yang bercirikan kezaliman dan ketidak adilan dalam memerintah seperti kaum 'Aad, Thamud, Firaun dan sebagainya yang hancur musnah bersama tamadun materialnya kerana sanggup menentang dakwah Nabi pada zaman tersebut.

Oleh itu, inilah pendekatan yang wajib dilakukan bagi kita yang menyambung risalah membawa obor perjuangan Islam. Tugas kita tidak selesai dengan hanya menukar pemimpin baru semata, bahkan perlulah menukar jati dirinya juga dengan aqidah, syariat, akhlak serta pendekatan prinsip dan konsep yang telah dijelaskan.

Begitu juga bagi pemimpin yang masih berdegil dengan prinsip dan konsep yang bertentangan dengan nas dan syara' perlulah mewajibkan diri mereka untuk bertukar demi menyelamatkan ummah dan negara. Tegakkan Islam di dalam diri akan menyelamatkan negara. Manakala menegakkan negara tanpa jati diri Islamnya negara tetap tidak selamat.

Ulasan