Isnin, 1 Mei 2017

Politik PAS Dalam Mendepani PRU-14



Catatan dan ulasan ringkas daripada ucapan dasar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63, Kota Sarang Semut, Kedah.

Oleh : Abu Ayyash

Menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14) yang semakin hampir, PAS bersedia untuk menghadapinya dengan membawa gagasan untuk membentuk sebuah negara yang sejahtera berdasarkan konsep Islam yang memberi rahmat buat seluruh alam.

Yang Amat Berhormat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Bin Awang (TGHH) dalam Ucapan Dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-63, dengan membawa tema "Sejahtera Bersama Islam", tegas menyatakan kebersediaan PAS untuk membina sebuah negara yang sejahtera dan harmoni.

TGHH menekankan bahawa PAS dengan gabungan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan lain-lain parti yang berada di dalam blok ketiga yang dinamakan Gagasan Sejahtera adalah tidak sama dengan blok-blok parti politik yang lain yang lebih bersifat moden, liberal, pragmatik dan sekular. PAS adalah sebuah parti yang bergerak sepenuhnya berdasarkan al-Qur'an dan as-Sunnah serta mengamalkan Islam secara keseluruhannya tanpa satu sektor pun yang terkecuali daripadanya (Islam).

Tatkala negara dilanda badai ekonomi yang parah dan beban hutang negara yang amat merisaukan, dengan jumlah hutang yang kian meningkat saban hari, PAS serius ingin mengatasi masalah tersebut dengan menyediakan alternatif 'Dokumen Hijau'. Ini jelas memberi mesej kepada rakyat Malaysia bahawa PAS tidak mengamalkan politik yang mengeksploitasi suatu pihak yang lain tanpa asas, tetapi sebaliknya serius ingin membina sebuah negara yang sejahtera dengan membantu menyediakan alternatif yang lebih baik sekaligus memberikan suatu yang bermanfaat buat seluruh rakyat.

Selain itu, antara lain yang diagendakan adalah Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Tsunami  Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS). Kesemuanya adalah bertujuan untuk membentuk sebuah negara yang harmoni dan jauh daripada unsur politik negatif yang bersifat perkauman, chauvinist dan dilihat kotor dari sudut pandang masyarakat serta bercanggah dengan konsep politik Islam.

Sehubungan itu, para abnaul harakah dan amilin-amilin diseru untuk menguasai pelbagai bidang ilmu secara mendalam dan memahami segala isu global (luar negara) mahupun lokal (dalam negara). Kita juga perlu  bergerak dengan lebih aktif dan memperbanyakkan usaha dan doa disamping bertawakkal kepada Allah S.W.T serta bersiap sedia untuk menyambut pembawaan TGHH dalam membawa arus politik di Malaysia kembali ke pangkuan Islam, terutama menjelang ambang PRU-14 yang kian hampir.

Justeru itu, konsep amal Islami yang dibawa perlu lebih diketengahkan, diberi penerangan dan kefahaman kepada rakyat marhaen agar mereka lebih mudah untuk menerima gerakan Islam ini, sekaligus memberi bonus besar kepada PAS untuk mengambil alih kerajaan dan mentadbir Malaysia suatu hari nanti berdasarkan konsep pemerintahan Islam seperti yang dicanangkan.

Seterusnya, kita harus yakin dan percaya bahawa pemerintahan Islam akan kembali di bumi ini seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT & Rasulullah SAW. Tetapi, kemenangan itu tidak akan mudah hadir melainkan dengan persiapan dan kebersediaan yang rapi serta ketaqwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dan memberikan sepenuh pengharapan kepada Allah SWT seperti yang difirmankanNya dalam surah at-Talaq ayat 2-3 ;

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا ○ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ

"Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)."

Akhir kata, yakinilah juga bahawa hanya Islam yang mampu memberikan penyelesaian kepada segala kemelut masalah yang berlaku serta memberikan kesejahteraan kepada segenap lapisan masyarakat tidak mengira bangsa mahupun agama.

Undilah PAS. InshaAllah menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat.

0 comments:

Catat Ulasan