Sejahtera Bersama Islam


Catatan dan ulasan ringkas daripada ucapan dasar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63, Kota Sarang Semut, Kedah.


Oleh : Zaki Zulhisyam

Sebagai hamba Allah S.W.T yang bergelar manusia perlulah kita sentiasa berhajat kepada hidayah-Nya kerana masih ramai yang tidak sedar akan kelemahan diri sebagai makhluk ciptaanNya. Seringkali mereka tidak mengaku bersalah malah mendabik dada pula mendakwa dirinya yang paling bijak, mengagung-agungkan akal sehingga melupakan petunjuk Allah Pencipta Alam, Yang Maha Bijaksana dan Maha Adil terhadap seluruh dunia dan seisinya.

Kesannya dunia kini mengeluh kerana dikepung dan dikongkong krisis ekonomi, politik dan moral. Kedengaran rungutan kezaliman di sana-sini, pencabulan terhadap hak asasi manusia, rasuah dan merebaknya pelbagai jenis jenayah dan maksiat berleluasa. 

Ekonomi negara yang diurus secara tidak adil telah mencetuskan kesusahan hidup rakyat apabila peluang pembahagian harta itu berpusing di kalangan orang tertentu sahaja, sehingga berlakunya salah guna kuasa, lantas harta negara pula diambil secara salah. Maka berlakulah kebocoran daripada pendapatan negara, sedangkan majoriti rakyat yang berpendapatan rendah semakin terbeban dengan harga barangan keperluan yang semakin meningkat. 

Puncanya bilamana agama itu dianggap sebagai urusan peribadi tanpa hidayah lalu dipisahkan daripada urusan duniawi, memisahkan jasad daripada akal dan roh, memisahkan aspek kemasyarakatan, berpolitik, ekonomi dan lain-lain daripada agama, laksana memutuskan mata rantai yang menjadikannya tidak berfungsi dengan betul. Politik pula dianggap sebagai urusan dunia dan peluang meraih kepentingan peribadi, keluarga dan puak.

Firman Allah S.W.T :

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ

“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian oleh umat terdahulu kepada Rasul zamannya) mereka mencari lain daripada Agama Allah (Islam)? Pada hal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa (mengikut sifat naluri) dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan”

[Ali 'Imran : 83]

Ada pula yang cuba meninggalkan nas yang nyata dari al-Qur'an dan as-Sunnah, dengan menjadikan alasan maqasid syari'ah, siyasah syar'iyyah dan fiqh aulawiyat dan seumpamanya untuk mencari jalan meminggirkan Islam dalam kehidupan. Maka dicari lah pandangan dan tafsiran longgar dari kalangan Islam yang berfikiran sebegini untuk dijadikan hujah yang diulang-ulangi atas nama Islam.

Pada masa yang sama, kalangan penentang Islam mula bersorak gembira dan menumpang sama menyebar-luaskan hujah sebegini tanpa sempadan, tanpa menyedari bahawa tindakan seperti itu adalah bercanggah dengan panduan al-Qur'an dan as-Sunnah yang mutawatir. Akhirnya politik juga dipisahkan dari agama, menjadikan urusan pemerintahan yang menjadi payung dan pengawas kepada cara hidup bermasyarakat terkeluar daripada kawalan petunjuk Allah Pencipta Alam, dan terkeluar daripada peranan manusia sebenar. Menjadikan fitnah berleluasa, yang akhirnya dikutip oleh "pelampau media" seolah tiada lagi pertimbangan dosa dan pahala atau syurga dan neraka.

Maka di sinilah hikmahnya mengapa Allah menjadikan "Islam" sebagai amanah terbesar dalam mengendalikan urusan negara dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah dan hambaNya, bukan meletakkan Islam hanya pada nama dan slogan semata.

Wallahua'lam.

Ulasan