Selasa, 2 Mei 2017

PAS Dalam Agenda Sosial Dan Kebajikan


Catatan dan ulasan ringkas daripada ucapan dasar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63, Kota Sarang Semut, Kedah.

Oleh : Ridhuan Adeni

PAS adalah gerakan Islam yang bergerak dalam satu jemaah yang juga memfokuskan terhadap isu sosial dan kebajikan masyarakat. Hal ini adalah berteraskan konsep "amal ijtima'i" yang diterapkan dalam gerakan Islam yang tulen.

Amal Ijtima'i adalah tugas-tugas dan tanggungjawab yang bersifat kemasyarakatan, bermatlamatkan dakwah dan menyampaikan mesej Islam seluas mungkin kepada masyarakat umum. Ini menjadikan jemaah dan ahlinya juga dapat memberi manfaat kepada masyarakat umum serta memenuhi keperluan masyarakat setempat. Hal ini meliputi kerja-kerja seperti membekalkan khidmat kesihatan, bantuan kepada mangsa bencana dan sebagainya.

Isu sosial dan kebajikan rakyat dalam negara ini juga terus menerus diperjuangkan oleh PAS, terutama dalam menangani isu peluang kehidupan yang lebih terjamin kepada generasi muda yang tentunya nanti akan menggalas tanggungjawab pentadbiran negara kelak.

Peluang pekerjaan, khidmat kesihatan, bantuan untuk mendapatkan pendidikan adalah antara perkara yang ditekankan terhadap generasi anak muda, dan juga rakyat awam yang terjejas di luar sana. Sudah tentu hal ini adalah besar dan rumit, tetapi PAS akan terus memperjuangkan kebajikan ini menerusi Lajnah-lajnah yang dipertanggungjawabkan oleh organisasi PAS di berbagai peringkat.

Kita dapat lihat pentadbiran negara yang diuruskan secara tidak adil telah mencetuskan kesusahan hidup rakyat yang berpanjangan. Harta negara berkitaran dikalangan orang-orang tertentu sahaja menyebabkan yang kaya bertambah kaya dan miskin bertambah miskin.

Hal ini terjadi disebabkan adanya dikalangan pemimpin yang tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan periuk nasinya sendiri tanpa menghiraukan tentang kehidupan masyarakat yang susah lagi menzalimi orang-orang yang fakir dan miskin.

Benarlah Firman Allah S.W.T yang menyebut :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

[Ar-Rum : 41]

Selain itu, PAS juga bakal mengambil solusi yang berterusan dalam memperjuangkan falsafah dan dasar pendidikan negara yang holistik bagi melahirkan insan soleh dan masyarakat madani, pembinaan sistem keluarga yang sejahtera seimbang fizikal dan spiritual, menutup ruang–ruang pengaruh luar yang tidak sihat, dan memperkasa sistem perundangan dalam negara kita.

PAS juga turut mendekati permasalahan di kalangan rakyat desa dengan berbagai latarbelakang pekerjaan seperti petani, nelayan, pekebun kecil, peniaga kecil-kecilan, dan lain lain. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana agenda pemerkasaan amal ijtima'i yang diterapkan dalam skop dakwah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

0 comments:

Catat Ulasan