Konsep Ilmu Antara Peradaban Barat Dan Kacamata Agama



Banyak kerosakan yang berlaku hari ini akibat dari intitusi pendidikan yang mempunyai visi dan misi berfahaman pragmatis, menerapkan konsep dualisme, mengutamakan hal-hal alat lahiriyah berbanding matlamat batiniah, mengasingkan ukhrawi dan duniawi. Kemudian menimbulkan pula jurang diantara agama dan dunia dengan mencetuskan istilah-istilah yang memisahkan, seperti ahli profesional dan agama. Akhirnya membuahkan pola fikir masyarakat yang cenderung ke arah Sekular dan Islamik Liberal seperti :

"Dia lebih sesuai menjadi orang agama sahaja, tak perlu terjun ke bidang politik."

Sebahagian institusi pendidikan hari ini bukan lagi bertujuan untuk membina manusia agar menjadi hamba yang mentauhidkan Allah dalam segala hal, serta dapat menggunakan ilmu alat sebagai wasilah untuk menuju kepada matlamat Rabbani. Namun, pendidikan kini diarahkan untuk melahirkan individu-individu yang berkerja bagi mencapai kejayaan dan keseronokan hidup mereka melalui material, kerjaya, populariti, kuasa dan lain-lain.

Ada juga yang menjadikan tapak pendidikan sebagai ruang bisnes untuk menjana duit poket. Murid-murid dianggap sebagai produk untuk dijual beli. Sistem pula pula sebagai perisa untuk melariskan produk tersebut. Lalu pelbagai cara mempromosi dilakukan tanpa mengira soal halal dan haram.

Hasilnya, pemuda dan pemudi masa kini mula berkejar-kejar untuk menjadi yang terhebat di mata manusia, tidak lagi tunduk kepada Tuhan, hilangnya akhlak dan saling sombong-menyombong di antara satu sama lain. Ilmu tidak lagi menjadi alat untuk memimpin ummah mengesakan Allah, menyatukan manusia, dan memakmurkan bumi. Malah berubah kepada maddi untuk memburu hawa nafsu. Puncanya bilamana batu asas kepada pembinaan manusia itu disimpangkan.

Kembalilah kepada haq, manusia sepatutnya dibina atas dasar Iman dan Taqwa kepada Allah, bukan menerapkan ilmu semata. Dari Allah manusia mengetahui segala rahsia alam, kehidupan dan rahsia-rahsia diri. Segalanya datang dari satu sumber, dan disana tiada sumber melainkan Allah. Setiap urusan, tindakan dan gerak langkah hendaklah dimulakan dengan nama Allah dan diteruskan dengan nama Allah. Kepada Allah ia menuju dan kepada Allah juga ia kembali.

ِاقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan". 

[ Al-'Alaq : 1 ]

Wallahua'lam.

13 Mac 2017M | 15 Jamadil Akhir 1438H.

Ammar Bin Roslan
Timbalan Presiden 1,
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM,
Sesi 2016/2017.

Ulasan